Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin didakwa salah guna kuasa, lakukan pengubahan wang haram
2023.03.10
Kuala Lumpur

Bekas Perdana Menteri kelapan Malaysia Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah pada Jumaat atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pengubahan wang haram membabitkan program bantuan COVID-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan semasa mendepani pandemik itu.
Mengikut kertas pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang dilihat oleh BenarNews, pemimpin utama blok pembangkang itu yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyalah guna kuasa beliau semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM232.5 juta (AS$51.3 juta) dan melakukan pengubahan wang haram melibatkan RM195 juta (AS$43 juta).
Diiringi sorakan para penyokongnya, Muhyiddin yang ditahan dan kemudian dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sehari sebelum itu hadir di mahkamah pada Jumaat untuk pendakwaan.
Muhyiddin dan beberapa lagi pemimpin pembangkang sebelum ini menuduh pentadbiran Anwar Ibrahim berniat jahat kerana mendakwa pemimpin-pemimpin pembangkang dengan pertuduhan rasuah beberapa bulan selepas blok yang diketuai Muhyiddin kalah dalam Pilihan Raya Umum lepas.
“Saya didakwa menyalahgunakan kuasa Perdana Menteri untuk melantik kontraktor Bumiputera berkenaan Projek Jana Wibawa. Saya menafikan tuduhan ini,” kata Muhyiddin kepada pemberita di mahkamah selepas beliau didakwa.
“Saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan projek-projek ini. Kesemua projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan dan prosedur perolehan yang sah.
“Saya juga dituduh menyalahgunakan kuasa untuk meluluskan Rayuan Pembatalan Pengecualian Cukai oleh Yayasan Al-Bukhary tajaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Saya menafikan dakwaan ini. Kelulusan rayuan pengecualian cukai ini dibuat oleh Kementerian Kewangan dan saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskannya,” kata beliau.
Pertuduhan ke atas Muhyiddin menjadikan beliau bekas Perdana Menteri Malaysia kedua dalam tempoh lima tahun yang didakwa atas kesalahan rasuah.
Pada Ogos 2022, bekas Perdana Menteri keenam Malaysia Najib Razak dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes rasuah membabitkan skandal dana pelaburan negara 1MDB, yang turut menjadi antara punca kekalahan beliau pada pilihan raya umum 2018.
Muhyiddin pula berdepan hukuman penjara maksimum masing-masing 20 tahun dan lima tahun bagi setiap pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, jika didapati bersalah.
Mengenakan baju berjalur biru muda dan putih bersama sut gelap, Muhyiddin dilihat tenang serta melambai ke arah ratusan penyokong yang menunggu beliau di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejurus tiba pada 8.30 pagi.
Beliau diiringi isterinya, Norainee Abdul Rahman, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dan Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal serta beberapa pemimpin Perikatan Nasional yang lain.
Dalam prosiding pada Jumaat, Hakim Azura Alwi mengenakan jaminan sebanyak RM2 juta (AS$442,086) ke atas Muhyiddin dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu menyerahkan pasport antarabangsa beliau kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Muhyiddin telah ditahan pada petang Khamis di ibu pejabat SPRM selepas dipanggil memberi keterangan berhubung siasatan terhadap beliau berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa, atau singkatannya Jana Wibawa.
Penyokong pemimpin pembangkang Muhyiddin Yassin berdiri di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap beliau yang didakwa dengan beberapa pertuduhan berkait dakwaan rasuah, 10 Mac, 2023. [S.Mahfuz/BenarNews]
Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada Mac 2020 sebelum meletak jawatan pada Ogos 2021 ketika negara itu berdepan krisis COVID-19 yang meledak di seluruh dunia.
Bagi mendepani pandemik itu, kerajaan pimpinan Muhyiddin telah memperkenal program Jana Wibawa yang membolehkan pelaksanaan projek dipercepat bagi membantu kumpulan kontraktor Bumiputera selain merangsang pertumbuhan ekonomi negara sepanjang penularan wabak tersebut.
Program tersebut juga bertujuan meningkatkan kapasiti kontraktor Melayu dan Bumiputera yang terlibat dalam industri pembinaan agar dapat bertahan serta berdaya saing ketika itu.
Bagaimanapun, Anwar telah mengarahkan supaya projek bernilai berbilion ringgit yang telah diluluskan oleh Muhyiddin, termasuk program berkaitan bantuan COVID-19, dikaji semula kerana didakwa tidak mengikut prosedur.
“Ia pasal saya, bukan kontraktor,” kata Muhyiddin kepada pemberita pada Jumaat.
“Seperti yang anda sedia maklum, Jana Wibawa adalah projek yang diluluskan oleh Kabinet untuk membantu kontraktor Bumiputera yang terjejas teruk akibat COVID-19 dan itu diluluskan oleh Kabinet dan telahpun dilaksanakan. Saya tidak bersetuju dengan tuduhan itu dan itulah keadaannya,” kata beliau.
Penyokong bekas Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin memegang plakad di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur tempat beliau didakwa atas pelbagai pertuduhan rasuah, 10 Mac 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Pada Khamis, Anwar telah menafikan dakwaan kem pembangkang bahawa siasatan terhadap Muhyiddin adalah bermotifkan politik.
“Saya ingin menegaskan di sini bahawa semua yang mahu negara bersih daripada rasuah mesti melihat satu persatu kes dan melihat sama ada benar bahawa ini adalah tuduhan bermotif politik, seperti yang mereka katakan, atau berdasarkan fakta,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.