Perdagangan monyet secara haram berkembang pesat di Kemboja – tetapi mereka yang berkuasa enggan menghentikannya kerana raih keuntungan besar
2023.04.11

Ladang monyet, yang dimiliki bersama oleh Hun Sengny iaitu kakak Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, dikelilingi oleh saluran seperti parit, timbunan tanah setinggi dua meter serta dinding bata yang dilengkapi dengan kawat berduri.
Pengawal-pengawal yang bersenjatakan senapang Kalashnikov meronda sekitar kawasan di dalam ladang itu yang terletak di luar bandar wilayah Kampong Speu, kata seorang bekas pekerja ladang itu kepada Radio Free Asia, sebuah perkhidmatan berita yang bergabung dengan BenarNews.
Jadi, apa yang mahu dilindungi di sebalik dinding tersebut?
Sangkar-sangkar monyet dilihat berada di perkarangan sebuah ladang yang dimiliki bersama oleh kakak Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, di wilayah luar bandar Kampong Speu, Mac 2023. [RFA]
Jawapannya ialah haiwan-haiwan dalam kurungan: kera ekor panjang dari baka primata pilihan ramai untuk tujuan penyelidikan perubatan.
Ujian ke atas haiwan itu telah membantu menghasilkan vaksin untuk penyakit demam kuning. Baru-baru ini, ia telah digunakan untuk menguji rawatan bagi isu-isu yang merangkumi reproduktif sehinggalah obesiti dan ketagihan.
Permintaan untuk spesies itu meningkat dengan ketara semasa bermulanya penularan pandemik itu kerana kera juga adalah penting bagi pembangunan vaksin mRNA untuk COVID-19.
Setelah menjadi pemain hebat dalam perniagaan menyediakan haiwan untuk industri penyelidikan global, Kemboja menjadi hab kepada eksport kera ekor panjang - perniagaan yang menguntungkan tetapi dilakukan secara haram dan terikat dengan elit politik negara.
Pada 2022, ladang-ladang yang membiak baka primata Kemboja seperti yang dimiliki oleh Hun Sengny, telah mengeksport kera-kera dengan anggaran berjumlah kira-kira AS $250 juta, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Permit yang dikeluarkan oleh kerajaan Kemboja untuk eksport monyet. [Edaran]
Tetapi, apabila perniagaan itu berkembang pesat, timbul pula persoalan tentang asal usul monyet yang dihantar Kemboja ke seluruh dunia.
Tuduhan perdagangan haram menjadi teras kepada kes undang-undang berprofil tinggi yang dibawa oleh pendakwa AS terhadap pegawai kerajaan negara itu.
Dua pegawai kanan hidupan liar telah didakwa kerana mengeluarkan permit eksport palsu yang mengesahkan bahawa haiwan kurungan kitu adalah monyet yang diburu dalam usaha untuk memintas sekatan import AS dan perjanjian antarabangsa yang mengawal perdagangan spesies terancam.
Pengarah hidupan liar dan kepelbagaian Kemboja, Kry Masphal, telah ditangkap di New York pada November ketika dalam perjalanan ke persidangan pemuliharaan di Panama. Beliau ditahan di rumahnya dekat Washington, dan akan menghadapi prosiding mahkamah di Miami pada Jun.
Pegawai kedua - Keo Omaliss yang merupakan pengarah Pentadbiran Perhutanan Kemboja, adalah pegawai atasan Kry – dan beliau masih bebas.
"Ia seperti merealisasikan apa yang menjadi kebimbangan besar buat kami," kata Ed Newcomer, ejen Perkhidmatan Ikan dan Hidupan Liar AS, yang baru bersara setelah menghabiskan tempoh 20 tahun untuk menyiasat jenayah hidupan liar di seluruh dunia.
“Apabila pegawai kerajaan dan saudara-mara pegawai berkuasa tinggi terlibat dalam perdagangan hidupan liar, bagaimanakah agensi kawal selia dan penguatkuasaan Kemboja dapat menguatkuasakan undang-undang dengan berkesan?”
Kerajaan Kemboja telah menafikan adanya masalah perdagangan monyet haram di negara itu, walaupun terdapat gesaan oleh pihak pemuliharaan haiwan supaya peraturan lebih ketat dikenakan terhadap ladang berkenaan selama lebih sedekad.
Seorang jurumakmal mengambil sampel sel buah pinggang monyet di makmal di China. [Foto fail AFP]
Perniagaan monyet
Sehinggalah baru-baru ini, China merupakan pembekal kera utama dunia. Tetapi, dalam usaha untuk melindungi usaha pembangunan vaksinnya sendiri, Beijing mengharamkan eksport haiwan itu dan menjadikan Kemboja sebagai sumber nombor satu untuk industri penyelidikan global, yang tiba-tiba menghadapi kekurangan teruk haiwan itu.
Pada 2019, Kemboja mengeksport baka primata paling banyak yang pernah dihantarnya dalam tempoh setahun, menghantar 14,931 ekor ke luar negara dengan harga $33 juta – kos purata $2,271 setiap monyet, menurut data perdagangan PBB.
Selepas itu, bilangan eksport dan purata kos setiap monyet terus meningkat.
Tetapi, pakar menyatakan adalah mustahil untuk kesemuanya dibesarkan secara sah dan diperoleh mengikut peraturan yang mengawal penggunaan monyet primata untuk penyelidikan.
Satu kajian yang diterbitkan awal bulan ini dalam One Health iaitu jurnal sains veterinar yang disemak rakan penyelidik, mendapati bahawa penternak Kemboja memerlukan lebih daripada empat kali ganda kadar pengeluaran untuk mengeksport secara sah bilangan kera semasa wabak itu.
Namun, "Kemboja dari segi sejarahnya tidak mampu membiakkan anak kera generasi kedua, oleh itu meningkatkan kapasiti pembiakan mereka secara sah nampaknya tidak mungkin berlaku," menurut laporan yang ditulis para penyelidik itu.
'Terlalu banyak wang'
Ladang monyet berkubu yang dimiliki oleh kakak Perdana Menteri Hun Sen bukanlah sebahagian daripada kes kerajaan AS.
Tetapi, ini diumpamakan sebagai "hubungan sumbang mahram" seperti yang digambarkan oleh Newcomer iaitu di antara elit politik Kemboja dan perniagaan monyet yang berkembang pesat - dan mengapa ini bermakna industri negara itu tidak mungkin melakukan pembaharuan.
Hun Sengny tidak menyandang sebarang jawatan kerajaan di Kemboja.
Ladang di wilayah Kampong Speu adalah dimiliki bersama oleh kakak Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Hun Sengny. [Facebook]
Tetapi, beliau adalah antara ramai orang yang mempunyai hubungan dengan kuasa politik - rasmi atau sebaliknya - dan telah menikmati kebebasan untuk menjalankan perniagaan dengan hanya sedikit pengawasan kerajaan.
Hun Sengny tidak menjawab permintaan RFA untuk mendapatkan komennya.
Seorang lagi sekutu Hun Sen, Setiausaha Negara Kementerian Pertanian Sen Sovann, telah memajakkan tanah kepada pengusaha ladang monyet yang sedang disiasat oleh kerajaan AS. Dan, pada tahun lepas, seorang bekas menteri menandatangani perjanjian untuk meneroka usaha niaga dengan sebuah lagi firma yang disenaraikan sebagai pihak bersubahat yang tidak didakwa dalam kes Kry.
Memandangkan adanya kepentingan untuk mereka yang mempunyai kuasa politik, pakar bimbang terdapatnya sedikit insentif untuk memperbaharui perdagangan monyet Kemboja, tanpa mengambil kira keputusan perbicaraan AS.
"Terdapat terlalu banyak wang dalam perniagaan ini sekarang yang menyukarkan peluang diberikan kepada kera-kera tersebut," kata Lisa Jones-Engel, ahli primatologi yang kini menasihati kumpulan hak asasi haiwan, PETA.
Radio Free Asia ialah sebuah agensi berita yang bersekutu dengan BenarNews.