Aktivis Buruh Mahu Malaysia Perbaiki Keadaan Pekerja Asing

Haireez Azeem Azizi
2016.03.14
Kuala Lumpur
160314-my-pekerjaasing620 Seorang pegawai imigresen Malaysia sedang memeriksa dokumen perjalanan pekerja asing tanpa izin sebelum dihantar pulang ke Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, di luar Kuala Lumpur, 23 Disember 2014.
AFP

Aktivis buruh mahu kerajaan Malaysia memperbaiki keadaan pekerja asing yang berada di negara itu, selepas mengambil keputusan memberhentikan kemasukan pekerja asing secara rasmi.

Walaupun menyambut baik keputusan kerajaan memberhentikan kemasukan pekerja asing dengan serta merta, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan lebih peka dengan masalah yang dihadapi oleh pekerja asing itu.

Setiausaha Agungnya N. Gopal Krishnam berkata, kesatuan itu menerima pelbagai aduan yang dihadapi oleh pekerja asing seperti tidak menerima gaji yang sepatutnya atau terpaksa bekerja sehingga 16 jam sehari.

Yang menerima bayaran levi adalah kerajaan, jadi kenapa mahu menolak masalah kepada kesatuan,” katanya kepada Berita Benar pada Isnin.

Pada Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi seperti dilaporkan media tempatan berkata, “Majikan yang mahukan pekerja atau tidak cukup pekerja, silalah berhubung dengan ketiga-tiga kesatuan iaitu MTUC, Persekutuan Majikan Malaysia(MEF) dan Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), mudah-mudahan mereka dapat menguruskan (pengambilan) pekerja di syarikat masing-masing,”

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan keputusan Kabinet yang sebulat suara bersetuju memberhentikan pengambilan baru pekerja asing ke negara itu yang dibuat pada Jumaat lepas.

Serentak dengan keputusan itu, kerajaan juga akan mengenakan hukuman sebat terhadap majikan dan ejen yang didapati bersalah menggajikan pekerja asing tanpa izin, dan bukannya denda lagi.

Gopal menambah, kesatuan mahu membantu majikan dan pekerja yang berada di dalam negara dan sedia menerima pelbagai aduan mengenai keadaan pekerja di negara itu.

‘Dasar konkrit’

Sehubungan itu, katanya, satu dasar konkrit dan tidak boleh diubah pendiriannya perlu dilaksanakan oleh kerajaan jika ia mahu menangani isu pekerja asing yang berada di Malaysia.

Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan kenyataan media memaklumkan keputusan kerajaan untuk memendekkan program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) enam bulan lebih awal daripada tarikh akhirnya iaitu 31 Disember.

KDN berkata kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan terhadap mana-mana majikan yang menggaji PATI selaras dengan kesalahan di bawah Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63, yang membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 tetapi tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap pekerja yang diambil.

“Prestasi program ini masih tidak memuaskan walaupun hampir sebulan ia dilaksanakan beserta operasi penguatkuasaan besar-besaran yang giat dijalankan oleh Jabatan Imigresen ekoran masih terdapat ramai majikan yang didapati menggaji PATI.

"Oleh yang demikian, kerajaan ingin menyeru para majikan supaya menggunakan peluang yang ada untuk menyertai program ini, bagi membolehkan PATI mempunyai permit kerja yang sah," kata kenyataan itu.

Program yang dilaksanakan secara dalam talian bermula pada 15 Feb lepas, antara lain memberi peluang kepada PATI dari 15 negara sumber sedia ada memiliki permit untuk bekerja.

‘Tidak lepas tangan’

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil & Sederhana Malaysia ( IKHLAS ) Mohd Ridzuan Abdullah menyambut baik keputusan kerajaan memberhentikan pengambilan pekerja asing ke negara itu.

“Saya menyokong penuh keputusan untuk tidak mengambil pekerja asing yang baru tetapi dalam masa yang sama kerajaan tidak boleh lepas tangan terhadap PATI yang masih ada di dalam negara,” kata Ridzuan kepada BeritaBenar pada Isnin.

Naib Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS) Idris Ahmad pula meminta kerajaan memberikan penjelasan terhadap status perjanjian persefahaman (MoU) antara Bangladesh dengan Malaysia yang ditandatangani bulan lalu.

“Apakah MoU itu terbatal begitu sahaja? Apa reaksi daripada pihak kerajaan Bangladesh? Apakah kerajaan dikenakan apa-apa bayaran ganti rugi kerana membatalkan MoU ini.

“Kita mengharapkan supaya Ahmad Zahid mengkotakan apa yang dikatanya, jika benar kerajaan memberhentikan pengambilan pekerja asing, janganlah tindakan itu dibuat kerana hendak menghadapi pilihanraya negeri Sarawak tidak lama lagi,” katanya kepada BeritaBenar.

Malaysia dan Bangladesh pada pertengahan Februari menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menerima 1.5 juta pekerja Bangladesh di bawah mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G-to-G Plus) secara berperingkat untuk tempoh tiga tahun.

Perjanjian itu ditandatangani di Dhaka antara Menteri Sumber Manusia Richard Riot yang mewakili kerajaan Malaysia dan Menteri Ekspatriat, Kebajikan dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Nurul Islam di Pejabat Ekspatriat Kebajikan Dhaka.

Dua hari selepas MoU itu ditandatangani, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa kerajaan akan membekukan pengambilan semua pekerja asing termasuk dari Bangladesh untuk membolehkan kerajaan mengkaji semula levi dua kategori ke atas pekerja asing dan memberi tumpuan kepada program penggajian semula pekerja asing.

Sementara itu, seorang pekerja asing sebuah restoran di Lembah Klang, Budi Julianto mengakui berasa sedikit lega apabila dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan memberhentikan pengambilan pekerja asing.

"Saya sudah tiga tahun bekerja di Malaysia dan selesa bekerja di sini. Tempat tinggal dan makan minum semuanya diberi. Saya mencari rezeki halal. Jika tiada pekerja lain yang masuk, maka peluang untuk saya untuk sambung kontrak lebih besar," jelas Budi ketika ditemui Berita Benar.

Beliau berkata sejak beliau bekerja di Malaysia, awal tahun 2013, beliau tidak pernah menghadapi sebarang masalah mengenai permit pekerjaannya.

"Saya kerja sehari 12 jam dan saya dibayar RM900 sebulan. Saya tidak kisah soal gaji kerana saya kerja dengan ikhlas," katanya.

"Dengan ini rezeki untuk keluarga saya di sana (Indonesia) tidak akan terganggu kerana kami bekerja disini mengikut kontrak dan sekurang-kurangnya saya mahu menambah lagi kontrak untuk beberapa tahun sebelum pulang ke sana" katanya mengenai kontraknya yang bakal tamat pada tahun 2017.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.