Perdebatan hangat antara pemimpin politik isu sekolah aliran Cina, Tamil

Presiden Pejuang berkata, sistem persekolahan vernakular cetuskan perpecahan kaum, sebaliknya ramai membidas parti politik sebenarnya memecahbelahkan masyarakat.
Ili Shazwani Ihsan & Iskandar Zulkarnain
2023.03.06
Kangar & Georgetown, Malaysia
Perdebatan hangat antara pemimpin politik isu sekolah aliran Cina, Tamil Sekumpulan kanak-kanak India tersenyum pada kamera semasa sedang menunggu bas sekolah mereka di sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil di Batang Berjuntai, kira-kira 100 km barat Kuala Lumpur, 18 Feb, 2008.
[AFP]

Pemimpin sebuah parti bertunjangkan Melayu telah mencetuskan perdebatan hangat apabila mengkritik sekolah-sekolah dalam aliran Tamil dan Cina sebagai bahasa pengantar, dengan mendakwa sistem persekolahan tersebut menyebabkan perpecahan dalam masyarakat berbilang kaum.

Kenyataan tersebut hadir beberapa hari selepas seorang ahli politik kanan dari etnik Cina meluahkan kekecewaan bahawa rakyat bukan dari kaum Melayu tidak akan dapat dilantik sebagai perdana menteri untuk beberapa generasi yang akan datang biarpun Perlembagaan negara tidak menghalangnya.

Mukhriz Mahathir, Presiden Pejuang, sebuah parti yang diasaskan oleh ahli politik veteran dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang tidak lagi bersama parti, berkata negara itu perlu terlebih dahulu menghapuskan faktor yang memecahbelahkan rakyatnya sebelum mempertimbangkang berkemungkinan bukan Melayu sebagai Perdana Menteri.

“Dengan adanya sekolah vernakular, ia mewujudkan perbezaan aliran pendidikan yang mungkin menyebabkan perpecahan di kalangan anak-anak kita,” kata beliau dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Isnin.

“Kita perlu membenarkan anak-anak kita belajar, bermain dan bergaul antara satu sama lain supaya perbezaan antara mereka diraikan dan bukannya memecah-belahkan. Selepas itu barulah kita boleh berharap untuk melihat orang bukan Melayu sebagai rakyat Malaysia, tidak dibezakan oleh latar belakang etnik mereka.”

Mukhriz berkata adalah tidak mengapa sekiranya bukan Melayu dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu dan latar belakang etnik mereka yang kedua.

"Ia juga tentang cara orang lain melihatnya berdasarkan kata-kata, tindakan, cara hidup dan tingkah laku seseorang," tambahnya lagi.

“Tidak seperti orang Cina Thai, yang sebati dengan etnik Thai lain, orang Cina Malaysia sering bertegas untuk mengekalkan bahasa, budaya dan cara berfikir mereka berasingan daripada majoriti orang Melayu. Ini hanya mengukuhkan penekanan kepada etnik dan mewujudkan perpecahan lagi dalam masyarakat.”

Mukhriz memberi respon kepada catatan blog pada Jumaat lalu, oleh ahli politik veteran Lim Kit Siang, pengasas bersama Parti Tindakan Demokratik, atau DAP, yang merupakan parti gabungan Pakatan Harapan yang memerintah.

Lim merujuk kepada laporan berita dalam Daily Express yang memetik Mahathir sebagai berkata bahawa orang Melayu tertinggal kebelakang di negara itu, jadi beliau akan bekerja untuk kaumnya.

Dalam konteks itu, Lim menulis bahawa selepas lebih enam dekad merdeka, pemimpin sepatutnya bercakap tentang masalah di Malaysia dan bukannya masalah Melayu atau bukan Melayu.

Pemimpin veteran itu seterusnya berkata walaupun Perlembagaan tidak menghalangnya, "Saya tidak menjangkakan untuk melihat seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri dalam hidup saya malah seumur hidup anak-anak saya."

Mukhriz, anak lelaki Mahathir, membalas komen tersebut.

‘Hapuskan parti politik berasaskan kaum’

Komen Mukhriz tidak mendapat sambutan ramai di media sosial.

Etnik Melayu merangkumi hampir 70 peratus dari 33.80 juta penduduk Malaysia dengan kaum Cina membentuk 22.8 peratus manakala India sebanyak 6.6 peratus.

“Terdapat faktor lain yang menyumbang kepada perpecahan masyarakat, antaranya parti politik berasaskan kaum dan agama yang terus menghasut retorik perkauman dan agama. Bolehkah kita hapuskan ini terlebih dahulu?” ciap seorang pengguna Twitter @rakyat_Malaysia.

“Hapuskan dulu cara pemikiran bapa kamu …, kemudian hapuskan parti politik berasaskan kaum. Sekolah vernakular tidak mendiskriminasi kaum, parti politik lakukan!” ciap @Eddie LFC 19X di Twitter.

Penganalisis juga berkata, apa yang dicadangkan oleh Presiden parti Pejuang itu boleh mencetuskan lagi ketegangan di negara berbilang kaum dan agama itu.

Jeniri Amir, felo kanan Majlis Profesor Malaysia berkata adalah mustahil dan tidak wajar untuk mengubah sesuatu yang telah diintegrasikan ke dalam sistem selama beberapa dekad.

“Mengharapkan kaum Cina membenarkan penghapusan sekolah vernakular ini sama seperti harapkan orang Melayu menyerahkan jawatan perdana menteri pada orang Cina atau India. Akan ada ketegangan kaum,” katanya kepada BenarNews.

“Secara realistiknya, adalah idealisme yang baik untuk melihat negara di bawah satu arus perdana demi perpaduan. Bagaimanapun, ini adalah sebuah negara berdasarkan kontrak sosial dengan sejarahnya sendiri.”

Seorang lagi penganalisis, Siti Norayu Mohd Basir, pensyarah kanan Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum Universiti Malaysia Perlis pula berkata mempunyai sekolah Cina dan Tamil adalah isu identiti.

“Isu sekolah vernakular saling berkait dengan perpaduan, jati diri dan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. … Bagi orang bukan Melayu seperti India dan Cina, mereka melindungi identiti kaum mereka melalui pemeliharaan bahasa ibunda mereka di sekolah vernakular.

“Tidak syak lagi, isu pemansuhan sekolah ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak, justeru, adalah penting untuk memberi tumpuan kepada mencari penyelesaian supaya sekolah vernakular dapat mengekalkan semangat perpaduan sambil meraikan kepelbagaian itu,” kata beliau kepada BenarNews.

Bagi ahli akademik Awang Azman bin Awang Pawi dari Universiti Malaya, komen Mukhriz adalah mencari perhatian dan bertujuan untuk menggembirakan blok pembangkang Perikatan Nasional, yang Pejuang mahu sertai.

“Mukhriz memohon untuk menyertai Perikatan Nasional, ini bermakna beliau perlu menyesuaikan diri secara kenyataan, pandangan, sikap beliau dengan pendirian Perikatan Nasional.

“Dalam konteks ini, PN lebih konservatif dan tradisional, justeru Mukhriz tiada pilihan selain mengasimilasikan dirinya secara tertib untuk diterima oleh Perikatan Nasional. Justeru, [kenyataan Mukhriz] ini adalah satu langkah politik untuk mendapatkan perhatian selain menunjukkan beliau amat sesuai,” katanya kepada BenarNews.

Semasa pilihan raya umum November lalu, penganalisis menyatakan Perikatan Nasional semasa kempennya memainkan isu-isu berasaskan kaum, memaparkan ucapan yang didakwa memecahbelahkan, dalam usahanya untuk memenangi sebahagian besar undi etnik Melayu di tengah-tengah percambahan video kebencian tanpa nama.

Awang berkata tiada parti pemerintah di Malaysia yang akan memansuhkan sekolah Cina dan Tamil.

“Sekiranya Perikatan Nasional mahu melakukannya, mereka boleh melakukannya semasa mereka berkuasa,” katanya merujuk kepada jawatan ketua blok itu dan bekas PM Muhyiddin Yassin yang memerintah dari Mac 2020 hingga Ogos 2021.

“Ia [sekolah sebegini] telah dipersetujui sejak Malaysia mencapai kemerdekaan dan ia boleh mengganggu perpaduan di kalangan negara berbilang kaum jika sekolah itu dimansuhkan.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.