Muhyiddin Terajui Majlis Pemulihan Negara, Kerajaan Baharu Elak Undi Percaya

Peguam Negara berkata tidak perlu laksanakan undi percaya pemilihan Ismail Sabri di Parlimen.
Noah Lee & Muzliza Mustafa
2021.09.04
Kuala Lumpur
Muhyiddin Terajui Majlis Pemulihan Negara, Kerajaan Baharu Elak Undi Percaya Peserta protes memegang sepanduk menggesa Perdana Menteri Muhyiddin supaya meletak jawatan, ketika satu demonstrasi berhampiran Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, 31 Julai 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Sabtu kembali menyertai kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob selepas dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri, tiga minggu selepas meletak jawatan ekoran kehilangan majoriti.

Pada hari yang sama Peguam Negara Idrus Harun turut mengeluarkan kenyataan media memberitahu bahawa tidak ada keperluan untuk melaksanakan proses undi percaya bagi mengabsahkan pemilihan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baharu, kerana perlantikan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah melalui prosedur yang betul.

Kenyataan Idrus itu dilihat bertentangan dengan titah Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, yang mahukan Perdana Menteri Malaysia yang baharu membentangkan undi percaya di Parlimen selepas dilantik ke jawatan itu bagi membuktikan dirinya menguasai sokongan majoriti di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dalam kenyataan empat perenggan mengenai perlantikan Muhyiddin berkata, "Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September 2021 telah bersetuju untuk melantik Mahiaddin Md. Yasin, mantan Perdana Menteri ke-8 sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri,”

"Pelantikan ini telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong," kata Mohd Zuki yang menggunakan nama rasmi sebenar Muhyiddin pada Sabtu.

Majlis Pemulihan Negara adalah sebuah badan yang dianggotai wakil dari pelbagai sektor, kepakaran dan juga badan bukan kerajaan yang ditubuhkan Julai lalu dengan tujuan menggabungkan pengalaman dan pengetahuan bagi membantu menasihati kerajaan mencari jalan keluar daripada pandemik COVID-19 serta krisis ekonomi yang dihadapi negara.

Menurut Mohd Zuki, pelantikan Muhyiddin dibuat berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap kemampuan bekas perdana menteri itu untuk menerajui strategi pemulihan negara.

"...Lantikan beliau dibuat demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19," kata beliau.

Jalan tugas secara sukarela

Susulan pengumuman itu, Muhyiddin dalam satu kenyataan ringkas di Facebook berkata bahawa beliau berbesar hati menerima lantikan tersebut, dan akan menjalankan tugas baru itu secara sukarela tanpa menerima apa-apa bayaran.

"Kepercayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan ini merupakan suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19," kata Muhyiddin.

"Saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan," tambah beliau.

Muhyiddin telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 16 Ogos selepas diasak supaya membuktikan keabsahan kerajaannya di Parlimen ekoran penarikan sokongan oleh parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang merupakan parti terbesar dalam gabungan yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional pimpinan beliau pada waktu itu.

UMNO sebelum itu telah mengumumkan bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin, dan menganggap bahawa beliau telah gagal mengemudi negara dengan baik terutama dalam menangani pandemik COVID-19.

Keputusan kerajaan Ismail Sabri untuk melantik Muhyiddin mengetuai usaha pemulihan negara telah menerima kecaman dari pelbagai pihak, termasuk ahli politik dan rakyat di media sosial.

Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa bahawa tindakan Ismail Sabri membawa masuk Muhyiddin kembali ke dalam kerajaan adalah satu usaha untuk memastikan kestabilan kedudukannya.

Beliau mempertikaikan keputusan itu, dan mempersoalkan pemilihan Muhyiddin selepas bekas perdana menteri itu dikatakan telah gagal menguruskan negara semasa berkuasa.

"Keputusan Perdana Menteri melantik mantan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara amatlah mengecewakan.

"Mahiaddin ketika memegang tampuk pemerintahan negara telah gagal menguruskan respon negara dalam wabak Covid-19 sama ada dari segi kesihatan, eknomi mahupun pendidikan. Mahiaddin yang bertanggungjawab atas penderitaan rakyat ketika ini."

Sentimen serupa turut dinyatakan warga netizen, yang rata-rata mempunyai pandangan skeptikal terhadap keupayaan Muhyiddin.

"Masa berjawatan PM dah gagal inikan pula sebagai Pengerusi bertaraf menteri. Mesti gagal kuasa dua," kata seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama Noor Azmi Hashim.

"Beliau tidak mampu membuat kerja semasa menjadi Perdana Menteri. Apa bezanya sekarang?" soal seorang lagi pengguna Twitter menggunakan nama Ho KH.

Penganalisa politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata kepada BenarNews keputusan melantik Muhyiddin itu dilihat lebih kepada kepentingan politik Perdana Menteri dalam memastikan sokongan terhadap tampuk pemerintahannya.

"Berdasarkan reaksi daripada netizen rata-rata melahirkan kekecewaan mengenai keputusan kabinet melantik Muhyiddin sebagai pengerusi MPN. Hal ini kerana Muhyiddin sudah diberikan peluang sebagai Perdana Menteri dan menangani isu negara termasuk pemulihan negara namun pihak komponen Perikatan Nasional sendiri menolaknya kerana dianggap tidak berjaya menanganinya dan digantikan dengan Perdana Menteri baru.

"Jadi melantik semula sebagai pengerusi MPN dan memberikan status menteri hanya dilihat sebagai kepentingan politik PM untuk sokongan politik dan menjaga hubungan dan sokongan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu) ," kata Awang Azman kepada BenarNews.

Tidak perlu bukti keabsahan PM

Dalam pada itu, Idrus tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat telah pun diputuskan oleh Seri Paduka Baginda sendiri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain.

"Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang," kata Idrus.

Susulan daripada peletakan jawatan Muhyiddin pada bulan lalu, Sultan Abdullah telah menerima mengadap ketua-ketua parti politik yang mempunyai jumlah Anggota Parlimen untuk membincangkan mengenai calon Perdana Menteri baharu.

Baginda kemudiannya telah menitahkan supaya semua 220 ahli Parlimen menghantar satu nama yang mereka sokong untuk menjadi Perdana Menteri terus ke Istana Negara.

Selepas tamatnya tarikh tutup kepada Anggota Parlimen menyatakan siapa yang disokong mereka, Sultan Abdullah telah memanggil 114 daripada mereka yang telah menghantar nama Ismail Sabri untuk ditemubual di Istana Negara.

Langkah tersebut dipercayai diambil baginda bagi mengesahkan sokongan mereka kepada naib presiden UMNO itu.

Istana Negara melalui Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Samsuddin dalam satu kenyataan pada 18 Ogos lepas memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan bahawa calon Perdana Menteri “hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai isu tersebut, peguam veteran Salim Bashir Bhaskaran memberikan pandangan yang menyetujui seperti apa yang disuarakan Peguam Negara, dengan berkata proses pelantikan Ismail Sabri telah menurut lunas-lunas yang dikehendaki di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Isu membentangkan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri bagi memuaskan peruntukan perlembagaan dan mengabsahkan keputusan Tuanku tidak berbangkit.

"Dan dalam apa keadaan sekalipun, sebarang sebab untuk usul kepercayaan itu dipertimbangkan hanyalah untuk menurut permintaan Yang di-Pertuan Agong supaya Perdana Menteri menguji sokongannya di Parlimen apabila ia dibuka semula nanti,” kata peguam tersebut.

Impak negatif kepada kerajaan

Penganalisis politik Awang Azman pula berkata semua pihak patut akur kepada titah Sultan Abdullah supaya Perdana Menteri yang dilantik oleh baginda mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat dengan keengganan mematuhi titah istana hanya akan memberikan impak negatif kepada kerajaan serta mengeruhkan hubungan dengan institusi diraja.

"Ia akan menyebabkan hubungan Istana Negara dan kerajaan pimpinan Ismail akan dingin seperti mana berlaku ketika era kerajaan pimpinan Muhyiddin.

"Perkara ini tidak dialu-alukan kerana rakyat mahukan kestabilan politik, kerajaan pimpinan Ismail Sabri perlu menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan keabsahan dilakukan di Parlimen supaya tidak mengulang situasi yang dialami Muhyiddin yang tidak melakukan undi percaya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri," kata Awang Azman kepada BenarNews.

Tunku Mohar Mokhtar, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pula percaya bahawa lantikan Muhyiddin serta kenyataan terbaru Peguam Negara itu akan mencetuskan satu lagi gelombang penolakan terhadap kerajaan.

"Dengan ketidakpuasan hati orang ramai terhadap barisan Anggota Kabinet yang dilantik baru-baru ini, dan terkini kenyataan media Peguam Negara yang tidak diundang serta pelantikan Muhyiddin, satu gelombang baharu penolakan mungkin akan berlaku," kata beliau kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.