Muhyiddin Berjaya Atasi Halangan Terakhir, Belanjawan 2021 Lulus Dengan Majoriti Tipis
2020.12.15
Kuala Lumpur
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Selasa berjaya memperolehi majoriti tipis semasa sesi undian Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 kerajaannya, sekaligus terselamat daripada ujian getir di mana pihak pembangkang cuba menghalang daripada diluluskan Parlimen.
Dengan kelebihan tiga undian yang diterima, bermakna Muhyiddin mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri bagi kerajaan yang tidak dipilih rakyat, sejak sembilan bulan lepas, selain mengepikan laporan yang mengatakan adanya Anggota Parlimen kerajaan Perikatan Nasional pimpinan beliau yang mahu menolak udian Belanjawan tersebut.
Pada masa yang sama, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim gagal membuktikan dakwaan yang beliau mempunyai hampir dua pertiga sokongan anggota parlimen dalam usahanya untuk menjadi perdana menteri, setelah 111 daripada 220 ahli Dewan Rakyat memilih untuk menyokong Belanjawan bernilai RM322.5 bilion (AS$78.1bilion).
"Keputusan undian adalah seperti berikut: Bersetuju 111, tidak bersetuju 108, dan tidak hadir 1. Maka Rang Undang-Undang ini disetujukan untuk dibacakan kali ketiga dan diluluskan sekarang," umum Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun sejurus selesai sesi undian yang dijalankan di Dewan Rakyat yang disambut dengan sorakan Ahli Parlimen kerajaan.
Penolakan terhadap bajet yang diusulkan itu adalah usaha terakhir dalam menjatuhkan kepimpinan Muhyiddin sejak ia mengambil alih Putrajaya pada Mac lalu, susulan krisis politik yang membawa kepada peletakan jawatan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketika itu dan kejatuhan Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang dipilih hanya selepas 22 bulan memerintah.
“Pendirian ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini turut membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan ancaman COVID-19,” kata Muhyiddin dalam hantaran di laman media sosial rasmi Faceboonya pada lewat Selasa.
Sistem Parlimen Westminster yang menjadi asas sistem demokrasi Malaysia berpegang kepada prinsip bahawa kegagalan sesuatu kerajaan untuk mendapat kelulusan bagi usul Belanjawan sebagai satu kehilangan kepercayaan, dan mengkehendaki Perdana Menterinya meletakkan jawatan. Perkara itu juga memungkinkan terjadinya pilihanraya umum tergempar.
Kerajaan Muhyiddin sebelum ini telah berjaya mendapatkan kelulusan parlimen dalam peringkat pertama pembentangan usul itu pada 26 November lepas tanpa rintangan sukar daripada pasukan pembangkang.
Isu penting tidak diselesaikan
Walaupun belanjawan itu telah diluluskan, Anwar mendakwa bahawa banyak isu penting dalam bajet yang masih tidak ditangani oleh kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin dan berkata blok pembangkang akan terus menentang belanjawan berkenaan.
"Belanjawan itu juga terdapat banyak kelemahan, dan ini telah dibukti dan diperdebatkan secara terperinci di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli Parlimen. Belanjawan 2021 mencerminkan betapa kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih dari kebajikan dan keterdesakan hidup rakyat.
"Kerajaan PN akan terus berdepan dengan masalah keyakinan, dan ini telah dibuktikan hari ini apabila ia hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan. Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan," kata Anwar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat petang Selasa.
Sehari sebelum undian belanjawan itu diadakan, gabungan pembangkang dipimpin Anwar telah mengeluarkan kenyataan menggesa ahli-ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak supaya menolak bajet itu, dan menyatakan bahawa ia gagal menepati objektif dalam melawan pandemik COVID-19 serta membantu rakyat dan menghidupkan kembali ekonomi negara.
Beberapa jam sebelum itu, Mahathir dan ahli parlimen veteran Tengku Razaleigh Hamzah dari Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) juga telah muncul buat julung kalinya dalam satu sidang media secara bersama, di mana mereka memberikan bayangan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin akan jatuh pada Selasa. Mereka juga menggesa para ahli parlimen untuk meletakkan kepentingan negara dalam membuat keputusan.
"Ada kemungkinan esok bila undian untuk bacaan ketiga belanjawan, ada kemungkinan kerajaan akan kalah. Saya harap mereka yang berada di parlimen akan tidak memikirkan diri mereka sendiri, tetapi memikirkan tentang negara," kata Mahathir.
Razaleigh pula berkata bahawa beliau berkongsi pentas yang sama dengan Mahathir kerana isu keabsahan kerajaan sedia ada.
"Saya percaya bahawa kerajaan yang ada sekarang ini kerajaan yang tidak mendapat keabsahan. Oleh kerana itu keadaannya tidak begitu stabil. Apabila kerajaan tidak stabil, tidak ada siapa akan menaruh kepercayaan kepada keadaan bukan saja politik tapi juga ekonomi," kata Razaleigh, yang merupakan ahli parlimen Gua Musang, Kelantan.
Beliau turut memberitahu sidang media bahawa beliau tidak akan mengambil bahagian di dalam sesi undian bajet atas alasan bahawa kerajaan yang membentangnya adalah kerajaan yang tidak sah. Tengku Razaleigh mengotakan janjinya itu, dan menjadi satu-satunya ahli parlimen yang tidak menghadiri sesi pada Selasa.
Sementara itu, penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur, Tunku Mohar Mokhtar berkata perselisihan dalaman di antara UMNO dan Bersatu pimpinan Muhyiddin tetapi masih mengundi sebagai blok yang sama bagi meluluskan Belanjawan.
"Margin kelulusan adalah kecil. Mereka mengundi sebagai satu blok walaupun terdapat beberapa ketidaktentuan mengenai undi dari pihak UMNO. Bagaimanapun, sokongan itu menunjukkan bahawa kerajaan PN berada dalam keadaan yang sempit dan kerajaan tidak begitu stabil," kata Mohar kepada BeritaBenar.
Ahli akademik itu menambah bahawa Muhyiddin berkemungkinan akan kekal berkuasa sehingga pilihanraya umum akan datang sekiranya beliau terus memberikan Umno apa yang mereka mahukan.
Semasa Perhimpunan Agung parti Bersatu pada 27 November lepas, Muhyiddin berkata bahawa pilihanraya umum akan diadakan "selepas pandemik" COVID-19 berlalu.
"Jika diizinkan Allah, apabila pandemik COVID-19 berakhir, kita adakanlah pilihanraya umum," kata Muhyiddin.