Bukan aktiviti manusia tetapi alam semula jadi, sebabkan tanah runtuh di Batang Kali, kata laporan

Tiga belas kanak-kanak adalah antara 31 orang yang terkorban dalam bencana di tapak perkhemahan berhampiran Kuala Lumpur, pada Disember tahun lalu.
Iman Muttaqin Yusof & Minderjeet Kaur
2023.10.18
Kuala Lumpur
Bukan aktiviti manusia tetapi alam semula jadi, sebabkan tanah runtuh di Batang Kali, kata laporan Dua buah kenderaan yang rosak teruk dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali, Selangor, 16 Dis 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Laporan oleh kerajaan Malaysia yang didedahkan kepada umum pada Rabu menolak faktor pembangunan berdekatan dan aktiviti manusia dalam kejadian tanah runtuh yang telah mengorbankan 31 nyawa di tapak perkhemahan tidak berlesen di luar Kuala Lumpur pada Disember 2022.

Hasil dapatan rasmi yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Alam (NADMA), bagaimanapun, tidak memuaskan hati keluarga mangsa yang ditemui BenarNews, di mana mereka menuntut kerajaan bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.

Sembilan puluh dua orang termasuk kanak-kanak sedang tidur di tapak perkhemahan di Batang Kali, kira-kira 30 batu (48 km) dari Kuala Lumpur, semasa runtuhan tanah dan serpihan jalan jatuh ke kawasan tapak itu hanya beberapa jam sebelum subuh pada 16 Dis.

Tiga belas kanak-kanak adalah antara yang maut dengan pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa hampir seminggu untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat dan menemui 61 daripadanya yang masih hidup.

"Faktor utama yang menyebabkan kejadian tanah runtuh tersebut adalah kegagalan semula jadi, yang berkemungkinan dipengaruhi faktor geologi dan hujan," kata agensi tersebut dalam laporan teknikal setebal 143 mukasurat berhubung kejadian tanah runtuh yang paling dasyat itu.

"Dua faktor signifikan yang menyumbang kepada kejadian seumpama itu adalah hujan dan hidrogeologi, yang berkait dengan perubahan dalam rejim air bawah tanah,"

NADMA dalam laporannya itu berkata, dua kejadian tanah runtuh besar berlaku dalam masa selang 20 minit, dengan yang pertama disebabkan oleh ketepuan air dan menyaksikan zon runtuhan bersaiz 120 meter (393 kaki) panjang dan 14 meter (46 kaki) dalam.

“Tiada bukti kukuh menunjukkan aktiviti antropogenik merupakan salah satu faktor penyumbang kepada kejadian tanah runtuh,” kata laporan itu, menggunakan perkataan yang merujuk kepada perubahan alam sekitar yang dikaitkan atau disebabkan dengan aktiviti manusia.

Loh Teng Shui, 45, bapa kepada Zech Loh Qi Yi, kanak-kanak berusia 7 tahun yang terbunuh dalam tragedi itu, tidak yakin dan mempersoal hasil laporan tersebut.

"Berdasarkan laporan itu, punca kejadian diletakkan kepada taburan hujan yang tinggi dan lebihan air yang banyak. Soalan saya ialah, mengapa ia hanya berlaku di lokasi berkenaan sahaja? Saya rasa kawasan lain juga menerima taburan hujan yang sama banyak, jadi kenapa ia hanya memberikan kesan kepada kawasan berkenaan?

"Hidup kami sekarang tidak senang. Apa yang berlaku adalah amat berat kepada saya dan isteri. Kami berasa bersalah seumur hidup kami kerana kami kehilangan satu-satunya anak lelaki kami. Tiada apa di dunia ini yang dapat menggantikannya," kata Loh kepada BenarNews dalam satu perbualan di telefon.

MY-pic-1.jpg

Pelajar dan ibu bapa bertafakur semasa upacara sembahyang pada majlis upacara memperingati mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali di Sekolah Rendah Cina Mun Choong di Kuala Lumpur, 30 Disember 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Yang lain juga mendesak untuk akauntabiliti, dengan alasan bahawa tapak perkhemahan itu tidak mempunyai permit operasi daripada kerajaan, isu yang tidak ditangani oleh laporan teknikal.

Wong Wai Foong, 36, dan keluarganya berasa bersyukur bahawa mereka antara yang terselamat dalam kejadian berkenaan, walaupun tetap menjalani kehidupan yang sukar ekoran kehilangan banyak benda dan kenderaan mereka. Wong berasa marah bahawa tiada pihak yang dipertanggungjawabkan terhadap kejadian tersebut.

"Dalam laporan dikeluarkan, ia menyebut bahawa resort taman botani tersebut telah diluluskan untuk perancangan, tetapi kita tidak nampak kelulusan EIA untuk tujuan itu di dalam laporan.

"Kerajaan patut lebih spesifik dan terperinci dalam laporannya, terutama sekali mengenai pemilikan tanah (kawasan kejadian). Dalam laporan disebut bahawa ia adalah untuk pertanian dan bukannya untuk perkhemahan. Adakah tuan tanah mengetahui perkara ini? Saya tidak akan meminta maklumat lanjut sekiranya saya berasakan bahawa laporan tersebut mencukupi.

"Ia adalah mudah untuk menyatakan bahawa kejadian itu adalah takdir Tuhan. Adakah anda serius? Jadi tiada sesiapa dipertanggungjawabkan atas kejadian ini?" kata Wong kepada BenarNews.

Di Malaysia, pengendali tapak rekreasi bivouak perlu mendapatkan lesen sementara.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada tahun lepas mendedahkan bahawa tiga tapak perkhemahan yang terlibat dalam kejadian itu, tidak mempunyai lesen operasi dan pengendalinya hanya mempunyai kebenaran untuk menjalankan ladang organik, tanpa sebarang permohonan dibuat untuk menjalankan aktiviti tapak perkhemahan.

Dalam pada itu, Ahli geologi Noor Shahidah Nazer dari Universiti Kebangsaan Malaysia memuji kerajaan atas tindakan beraninya mendedahkan laporan siasatan tersebut kepada umum.

Bagaimanapun, beliau berkata ia adalah tidak tepat untuk pihak berkuasa mengenepikan faktor aktiviti manusia sebagai penyebab tanah runtuh.

"Saya telah membaca laporan tersebut dan apa yang saya boleh katakan adalah ia agak muktamad dan memeriksa secara teliti pelbagai aspek.

“Secara peribadi saya berasakan bahawa laporan itu agak 'kurang seimbang' untuk menolak aktiviti manusia sebagai penyebab utama, kerana ia adalah jelas bahawa bentuk muka bumi di situ terutama sekali bahagian hujung yang merujuk kepada garis dasar cerun tersebut telah disentuh aktiviti manusia sejak bertahun lalu.

"Dan sekiranya kita membaca laporan berkenaan dengan teliti, kita boleh mendapati bahawa terdapat sebuah anak sungai di sepanjang zon gagal yang merujuk kepada kawasan di mana tanah runtuh berlaku.

"Ia kelihatan seperti sungai tersebut tidak lagi berada di lokasi sebelum insiden berlaku. Maka terdapat kemungkinan besar bahawa ia telah ditambak dan cerun di situ diratakan. Ini boleh membawa kepada satu lagi kemungkinan iaitu pengaktifan semula sungai berkenaan dalam tahun-tahun selepas ia ditambak.

"Sekiranya ini berlaku, taburan hujan yang tinggi boleh berkumpul di bawah tanah dalam satu tempoh masa dan menyebabkan perubahan signifikan terhadap pengagihan tekanan liang di sepanjang bekas sungai itu dan menyebabkan kegagalan besar," kata beliau.

Pada Selasa, Nga berkata kementeriannya sedang menyediakan satu garis panduan perkhemahan sebagai rujukan untuk pengendali tapak perkhemahan dalam memohon lesen mereka. Menurut laporan agensi Bernama, garis panduan itu adalah untuk memastikan keselamatan di kawasan rekreasi, dan akan diedarkan dalam masa terdekat.

"Keselamatan tapak dengan penentuan jarak sesuai dari kawasan larangan dan keadaan bentuk muka bumi antara yang digariskan dalam garis panduan tersebut.

"Walaupun ada garis panduan, kadang-kadang berlaku bencana alam di luar jangka. Betapa komprehensif garis panduan yang kita ada, jika bencana alam seperti gempa bumi hendak berlaku, kita tidak dapat lari," kata beliau, seperti dilaporkan Bernama.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.