Bekas PM Malaysia Muhyiddin Yassin ditahan atas dakwaan rasuah, diikat jamin
2023.03.09
Kuala Lumpur & Putrajaya

KEMASKINI pada 12 tengah hari waktu tempatan ETS - 2023-03-09
Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Khamis telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dakwaan berkaitan rasuah sebelum melepaskan beliau dengan ikat jamin beberapa jam kemudian.
Sebagai syarat jaminan, pemimpin pembangkang itu yang juga merupakan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) harus berada di mahkamah pada Jumaat untuk didakwa demikian menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.
Menurut Azam, Muhyiddin akan didakwa dengan pertuduhan salahguna kuasa berkaitan dengan penganugerahan projek-projek bantuan pandemik COVIS-19 yang diluluskan di bawah pentadbiran beliau.
“Beliau telah dibebaskan dengan ikat jamin. Syarat yang diberikan ialah beliau harus hadir di Mahkamah Kuala Lumpur pada pagi Jumaat untuk proses pendakwaan,” kata Azam kepada BenarNews.
Muhyiddin dan para penyokongnya tiba di Ibupejabat SPRM di Putrajaya pada lewat pagi Khamis selepas agensi tersebut memanggilnya untuk disoal mengenai dana kerajaan bagi Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa, atau dikenali sebagai Jana Wibawa.
Bekas perdana menteri itu kemudiannya telah ditahan SPRM pada jam 1 petang, menurut kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa, namun telah dibebaskan dengan jaminan kira-kira jam 8 malam. Agensi itu berkata Muhyiddin akan dituduh di mahkamah pada jam 9 pagi keesokan harinya (Jumaat) atas pelbagai dakwaan termasuk salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
"Ya, beliau akan didakwa esok, bukan hari ini," kata Azam Baki, semasa dihubungi BenarNews semasa Muhyiddin sedang disoal siasat suruhanjaya itu pada tengah hari Khamis.
Kenyataan suruhanjaya itu memaklumkan yang bekas perdana menteri itu “akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 4(1) b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.” Seksyen 23 merujuk kepada pertuduhan salah guna kuasa.
Kenyataan itu menambah bahawa Muhyiddin ditahan selepas tiba di Ibupejabat suruhanjaya itu untuk direkodkan kenyataan mengenai siasatan "berkaitan projek Jana Wibawa dan isu lain yang berkaitan."
Muhyiddin, 75, yang merupakan Presiden parti Bersatu, berkhidmat sebagai perdana menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, iaitu ketika negara Asia Tenggara berkenaan sedang berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19.
Muhyiddin Yassin, pemimpin pembangkang Malaysia yang juga Presiden parti Bersatu, yang dipanggil untuk disoal siasat tiba di Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di Putrajaya, 9 Mac 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Sekiranya dibicara dan didapati bersalah atas pertuduhan ke atasnya, Muhyiddin bakal menjadi bekas perdana menteri Malaysia kedua yang terpalit skandal rasuah selepas Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana skandal kewangan 1MDB, yang turut menjadi sebab kekalahan pentadbiran Barisan Nasional pimpinannya pada 2018.
Muhyiddin sebelum ini pernah menjadi timbalan perdana menteri kepada Najib, namun dipecat pada 2015 selepas menyuarakan kebimbangannya kepada umum mengenai kecurian berbilion dolar dana dari syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad.
Muhyiddin berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan 5 tahun bagi setiap dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Selepas dibebaskan pada Khamis, Muhyiddin berkata beliau tidak bersalah.
"Pendakwaan terpilih ke atas saya ini adalah satu tindakan politik berniat jahat yang dilakukan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, semata-mata untuk melumpuhkan dan menghancurkan Bersatu dan Perikatan Nasional.
"SPRM seharusnya mengetahui dari semua keterangan yang diambil bahawa tidak berlaku sebarang salah guna kuasa atau perbuatan merasuah.
"Saya telah menegaskan bahawa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan di bawah undang-undang. Saya bukan pihak yang mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang projek kerajaan. Kuasa melulus adalah di bawah bidangkuasa Kementerian Kewangan," kata Muhyiddin dalam kenyataan empat mukasurat sebaik saja dibebaskan dengan ikat jamin.
Pentadbiran Muhyiddin telah memperkenalkan program Jana Wibawa bagi mempercepatkan pelaksanaan projek-projek dan menyuntik perkembangan ekonomi negara ketika dan selepas pandemik.
Program tersebut juga bertujuan meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera-Melayu dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing. Kaum Melayu beragama Islam merupakan etnik majoriti di Malaysia dan merupakan blok pengundi besar yang penting buat parti-parti politik untuk menang dalam pilihan raya.
Pada tahun lepas, Perdana Menteri Anwar mengarahkan kerajaan meneliti semula projek-projek kerajaan bernilai berbilion ringgit yang telah diluluskan pentadbiran Muhyiddin, termasuk program-program bantuan COVID-19, dan mendakwa bahawa bekas PM itu tidak mengikuti prosedur yang betul.
Pada November 2022, blok politik pimpinan Muhyiddin telah bertanding dalam Pilihan raya umum Malaysia ke-15 yang melihat pertarungan sengit antara tiga gabungan politik utama.
Namun, pilihan raya tersebut menyaksikan tidak ada satu parti atau gabungan politik yang berjaya mendapatkan majoriti dengan sendiri untuk menubuhkan kerajaan, sebelum Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya satu kerajaan perpaduan ditubuhkan dan melantik lawan Muhyiddin dari Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Sejak kebelakangan ini, pentadbiran negara pimpinan Anwar telah memulakan langkah melawan rasuah dan menjalankan siasatan terhadap pemimpin-pemimpin Bersatu.
Susulan itu, Muhyiddin telah menuduh perdana menteri baharu tersebut cuba melemahkan parti pembangkang kerana takut hilang kuasa.
Para penyokong Muhyiddin, pemimpin pembangkang daripada Parti Bersatu, berhimpun di luar ibu pejabat SPRM, 9 Mac 2023 (S. Mahfuz/BenarNews)
‘Pendakwaan terpilih’
Anwar pada Khamis menyangkal dakwaan bahawa siasatan terhadap Muhyiddin yang juga musuhnya adalah bermotifkan politik.
“Saya ingin tegaskan di sini, semua orang yang mahu negara ini bersih daripada rasuah, harus lihat kes satu persatu sama ada benar pendakwaan politik yang disebut, atau berdasarkan fakta,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Perdana Menteri kemudian menyentuh mengenai kes itu di Parlimen.
“Saya pegang jawatan ini bukan untuk menganiaya, menekan atau menzalimi sesiapa. Saya tahu apa erti pendakwaan terpilih,” katanya.
“Mereka sepatutnya minta penjelasan daripada SPRM dan AGC, soalan sepatutnya ditujukan ke situ,” katanya merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.
Bulan lalu, Azam mengesahkan bahawa SPRM telah membekukan beberapa akaun bank milik Bersatu, yang merupakan parti utama dalam gabungan Perikatan Nasional. Pembekuan akaun tersebut merupakan sebahagian daripada langkah dalam siasatan SPRM ke atas dakwaan penyelewengan dana daripada pakej rangsangan ekonomi pasca-pandemik.
Pada Rabu, Muhyiddin telah memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk semakan kehakiman ke atas tindakan diambil SPRM terhadap beliau dan Bersatu.
Dalam dokumen-dokumen mahkamah yang dilihat oleh BenarNews, Muhyiddin, yang menamakan Azam sebagai responden pertama dalam permohonannya, meminta mahkamah supaya membatalkan tindakan Azam dan pegawai-pegawai SPRM yang membekukan akaun parti berkenaan serta mengenakan sekatan perjalanan terhadap bekas PM itu, yang diarahkan supaya menyerahkan pasportnya kepada pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata parti pimpinan Muhyiddin adalah ancaman utama kepada Pakatan Harapan yang diterajui Anwar serta gabungan politik berpengaruh Barisan Nasional.
“Cara terbaik untuk membunuh kami ialah dengan menggunakan pendakwaan terpilih. Sasaran utama ialah Muhyiddin Yassin. Pemimpin semasa penuh dengan dendam kesumat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang bersekutu dengan Bersatu, pula mendoakan agar Muhyiddin akan selamat dan dipelihara Allah.
“Kami telah mengarahkan semua ahli PAS serta rakan-rakan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional untuk mengadakan solat hajat agar Allah akan menyelamatkan pemimpin kita,” kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.
[Laporan ini telah dikemaskini untuk memasukkan komen daripada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berikutan pembebasan beliau dengan jaminan SPRM dan komen Perdana Menteri Anwar Ibrahim]