Malaysia Sokong Kerjasama Tentera 34 Negara Islam Perangi Keganasan
2015.12.15

Putrajaya menyokong inisiatif kerajaan Arab Saudi membentuk pakatan tentera 34 negara Islam bagi memerangi ancaman keganasan, bagaimanapun Malaysia tidak akan menghantar pasukan tenteranya, kata Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein pada Selasa.
Beliau berkata, kerajaan menghargai pengiktirafan Arab Saudi kerana turut melibatkan Malaysia dalam kerjasama tersebut, yang sekali gus dilihat dapat menyatukan negara-negara Islam dalam menentang keganasan.
“Inisiatif itu dibuat oleh Arab Saudi…. dan kali ini [Malaysia] tiada sebarang komitmen ketenteraan tetapi hanya tertumpu kepada persefahaman bahawa Malaysia bersama-sama memerangi kegiatan militan. Ini merupakan satu pendirian tepat,” katanya di Kuala Lumpur.
Menurutnya Timbalan Raja Arab Saudi, Mohammed Salman yang juga Menteri Pertahanan negara itu, telah menghubunginya dua hari lepas serta berbincang mengenai pendirian Malaysia berhubung isu keganasan dan memeranginya.
Pendirian yang disampaikan Mohammed Salman itu juga selari dengan persetujuan kesemua 10 negara anggota ASEAN yang dipengerusikan Malaysia semasa ia bersidang di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Agensi berita The Associated Press pada Selasa melaporkan mengenai pengumuman kerajaan Arab Saudi berhubung penubuhan kerjasama ketenteraan melibatkan 34 negara Islam bagi memerangi keganasan.
Laporan itu, yang memetik pengumuman yang diterbitkan oleh Saudi Press Agensi iaitu organisasi media milik kerajaan negara itu, bahawa pusat operasi bersama akan ditempatkan di Riyadh, ibu kota Arab Saudi.
Menurut kenyataan itu, Islam melarang ‘perbuatan rasuah dan kerosakan di dunia’ dan gerakan keganasan adalah ‘pencabulan maruah dan hak asasi yang sangat serius, khususnya hak untuk hidup dan hak untuk perlindungan keselamatan’.
Antara negara yang telah memberi persetujuan untuk terlibat dalam pakatan ketenteraan itu ialah Pakistan, Turki, Mesir, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Bangladesh, Benin, Chad, Togo, Tunisia, Djibouti, Senegal, Sudan, Sierra Leone, Somalia, Gabon, Guinea, Palestin, Comoros, Qatar, Cote d'Ivoire, Kuwait, Lebanon, Libya, Maldives, Mali, Malaysia, Morocco, Mauritania, Niger, Nigeria dan Yaman.
Bagaimanapun, Iraq dan Syria yang berdepan dengan ancaman langsung dari militan Negara Islam (IS) serta Iran yang dikuasai oleh Shiah, tidak tersenarai dalam pakatan itu.
‘Lindung suami’
Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa telah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas seorang ketua kerani perangkaan selepas mengaku bersalah melindungi suaminya yang terlibat dalam aktiviti militan di Syria.
Poziah Harun, 42, didakwa kerana melindungi suaminya Zulqarnain Ghaz Ab. Ghani, 31, yang pulang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan selepas cedera semasa bertempur di Syria.
Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, Hakim Kamardin Hashim mengarahkan tertuduh yang juga ibu kepada tiga anak, supaya menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 Ogos lalu.
Dalam penghakimannya, Kamardin berkata kesalahan Poziah masih dikategorikan sebagai kesalahan serius walaupun tertuduh hanya berniat untuk melindungi dengan menemani suaminya bagi mendapatkan rawatan.
Menurutnya, mahkamah memberi perhatian serius terhadap faktor kepentingan awam yang melibatkan ketenteraman dan keselamatan negara disebabkan penularan kes keganasan di negara itu.
"Kesalahan dalam perbuatan keganasan ini bukan sahaja melibatkan pergerakan secara berkumpulan tetapi ia bergerak secara individu dalam pelbagai cara yang boleh membawa kemusnahan seperti pengganas ekstremis di Perancis dan Thailand," kata hakim itu.
Menurut fakta kes, Poziah didakwa melindungi Zulqarnain, sedangkan dia mempunyai pengetahuan bahawa suaminya itu telah melakukan perbuatan keganasan.
Fakta kes itu juga menyebut bahawa Zulqarnain telah menghubungi tertuduh untuk memberitahu kepulangannya dari Syria dan kemudian meminta tertuduh membawanya ke poliklinik bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan yang dialami ketika di Syria.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Poliklinik Azhar & Rakan-Rakan di Jalan Masjid, Taman Pekan Baru, Sungai Petani, Kedah, pada awal Sept hingga Disember 2014.
Pada 19 Ogos lepas, tertuduh ditangkap di rumahnya kerana tidak melaporkan kepulangan suaminya ke Malaysia selain turut menyembunyikan punca kecederaan yang dialami suaminya.
Peguam Poziah, Mohd Hazrin Alif Wahab, dalam rayuannya memohon supaya tertuduh dijatuhkan hukuman penjara minimum kerana wanita itu bertindak sebagai seorang isteri.
Menurutnya, Poziah perlu menjaga tiga anak yang masih bersekolah dan anak kedua tertuduh menderita penyakit kemurungan selepas ibu dan bapanya (dari perkahwinan pertama) berpisah sejak dua tahun lepas.
Poziah yang berjubah dan bertudung hitam menangis dan berpelukan dengan anggota keluarganya sebaik mahkamah menjatuhkan hukuman.
Zilqarnain, seorang bekas penceramah bebas telah dijatuhi hukuman sembilan bulan di mahkamah sama pada 9 Okt lalu kerana memasuki Syria dan menyokong keganasan.
Pada 2 Dis lalu, Kementerian Dalam Menteri (KDN) mengesahkan seramai 72 rakyat Malaysia, yang terlibat dengan kumpulan militan Negara Islam (IS), berada di Syria dan Iraq, dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamad berkata, daripada jumlah itu, seramai 58 adalah lelaki manakala 14 lagi wanita.
“Seramai 51 orang masih meneruskan jihad di Iraq dan Syria, tujuh sudah pulang ke Malaysia dan 14 meninggal dunia,” katanya.