Agong: Ancaman Keganasan Makin Menular

Hata Wahari
2016.03.07
160307-my-msiaking620 Yang di-Pertuan Agong, Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah tiba diperkarangan bangunan Parlimen untuk merasmikan sesi parlimen pertama selepas Pilihan Raya Umum 5 Mei, di Kuala Lumpur, 25 Jun 2013.
AFP

Yang di-Pertuan Agong, Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap ancaman militan dan anasir keganasan yang boleh mengancam keselamatan serta menggugat kesejahteraan Malaysia.

Semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Malaysia yang Ke-13 pada Isnin, baginda mengingatkan perkembangan itu perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjerumus negara dalam kancah ketidakstabilan.

“Beta menyokong tindakan proaktif melalui penwujudan undang-undang serta mempertingkatkan aset-aset keselamatan bagi mengekang fahaman ekstrem dan penularan ideologi militan,” titah baginda di Kuala Lumpur.

Baginda bertitah, kerajaan juga komited dalam menambah baik infrastruktur, aset dan keperluan keselamatan di sempadan, dalam usaha memperkasakan kawalan dari pelbagai agensi keselamatan di perbatasan negara melalui penubuhan Agensi Keselamatan Sempadan.

‘Pejuang’

Pada Sabtu lepas, Malaysia mengumumkan seramai 47 rakyatnya telah dikesan berada di Syria dan Iraq kerana terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS) sehingga kini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Mohamad Fuzi Harun dalam satu temubual ekslusif bersama agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan berkata, jumlah berkenaan terdiri daripada 30 lelaki, sembilan wanita dan lapan kanak-kanak.

Katanya, kesemua mereka adalah antara 72 individu yang terlibat dengan kumpulan berkenaan dan 18 orang telah dilaporkan terkorban.

Sementara itu, Pengarah Pusat Krimonologi dan Jenayah Universiti HELP Akhbar Satar semasa diminta mengulas kebimbangan yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong itu berkata, kerajaan perlu menghapuskan secara berterusan kumpulan militan IS terutama yang sedang hendak bertapak ataupun berkembang di Malaysia.

“Malaysia perlu memperkuatkan perisikannya, memperkemaskan latihan serta berkongsi maklumat antara agensi tempatan dan antarabangsa dalam menangani ancaman ini,” kata pakar forensik kriminilogi itu yang juga merupakan pemeriksa poligraf bertauliah dari Amerika Syarikat kepada BeritaBenar.

Tambah beliau lagi, kerjasama dengan Indonesia adalah penting memandangkan banyak individu dari negara seberang ini mempunyai kaitan dan talian dengan kumpulan militan IS.

“Antara lain yang boleh diperbaiki adalah mengadakan kawasan khas untuk tahanan berkaitan keganasan kerana takut mereka mampu mempengaruhi banduan-banduan lain di dalam penjara,” kata Akhbar.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia juga sepatutnya menerima cadangan daripada golongan professional seperti agen penguatkuasa sama ada yang masih berkhidmat atau sudah bersara kerana mereka mempunyai talian dan pemberi maklumat yang sahih dalam bidang tersebut.

Malaysia bakal mempunyai sebuah Pusat Serantau Pintas Mesej dalam usaha kerajaan negara itu memerangi keganasan dan jenayah rentas sempadan serta mempertingkatkan usaha membanteras pemerdagangan manusia.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamid pada lewat Januari lepas berkata, pusat bernilai RM200 juta itu, dijadualkan beroperasi 1 Mei depan dengan misinya untuk menangani propaganda dalam talian kumpulan militan IS.

Pusat yang hampir siap itu, dibina menerusi perjanjian dua hala yang ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat pada Oktober lepas merupakan sebuah pusat yang pertama di Asia Tenggara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.