Majlis Olimpik Malaysia tambah baik reka bentuk pakaian atlet selepas dikecam
2024.06.28
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa sukan Malaysia pada Jumaat memutuskan untuk menambah baik reka bentuk pakaian untuk atlet Olimpik negara selepas orang ramai mengecam kerana ia berwajah agak ketinggalan dan 'hodoh' ketika diperkenalkan hujung minggu lalu untuk temasya yang akan berlangsung di Paris bulan depan.
Pegawai badan sukan itu mempertahankan reka bentuk bertemakan emas namun selepas menerima maklum balas daripada pelbagai pihak, mereka memutuskan untuk melakukan penambahbaikan terhadap reka bentuk pakaian bagi atlet Malaysia ke pentas sukan terbesar dunia bermula 26 Julai ini.
"Selepas mengambil kira maklum balas daripada semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan para peminat sukan negara, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akur bahawa reka bentuk jaket rasmi tidak diterima dengan baik.
"Oleh yang demikian, MOM memutuskan untuk menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau (Malaya) yang lebih jelas pada jaket serta logo MOM yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang," kata Norza Zakaria, presiden MOM dalam satu kenyataan kepada BenarNews.
"MOM akan berbincang dengan Yonex (pengeluar pakaian rasmi sukan) untuk menambah baik reka bentuk jaket yang melambangkan status negara dan memenuhi harapan rakyat jelata,"
BenarNews difahamkan bahawa Yonex telah menjadi penaja pakaian rasmi untuk kontinjen Malaysia sejak 2014 dan mahu terus terlibat dalam mereka bentuk semula pakaian tersebut.
Reka bentuk baharu itu akan didedahkan kepada umum dalam beberapa minggu akan datang.
Ketika ia diperkenalkan pada Ahad, majlis pelancaran pakaian atlet itu dimulakan dengan patung baju diselubung kain hitam yang kemudiannya dibuka selepas kiraan detik dilakukan.
Majlis itu mendedahkan empat koleksi dengan reka bentuk bertemakan emas Olimpik Malaysia 2024 bermotif belang harimau pada baju sukan, baju polo, kemeja-T dan jaket yang akan dipakai oleh atlet pada temasya itu.
Bagaimanapun, pengguna media sosial memberikan reaksi dengan pantas, apabila majlis di pusat membeli-belah mewah The Exchange TRX, Kuala Lumpur itu dihujani ratusan kritikan termasuk menyifatkan reka bentuk pakaian itu sebagai "memalukan".
Malah terdapat orang ramai yang mempersoalkan mengenai bendera Malaysia bertemakan emas pada jaket itu dan bukannya warna asal merah, biru, kuning dan putih.
"Berhubung logo MOM yang memaparkan bendera Malaysia sedang berkibar, ia adalah sebahagian daripada logo majlis itu yang merangkumi kibaran Jalur Gemilang bersama lima gegelung Olimpik," jelas Norza.
"Versi lima warna hanya boleh digunakan pada latar belakang putih mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC)."
Jelas Norza, logo itu bukanlah Jalur Gemilang yang dipinda atau diubah suai dengan sesuka hati.
"Apabila digunakan dalam versi lima warna atau polychrome, warna lima gegelung tersebut dari kiri ke kanan, biru, kuning, hitam, hijau dan merah. Biru, hitam dan merah di sebelah atas, manakala kuning dan hijau di sebelah bawah," ujarnya.
Sehari sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempertahankan MOM dan menggesa 25 atlet Malaysia yang bersiap sedia untuk temasya bulan depan supaya tidak mengendahkan komen negatif sebaliknya memberi tumpuan kepada misi Olimpik mereka.
“MOM bertanggungjawab untuk reka bentuk jersi ini. Kita mesti menghormati perjanjian penajaan MOM dengan Yonex. Saya yakin Presiden MOM, Norza Zakaria akan menangani isu itu,” kata Yeoh kepada pemberita selepas satu acara di Kuala Lumpur pada Khamis.
Beliau menambah pakaian yang diperkenalkan oleh MOM pada Ahad tidak akan dipakai semasa perbarisan perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 kerana mereka telah menyediakan pakaian lain untuk upacara pembukaan.
Sasarkan pingat emas
Sementara itu, awal minggu ini, Ketua Kontinjen Malaysia, Hamidin Mohd Amin meminta orang ramai menghentikan rasa tidak puas hati terhadap perkara remeh seperti reka bentuk pakaian.
“Dengan baki 30 hari lagi menjelang Sukan Olimpik, media dan peminat perlu menyokong atlet kita, bukan mempersoalkan perkara kecil seperti warna dan reka bentuk seperti ini. Walaupun warnanya cantik, jika kita tidak mencapai emas atau pingat, ia tidak berguna,” katanya kepada pemberita selepas melawat latihan atlet badminton Olimpik di Kuala Lumpur.
Ketua Kontinjen Malaysia, Hamidin Mohd Amin (kanan) bergambar bersama pemain badminton nombor negara, Lee Zii Jia dengan memperagakan reka bentuk baharu pakaian atlet Sukan Olimpik Paris 2024 di Sentosa Sport Arena, Kuala Lumpur, 25 Jun 2024 [Ihsan Majlis Olimpik Malaysia]
Hamidin menjelaskan keputusan untuk menukar daripada reka bentuk warna jingga sejak 2004 kepada emas adalah dengan kerjasama Yonex, pengeluar pakaian rasmi.
“Kami telah bersetuju dengan Yonex untuk tunjukkan warna emas kerana kami menyasarkan emas, itu sebenarnya temanya. Perubahan ini berlaku selepas ramai atlet sebelum ini menggesa MOM untuk menukar warna lain,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan reka bentuk semula, pengguna media sosial menyatakan rasa lega dan mengharapkan reka bentuk baharu yang dipertingkatkan.
“Menerima kritikan awam adalah bagus. Bukan semua kritikan menandakan kebencian tetapi adalah demi imej negara. Sukan Olimpik bukan milik individu sebaliknya milik semua rakyat Malaysia,” tulis Niu Baru di Facebook.
"Sekiranya tiada idea, mereka boleh tanya pereka muda tempatan untuk rekaan mereka... itu lebih baik daripada apa yang ada sekarang, yang biasa-biasa saja," Nadhrah Rosadaniza turut mengulas di Facebook.
Sementara itu, terdapat juga peminat sukan berharap MOM mengubah pendekatan dengan tidak lagi menggunakan motif belang Harimau Malaya yang biasa menjadi pilihan untuk reka bentuk pakaian sukan antarabangsa.
“Semoga sesuatu yang segar akan muncul dan idealnya sesuatu yang tidak mempermainkan motif harimau kerana Malaysia jauh lebih daripada sekadar harimau yang digunakan secara berlebihan untuk fesyen pakaian,” kata Ernest di X.
Malaysia tidak pernah memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik sejak menyertai temasya itu pada 1964.
Pada temasya terakhir di Tokyo 2020, Malaysia meraih perak dalam acara berbasikal menerusi Azizulhasni Awang dan gangsa melalui beregu badminton Aaron Chia dan Soh Woi Yik.
Daripada 13 pingat yang dimenangi Malaysia dalam Sukan Olimpik, sembilan daripadanya adalah dalam acara badminton.
Di Perancis, Malaysia akan bersaing dalam tujuh acara sukan iaitu terjun, pelayaran, menembak, memanah, berbasikal, angkat berat dan badminton berbanding 10 acara pada temasya sebelumnya.