Solidariti Palestin: Ahli Parlimen kerajaan bidas tindakan KPM libatkan murid
2023.10.26
Kuala Lumpur
Beberapa penggubal undang-undang dari blok kerajaan membidas tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semasa sidang perbahasan di Parlimen dengan mendakwa kerajaan telah mempolitikkan sistem pendidikan negara itu apabila menggesa semua sekolah dan kolej vokasional untuk menganjurkan Minggu Solidariti Palestin bermula 29 Okt.
Malaysia sebuah negara majoriti penganut beragama Islam sejak sekian lama menjadi penyokong tegar isu-isu Palestin, namun satu pekeliling yang dikeluarkan oleh KPM pada 21 Okt. telah mencetuskan perdebatan awam mengenai kesesuaian sekolah sebagai tempat yang sesuai untuk menunjukkan solidariti.
“Secara peribadi, saya rasa tiada masalah untuk kita bersolidariti untuk menentang kekerasan dan jenayah perang tetapi apa perlunya kita membawa perkara ini ke sekolah-sekolah dan institusi pendidikan dan melibatkan anak-anak yang harus fokus mewacanakan pendidikan dan masa depan mereka.
“Saya juga tidak menyokong Israel mahupun Hamas menggunakan kekerasan sebab saya nobatkan keamanan sejagat dan saya percaya seluruh Ahli Parlimen dalam dewan ini hendakkan keamanan dan tindakan KPM ini bukan tata kelola yang baik tetapi akan merosakkan segalanya,” demikian kata Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin semasa sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau yang juga dari Gabungan Parti Sarawak turut menegaskan yang kerajaan seharusnya mara ke hadapan dalam menzahirkan solidariti dalam isu berkenaan dan bukannya bergerak ke belakang.
“Ya, kerajaan kita 'walk the talk' (melaksanakan apa yang diperkatakan). Mereka terlalu banyak bercakap, berjalan ke sana dan ke sini, tetapi tiada apa yang berlaku. Kita terus melangkah ke belakang. Ini bukan caranya,” tegasnya lagi.
Ngeh Koo Ham, Ahli Parlimen Beruas dari Parti Tindakan Demokratik yang juga merupakan blok kerajaan turut bersetuju dengan pendirian Mongin.
“Saya rasa isu ini memang isu yang rumit. Dan kalau kita orang dewasa mendapati ia suatu perkara yang susah diselesaikan, bagi saya tidak seharuslah dibawa ke sekolah di mana murid-murid tidak akan faham tentang isu ini,” ujarnya lagi.
Mongin and Ngeh mengulas pekeliling yang dikeluarkan KPM berhubung penganjuran Minggu Solidariti Palestin bermula 29 Okt hingga 3 Nov depan.
Menurut KPM, penganjuran acara solidariti berkenaan adalah sebagai menyahut pendirian kerajaan Malaysia untuk mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
“Program ini bertujuan mendidik murid-murid akan nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan. Ini termasuk sikap empati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.
“Minggu Solidariti Palestin adalah kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan seperti yang terkandung dalam Pendidikan Sivik di sekolah,” demikian antara kandungan pekeliling dan juga kenyataan media KPM.
Selain ahli parlimen kerajaan, Baru Bian, dari pembangkang mewaliki Sarawak turut mempertikaikan tindakan KPM.
“Penting untuk kita berempati dengan penderitaan mereka dan membawa mesej keamanan.
“Namun, mengambil sikap berpihak dalam konflik ini dan melibatkan anak-anak kita dalam isu politik yang rumit tidak kondusif terhadap pendidikan dan kesejahteraan mereka.
“Sekolah sepatutnya kekal sebagai ruang neutral untuk pembelajaran, perkembangan dan pemahaman," ujar setiausaha agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
Baru menegaskan integriti institusi pendidikan seharusnya kekal neutral dilindungi daripada dilibatkan dari terjebak dalam perangkap pertikaian politik global.
Lebih 3,000 orang hadir pada perhimpunan 'Freedom For Palestine' anjuran bersama beberapa badan bukan kerajaan tempatan membantah kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, 22 Oktober 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]
Pertahan tindakan KPM
Bagaimanapun, Aiman Athirah Sabu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempertahankan tindakan KPM.
Ahli Parlimen Sepang dari Parti Amanah Negara itu menegaskan isu Palestin tidak seharusnya dilihat menerusi lensa agama, tetapi sebagai isu kemanusiaan.
"Lebih baik anak-anak ini diberikan pendedahan dan maklumat tepat tentang apa sebenarnya isu Palestin," katanya kepada media ketika ditemui di Parlimen.
Tindakan KPM turut disokong oleh Hishammuddin Hussein, Ahli Parlimen Sembrong dari UMNO
“Sebenarnya apa yang kita nak didik anak-anak kita adalah nilai-nilai kemanusiaan dan apa yang dibawa ke sekolah berhubungkait Palestin ini merupakan isu kemanusiaan.
“Kalau itu pendekatannya tidak berkisar kepada politik saya sebagai mantan menteri pendidikan setuju dengan cadangan yang berhormat tadi,” ujarnya semasa sesi perbahasan.
Seorang Ahli Parlimen pembangkang dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Mishabul Munir Masduki menyokong langkah KPM itu.
“Setuju usaha kementerian pendidikan yang ingin membawa solidariti Palestin ke sekolah-sekolah diteruskan supaya pihak kerajaan boleh memberikan gambaran yang sebenar tentang kezaliman Israel dan penganiyaan terhadap umat Islam Palestin yang hari-hari dibunuh, dibom dan sebagainya.
“Sekiranya pihak kerajaan tidak masuk ke sekolah untuk memberi gambaran, bimbang akan ada pelajar yang mendapat maklumat yang salah kononnya Hamas yang bertindak ganas padahal yang bertindak ganas dari zaman berzaman ialah rejim Israel,” ujarnya ketika mengulas isu tersebut.
Faouzi Singon, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili 400,000 guru di Malaysia mempertahankan tindakan KPM.
“Isu kezaliman peperangan tanpa perikemanusiaan ini yang menjadi isu. KPM ingin mendidik murid-murid terhadap rasa empati dan benci kepada kezaliman dan peperangan. Perkara ini tidak wajar dipandang dari sudut negatif. Pendidikan lebih berkesan terhadap situasi dan isu semasa. Kanak-kanak boleh dididik dengan rasa empati.
“Jika ada golongan yang menolak program ini apakah isu negatif atau salahlaku yang mereka jangkakan kesan daripada program ini kepada kanak-kanak sekolah hingga perlu menolaknya?” ujarnya kepada BenarNews.
PIGB bantah
Begitupun, Mohamad Ali Hasan Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional mempunyai pandangan berbeza.
“Solidariti seperti ini sepatutnya hanya melibatkan golongan dewasa, bukannya kanak-kanak. Biarkan kanak-kanak memberi perhatian kepada pendidikan mereka. Mungkin lebih sesuai hanya melibatkan pelajar-pelajar yang lebih berusia.
“Masa pembelajaran sangat berharga. Tidak sepatutnya masa mereka digunakan untuk aktiviti lain, saya fikir kita tidak sepatutnya mengheret masa mereka untuk isu solidariti seperti ini,” katanya kepada BenarNews.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mendakwa terdapat bukti penyedia platform media sosial TikTok “secara sistematik telah menurunkan kandungan berkaitan konflik Palestin-Israel dari Malaysia”.
Ujarnya ini termasuk kandungan dan siaran langsung ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang berlangsung pada Selasa.
“Saya bagi contoh, satu kandungan ucapan Perdana Menteri berserta dengan beberapa gambar dari Gaza.. berdasarkan maklum balas dari pihak TikTok mereka mengatakan ada gambar keganasan...Tetapi bila saya teliti balik kandungan itu, ia adalah seorang ayah yang mengangkat mayat anaknya yang diselimut.
“Tidak ada gambar darah, tidak ada yang orang kata macam yang menggerunkan. Bagi saya, ini tak masuk akal…Saya sangat-sangat marah dengan pihak TikTok dan kita telah memberi satu mesej yang kalau bagi saya mereka tak faham ini, kita kena fahamkan mereka,” katanya kepada media pada Khamis.
Iman Muttaqin Yusof di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.