Malaysia Tumpu Kepada Kerangka Keselamatan Domestik Perangi Keganasan
2018.04.16
Putrajaya, Malaysia
Malaysia akan terus melahirkan komitmen memerangi ancaman keganasan dari organisasi militan Negara Islam [IS] dengan memberi tumpuan terhadap kerangka keselamatan domestik, yang merupakan bahagian penting dalam menyumbang kepada keamanan dan keselamatan serantau, kata Perdana Menteri Najib Razak pada Isnin.
“Apabila sesebuah negara tidak menangani isu keselamatan warganegaranya sendiri, maka asas keselamatan antarabangsa akan menjadi lemah,” kata Najib semasa berucap di Forum Putrajaya 2018 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NatSec) Asia 2018 di Putrajaya.
Menurutnya lagi, usaha kerajaan Malaysia meluluskan pelbagai bentuk akta termasuk Akta Keselamatan Negara, Akta Pencegahan Keganasan dan juga Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) adalah untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia dilindungi dan supaya anggota keselamatan dapat melakukan kerja mereka dengan bebas.
Setakat ini, walaupun hanya berlaku satu cubaan oleh IS di Malaysia dan tidak melibatkan kehilangan nyawa tetapi kata Najib, kerajaan perlu bersiap sedia dalam menghadapi segala kemungkinan.
Najib berkata, beliau tidak akan meminta maaf kerana mempunyai undang-undang itu kerana ia adalah penting dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia.
Kenyataan Perdana Menteri itu merujuk kepada kejadian letupan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong , Selangor pada Jun 2016 yang mengakibatkan kecederaan kepada lapan orang.
Dua suspek - Wahyudi Karjono, dan Jonius Ondie @ Jahali, kedua-duanya dijatuhkan hukuman 25 tahun penjara setiap seorang selepas didapati bersalah terlibat dalam letupan tersebut.
Perdana Menteri itu juga memaklumkan kepada peserta bahawa dari tahun 2013 sehingga kini, seramai 389 orang telah ditahan kerana penglibatan mereka dalam aktiviti berkaitan IS di Malaysia.
Akta baru
Sehubungan itu, Najib berkata, akta baru yang diluluskan kerajaan Malaysia awal bulan ini dalam menghukum penyebar berita palsu dan membendung berita sebegitu menular ialah untuk melindungi rakyat.
Semasa bercakap kepada pegawai pertahanan di forum berkenaan, beliau berkata, berita palsu boleh membawa kepada ancaman keselamatan.
“Kita sudah lihat banyak contoh di serata dunia, bertentangan dengan konsep prinsip Zopfan (Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali), berita palsu telah digunakan sebagai satu alat gangguan oleh kuasa luar, tetapi anehnya ia dialu-alukan oleh sesetengah pemimpin pembangkang.
“Sebagai anak patriotik Malaysia, saya boleh memberitahu anda bahawa kerajaan saya tidak mengalukan perkara ini. Kami tidak akan bertolak ansur berkenaan isu kedaulatan negara dengan membenarkan negara atau individu negara lain memberitahu kami apa yang patut kami buat,” kata beliau.
Beliau berkata, masa depan Malaysia bergantung kepada rakyatnya untuk mencorakkan dan untuk melakukan perkara yang tidak mencemar kedaulatan negara, dengan sesuatu yang disebarkan itu seharusnya berdasarkan kepada fakta dan bukannya berita palsu, pembohongan, propaganda, janji-janji palsu atau bayang-bayang.
Najib dalam ucapan beliau turut menyenaraikan beberapa usaha yang telah dilakukan oleh kerajaannya untuk mengurus dan mengawal ancaman terkini dan juga untuk masa hadapan.
Antaranya termasuklah mengawal dan memantau sistem kawalan di sempadan negara, membenteras aktiviti penyeludupan manusia dan juga ancaman keganasan, meningkatkan kapasiti senjata anggota keselamatan negara yang ditugaskan di Zon Keselamatan Timur Sabah.
Selain itu, beliau juga berkata, pihak kerajaan telah mewujudkan Pusat Operasi Keselamatan Siber untuk mempertahankan aset kritikal negara dari serangan siber dan mewujudkan penjara khas yang boleh memuatkan 1,000 orang dilengkapi sistem keselamatan elektronik berintegrasi untuk individu yang ditahan dibawah Akta Pencegahan Jenayah.
Dalam pada itu di peringkat antarabangsa, Perdana Menteri itu juga memberitahu yang Malaysia bersedia menyumbang secara aktif terhadap keselamatan serantau dengan mendukung mekanisme dan kerjasama yang amat penting terhadap kestabilan rantau itu.
Beliau turut memaklumkan, kerjasama yang melibatkan Malaysia seperti Rondaan Selat Melaka, Rondaan Maritim Tiga Pihak, sebagai Fasilitator Pihak Ketiga dalam Proses Damai Selatan Filipina dan juga sebagai fasilitator dalam Dialog Damai Selatan Thailand.
Tangani ancaman pengganas
Dari sudut teknikal, Malaysia bersedia menghadapi ancaman keganasan berikutan keberkesanan perisikan dalam menangani keganasan yang berakar umbi dari waktu zaman darurat dahulu, kata penganalisis keselamatan.
“Kerajaan melakukan tindakan yang bijak untuk melabur dalam keselamatan di sempadan dari jenayah langkau sempadan terutamanya bila Malaysia berjiran dengan dua negara yang berkonflik iaitu utara Thailand dan Mindanao di Filipina,” kata penganalisa keselamatan antarabangsa Imran Shamsunahar dari Horizon Intelligence, agensi penganalisa risiko global Belgium yang berpangkalan di Malaysia.
Manakala di dalam kes Sabah pula sebagai contoh, ia sudah terbukti bahawa kelemahan dalam pengawasan di perairan Sabah memperlihatkan ancaman militan dari Filipina masuk ke Malaysia seperti apa yang berlaku pada tahun 2013 di Lahad Datu, Sabah.
Peristiwa berdarah berakhir dengan kematian beberapa anggota keselamatan negara dalam mempertahankan Sabah dari diceroboh.
“Walaubagaimana pun, Najib sendiri menyatakan bahawa menangani keganasan merupakan satu usaha dalaman yang turut membawa maksud bahawa ianya perlu ditangani dari akar umbi masalah,” kata Imran.
Beliau berkata, peningkatan dalam ancaman IS di Malaysia sebenarnya melibatkan dua simptom yang menjejaskan negara itu.
Simptom pertama adalah peningkatan ekstremisme di Malaysia. Pendekatan Islam yang tertutup diikuti dengan langkah sesetengah puak politik yang tidak bertoleransi, menjejaskan keharmonian kaum dalam jangka masa panjang,
“Kurangnya rasa percaya terhadap institusi awam secara meluas berikutan isu seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa, adalah antara sebab lain”, kata beliau.
Faktor-faktor tersebut telah mencetuskan pandangan ektremisme di negara ini dan kedua-keduanya mestilah diatasi jika Malaysia mahu melihat perkembangan lebih positif di dalam menangani isu keganasan, tambah beliau lagi.
Zam Yusa di Kota Kinabalu turut menyumbang kepada laporan ini.