Ahli Perniagaan Korea Utara Cabar Arahan Ekstradisi ke Amerika Syarikat

Nisha David & Hadi Azmi
2020.09.18
Kuala Lumpur, Malaysia
200918-MY-MunKorea.jpg Kim Yu Song (kanan) kuasa usaha di Kedutaan Korea Utara di Malaysia melihat ke arah media ketika ahli keluarga Mun Chol Myong (kiri) berjalan ke arah lif selepas pendengaran kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 18 Sept 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Ahli perniagaan Korea Utara yang berhadapan dengan ekstradisi dari Malaysia ke Amerika Syarikat pada Jumaat melalui peguambelanya telah membentangkan hujahan pertama mencabar permohonan mengekstradisi beliau bagi berdepan dengan pendakwaan pengubahan wang haram dan pelanggaran sekatan AS terhadap Pyongyang di negara itu.

Mun Chol Myong, 55, yang berada dalam tahanan sejak ditangkap pihak berkuasa Malaysia pada 13 Mei 2019, menerusi peguamnya Gooi Soon Seng memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Shahrir Mohd Salleh yang beliau tidak bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat itu, dan ianya adalah “bersifat politik”.

"Ekstradisi terhadap Mun tidak sah kerana kesalahan yang didakwa Amerika Syarikat tidak dilakukan beliau di Malaysia. Pasukan pembelaan tertuduh juga tidak pernah dibenarkan untuk berdebat mengenai pertuduhan yang didakwa terhadapnya  oleh pihak berkuasa AS," kata Gooi di hadapan Hakim Ahmad Shahrir.

Sidang di Mahkamah Tinggi pada Jumaat itu adalah yang pertama selepas pada Disember lalu, di mana Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang mendengar kes Mun itu, telah meluluskan permohonan pihak pendakwaan mengekstradisi beliau ke Amerika Syarikat, dengan Hakim Rohatul Akmar Abdullah memberikan Mun dan pasukan peguambelanya 15 hari untuk mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.

Kes Mun telah dibawa semula ke mahkamah pada 26 Disember tetapi mahkamah memberikan satu tarikh baru iaitu pada 13 Mac untuk mendengarnya semula, dengan kemudiannya turut memberi tarikh baru lain, iaitu pada 7 Julai selepas lelaki tersebut memberitahu mahu menukar pasukan peguambelanya.

Pendengaran kes Mun bagaimanapun ditangguhkan oleh mahkamah apabila Putrajaya mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19 sehingga ke hari ini.

Gooi, peguambela yang baru dilantik Mun pada Jumaat buat pertama kalinya telah membentangan hujahan mencabar permohonan mengekstradisi anakguamnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi dengan berkata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada masa itu telah menggunakan kuasanya menurut Akta Ekstradisi 1992 dengan tidak membenarkan mahkamah melihat affidavit daripada pihak AS dalam penghakiman, justeru menghalang anak guamnya daripada mendapat perbicaraan yang adil.

“Kami katakan, undang-undang tersebut bercanggah dengan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan dimana hak asasinya untuk diadili secara adil di mahkamah terhalang kerana keputusan mahkamah untuk menahannya di bawah tahanan sementara menunggu arahan menteri dan ini telah berlakunya pelanggaran kebebasan peribadi,” jelas Gooi.

Tidak diberi peluang

Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada kebebasan peribadi yang antara lain menyatakan bahawa seseorang ditangkap hendaklah diberitahu dengan segera tentang alasan kenapa beliau ditahan.

Sebaik Gooi menyatakan alasan rayuan itu, Hakim Ahmad Shahrir menyoal pihak pendakwaan berhubung tertuduh tidak diberikan peluang untuk bercakap berkaitan pertuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Pendakwaraya Faizul Aswad Mas bangun dan memberitahu hakim berkenaan dengan berkata, "Alasan kami ialah perbicaraan di Malaysia adalah bagi mendapatkan kebenaran untuk mengekstradisi Mun ke AS”.

“Beliau akan diberi peluang untuk membela diri berhubung pertuduhan pengubahan wang haram ketika perbicaraan di Amerika Syarikat nanti," kata Faizul Aswad kepada hakim.

Gooi semasa membacakan alasan rayuan bagi pihak anak guamnya dengan turut memberi dua lagi alasan tambahan dengan berkata yang pihak pendakwaan Amerika Syarikat tidak mengemukakan aliran wang haram yang didakwa keatas Mun yang tidak melakukan kesalahan seperti yang didakwa pihak berkuasa negara itu.

Mun sebelum ini telah menafikan dakwaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bahawa beliau mengetuai satu kumpulan penjenayah yang melanggar sekatan dengan membekalkan barangan mewah ke Korea Utara dan mengubah dana melalui syarikat kosong.

Hakim Ahmad Shahrir kemudiannya memberitahu yang mahkamah akan membuat keputusan mengenai hujah mencabar permohonan ekstradisi itu pada 8 Oktober depan.

Mun tidak hadir ketika sesi mahkamah dan hanya kelihatan isterinya, Kang Son Bi yang duduk di galeri awam bersama anak perempuannya bersama dua pegawai Pejabat Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Mun yang tinggal di Malaysia bersama keluarganya selama sedekad, terlibat dalam urusan perniagaan di China, dan telah berada dalam tahanan di Kuala Lumpur sejak ditahan pihak berkuasa Malaysia pada Mei tahun lepas.

Pasukan pembelaannya pernah memberitahu mahkamah yang beliau terlibat dalam pembekalan minyak sawit dan minyak kacang soya ke Korea Utara.

Amerika Syarikat telah membuat permohonan terhadap Malaysia dengan meminta lelaki itu diekstradisi atas dakwaan melanggar sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Pyongyang kerana membekalkan barangan mewah ke negara asalnya sendiri.

Beliau didakwa dengan empat pertuduhan penggubahan wang haram dan dua pertuduhan berkonspirasi menggubah wang berkaitan dengan pekerjaannya di Singapura, yang melanggar Kod Amerika Syarikat.

Kes itu berkaitan dengan pekerjaan Mun pada 2014 sebagai pengurus pembangunan perniagaan dengan sebuah syarikat yang berpusat di Singapura, yang membekalkan barangan ke Korea Utara.

Eksport barangan ke Korea Utara, termasuk barang mewah, diharamkan berdasarkan sekatan umum yang dikenakan ke atas Pyongyang oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan negara lain, termasuk Amerika Syarikat, berkait program senjata negara tersebut.

Sumber perisikan Malaysia memberitahu BeritaBenar sebelum ini yang Amerika Syarikat percaya bahawa Mun telah melanggar sekatan PBB, yang bertujuan menghalang Korea Utara daripada memperoleh dana yang boleh disalurkan untuk program nuklear Pyongyang.

Tidak jelas jenis barang yang dibekalkannya dalam tuduhan terhadap Mun, tetapi terdapat beberapa kes melibatkan peniaga di Singapura sejak beberapa tahun lalu yang menghantar barangan seperti minuman keras dan barang kemas ke Korea Utara..

Pada Ogos 2019, Singapura mendakwa tiga orang yang dikaitkan dengan SinSMS Pte. Ltd, sebuah firma di negara pulau itu yang bergabung dengan Dalian Sun Moon Star International Logistics Trading Co. yang berpangkalan di China, atas pertuduhan melanggar sekatan PBB. Mereka dituduh melakukannya dengan memudahkan penghantaran alkohol bernilai 600,000 dolar Singapura (AS$432,384) ke Korea Utara.

Pertuduhan itu dibuat selepas Jabatan Perbendaharaan AS membuat pengumuman pada Ogos 2018 untuk menyekat dan menamakan syarikat, pelabuhan dan kapal yang memudahkan penghantaran haram serta memberikan aliran pendapatan kepada rejim Korea Utara, terutama entiti yang berpangkalan di China, Singapura dan Rusia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.