Parlimen Malaysia Lulus Belanjawan Pertama Kerajaan Pimpinan Muhyiddin Yassin

Hadi Azmi
2020.11.26
Kuala Lumpur, Malaysia
201126-MY-Muhyiddin100.jpg Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin (dua dari kiri) melambai ke arah kamera sejurus tiba bagi menghadiri sesi Parlimen di Kuala Lumpur pada 26 Nov 2020.
[AFP/Jabatan Penerangan Malaysia]

Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin lulus ujian pertama di Parlimen pada Khamis selepas mendapat undi majoriti bagi membolehkan ia dibawa ke peringkat seterusnya sebelum melalui proses pengundian akhir.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata pihaknya akan memberikan lebih tekanan kepada kerajaan di peringkat seterusnya yang bermula pada 30 Nov ini dan kejayaan pada Khamis bukanlah jaminan bahawa belanjawan itu akan diluluskan pada akhir sesi Parlimen.

“Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar serta sangat penting kepada negara dan sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar.

“Ini membuktikan Kerajaan PN (Perikatan Nasional) amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19,” demikian menurut Muhyiddin dalam kenyataan pada petang Khamis.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang memberikan sokongan bagi meluluskan usul itu dan berkata ia merupakan lambang kematangan Ahli Parlimen Malaysia yang meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa serta kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara lain.

Di bawah undang-undang Malaysia, mana-mana usul perlu melalui proses perdebatan di Parlimen dan proses pengundian pada peringkat polisi sebelum dibahas serta diundi sekali lagi pada peringkat jawatankuasa sebelum pengundian akhir untuk menjadikan usul itu sebagai satu undang-undang.

Muhyiddin, yang memimpin kerajaan dengan kelebihan dua kerusi di Parlimen, memerlukan belanjawan yang dibentangkan di Putrajaya itu diluluskan untuk mengukuhkan kedudukan beliau sebagai perdana menteri dan kerajaan pimpinannya.

Istana Negara dalam satu kenyataan menyebut Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang telah mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Okt 2020 lalu untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

“Sesungguhnya, selain daripada pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, Belanjawan 2021 amat penting kepada Kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak COVID-19,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin.

Anwar, dalam penjelasan lanjut berkaitan tindakan pihak pembangkang, berkata mereka tidak cuba untuk menghalang belanjawan itu daripada diluluskan pada peringkat ini kerana tidak mahu dilihat sebagai tidak ambil peduli terhadap penambahbaikan yang dilakukan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam pembentangan beliau pada Khamis.

“Saya tidak mahu dilihat sebagai tidak mempedulikan fakta bahawa menteri telah mengambil beberapa langkah walaupun beliau menentang beberapa isu asas tetapi ada beberapa langkah yang telah diambil yang mungkin diterima oleh rakyat,” katanya kepada media selepas undian dibuat.

Walaupun “tidak mempedulikan beberapa isu” serta enam tuntutan yang dibawa oleh gabungan Pakatan Harapan, Anwar berkata menteri itu bagaimanapun telah mengumumkan tambahan dana dan elaun kepada pekerja barisan hadapan, petani dan nelayan selain berikrar untuk mengurangkan peruntukan 85 juta ringgit (US$20.8 juta) untuk unit propaganda kerajaan iaitu JASA yang ditentang hebat oleh Ahli Parlimen.

“Ini menyulitkan lagi isu. Saya fikir buat masa ini, kita benarkan beliau untuk teruskan… tetapi tiada jaminan bahawa ia akan diluluskan.. kita pasti akan menolak dan meminta usul itu dikaji semula jika perlu,” katanya kepada media.

Pihak pembangkang menerima kritikan hebat di media sosial berikutan perlakuan mereka di dalam Parlimen apabila hanya 13 pemimpinnya berdiri untuk meminta agar undian belah bahagi digunakan berbanding undian suara dalam meluluskan belanjawan itu. Bagi membolehkan undian belah bahagi diadakan, sokongan 15 Ahli Parlimen diperlukan.

“Cuma ada 13… perlu 15. Lebih suara bersetuju, maka usul ini akan dibawa ke bahagian jawatankuasa,” kata Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion (US$79.28 bilion) diluluskan pada 3.20 petang.

Kemenangan buat kerajaan

Felow Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata walaupun pembangkang masih mempunyai peluang untuk menghalang belanjawan itu daripada diluluskan, keputusan undian pada Khamis sudah pun mengurangkan peluang itu.

“Dari segi teori, mereka boleh lakukannya kerana ada peringkat jawatankuasa dan undian akhir tetapi peluang itu sudah berkurangan kerana kerajaan sudahpun menang pada peringkat awal,” katanya kepada BeritaBenar.

Oh berkata kenyataan perdana menteri yang mengumumkan kemenangan beliau atas kelulusan belanjawan itu adalah usaha Muhyiddin untuk mencipta momentum supaya usul tersebut boleh dibawa sehingga undian terakhir.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata beliau langsung tidak terkejut dengan keputusan meluluskan belanjawan itu pada peringkat ini kerana sudah menjangkakannya.

“Perkara yang sama setiap tahun. Kerajaan akan mencadangkan sesuatu dan kemudian mereka akan memperbaikinya sedikit selepas proses perdebatan dan kemudian belanjawan diluluskan dan inilah yang berlaku,” kata beliau.

Usul Belanjawan 2021 akan dibahaskan semula di peringkat jawatankuasa pada 30 Nov ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.