Najib Razak akan kemuka rayuan kedua Pengampunan Diraja, kata peguam
2024.02.07
Kuala Lumpur
Najib Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah "sedang memikirkan secara serius" untuk merayu pengampunan diraja buat kali kedua, kata peguamnya pada Rabu, kerana Lembaga Pengampunan dikatakan tidak menjalankan tanggungjawab mengikut Perlembagaan ketika membuat keputusan sebelum ini.
Muhammad Shafee Abdullah berkata perkara itu adalah antara alasan mereka untuk memfailkan permohonan baharu dalam masa terdekat.
Beliau berkata selain itu, terdapat beberapa alasan lagi untuk menyokong usaha bagi membolehkan Najib mendapat pengampunan penuh seperti yang pernah diberikan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2018.
"Kami sedang memikirkan secara serius untuk menghantar rayuan baharu bagi mendapatkan pengampunan," kata peguam itu pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
"Saya tidak fikir Lembaga Pengampunan telah berfungsi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, (di mana) Yang di-Pertuan Agong hanya mendengar nasihat tetapi (baginda) mesti membuat keputusan sendiri," kata Muhammad Shafee.
Pada 2 Feb lepas, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa tempoh hukuman penjara Najib bagi kes SRC International dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, sekaligus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028, lebih awal berbanding tarikh asal iaitu pada penghujung 2034.
Lembaga itu turut mengurangkan jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah iaitu daripada RM210 juta (AS$44 juta) kepada RM50 juta (AS$10.5 juta). Najib perlu membayar denda itu sebelum selesai menjalani hukuman penjaranya, atau berdepan tambahan tempoh pemenjaraan selama setahun.
Shafee turut mempertikai proses pengampunan yang diketuai Sultan Abdullah Ahmad Shah pada 29 Jan 2024, iaitu sehari sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Menurut Muhammad Shafee, mereka difahamkan bahawa Lembaga Pengampunan telah mengadakan perbincangan penuh pada 8 Dis 2023. "Akan tetapi, Tuanku tidak membuat sebarang keputusan seperti kebiasaannya," kata beliau sambil menambah baginda telah menunda keputusan beberapa kali iaitu dari 15 Jan hingga 29 Jan.
"Saya dimaklumkan dan yakin bahawa Yang di-Pertuan Agong mahu memberikan pengampunan penuh," kata peguam itu.
"Tetapi nampaknya berdasarkan laporan yang amat boleh dipercayai, sejenis kertas undi telah diberikan kepada ahli-ahli lembaga (empat orang) untuk mereka memilih sama ada mahu memberikan (Najib) pengampunan penuh atau tidak."
Muhammad Shafee mendakwa kertas undi itu kemudian diserah semula kepada Sultan Abdullah. "Kita tidak pasti bagaimana keputusan akhir dibuat.
"Melihatkan bahawa kertas undi digunakan (dalam membuat keputusan), yang mana ia adalah sesuatu yang janggal, perkara ini tidak memuaskan hati dan tidak pernah berlaku.
"Anak guam saya berasa amat bingung. Ekoran daripada ketidakpuasan hati ini, kami sedang melihat kemungkinan untuk menghantar satu lagi permohonan bagi mendapatkan pengampunan diraja," kata beliau.
Pada sidang media itu, Muhammad Shafee turut menunjukkan salinan dokumen Lembaga Pengampunan yang ditandatangani oleh Sultan Abdullah.
Beliau mendakwa terdapat kejanggalan berhubung perkataan yang digunakan dalam dua dokumen mengenai keputusan Lembaga Pengampunan iaitu kenyataan media rasmi Pejabat Perdana Menteri pada 2 Feb dan Perintah Pembebasan Awal oleh Yang di-Pertuan Agong bertarikh 29 Jan.
Membandingkan kedua-dua dokumen, Muhammad Shafee berkata kenyataan media Pejabat Perdana Menteri menyatakan bahawa keputusan mengurangkan hukuman Najib dibuat oleh Lembaga Pengampunan manakala perintah yang ditandatangani Yang diPertuan Agong menyatakan bahawa ia adalah keputusan baginda.
Beliau berkata undang-undang dengan jelas menyatakan bahawa pengampunan adalah budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong. "Keputusan Yang di-Pertuan Agong adalah tidak terikat dan tidak boleh dicabar di mahkamah."
Oleh itu, kata beliau, anak guamnya sedang mempertimbang untuk memohon pengampunan baharu dan menunggu masa yang sesuai untuk memfailkan petisyen itu. "Saya tidak mahu melakukannya terlalu awal kerana Yang di-Pertuan Agong baru bersemayam dan saya mahu menunggu arahan Najib."
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar telah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu di Istana Negara pada 31 Jan lepas.
BenarNews telah menghubungi Kementerian Undang-Undang untuk mendapatkan respons terhadap dakwaan Muhammad Shafee tetapi belum mendapat maklumbalas.
Bekas perdana menteri Najib Razak bersalaman bersama penyokongnya selepas menunaikan Solat Hajat dan Zikir Munajat berhubung kes rayuan akhirnya dalam SRC International di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur, 21 Ogos 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]
Pengampunan tidak tertakluk
Sementara itu, dalam respons terhadap reaksi orang ramai serta Majlis Peguam mengenai pengurangan hukuman Najib, Muhammad Shafee berkata beberapa kumpulan telah mempersoal sama ada keputusan itu adalah wajar.
"Jawapan mudah adalah asas permohonan pengampunan kami tidak tertakluk kepada sebarang pengakuan bersalah. Ia berasaskan kepada fakta bahawa dirinya tidak bersalah dan tidak diberikan perbicaraan serta proses rayuan yang adil, terutama sekali di peringkat Mahkamah Persekutuan," kata beliau.
"Peguam bela Najib di Mahkamah Persekutuan tidak diberikan penangguhan yang diminta kerana mereka baru saja dilantik dan mahkamah telah meneruskan pendengaran rayuan tanpa sebarang hujahan dibuat oleh pasukan guaman baru Najib," kata Muhammad Shafee.
Najib telah dihantar ke penjara pada Ogos 2022 selepas mahkamah tertinggi Malaysia mengekalkan sabitan jenayah terhadapnya atas kesalahan rasuah iaitu menyeleweng RM42 juta (AS$9.4 juta) dalam kes melibatkan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang dipenjarakan.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International, yang merupakan anak syarikat 1MDB.
Najib telah memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan kali pertama pada 1 Sept 2022, beberapa hari selepas beliau memulakan hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos.
Di bawah Peraturan Penjara 2000, seseorang banduan boleh memfailkan petisyen kedua tiga tahun selepas mereka didapati bersalah, dan seterusnya setiap dua tahun, kecuali dalam kes tertentu.
Najib masih berdepan beberapa perbicaraan jenayah lain membabitkan 1MDB, yang ditubuhkan dengan tujuan merangsang ekonomi negara. Antaranya kes penyelewengan RM2.3 bilion (AS$487 juta) dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun bank bekas PM itu.
Susulan keputusan Lembaga Pengampunan untuk meringankan hukuman Najib, ramai pihak mempertikai sama ada bekas Perdana Menteri itu layak diberikan belas ihsan selepas didapati bersalah atas dakwaan rasuah membabitkan anak syarikat 1MDB itu.
Majlis Peguam kecewa
Antaranya Presiden Majlis Peguam Malaysia Karen Cheah yang menyuarakan kekecewaan dan mempersoal sama ada keputusan itu telah merompak keadilan daripada negara.
Menerusi kenyataan rasmi Majlis Peguam, Cheah berkata keputusan mengurangkan hukuman Najib telah menyebabkan keraguan besar di mata rakyat dan dunia terhadap kesungguhan kerajaan dalam menjunjung kedaulatan undang-undang dan melawan rasuah.
"Ia tidak boleh ditekankan dengan lebih keras lagi bahawa jenayah yang dilakukan oleh Najib adalah tidak sama seperti jenayah-jenayah lain disebabkan oleh kesannya terhadap rakyat Malaysia.
"Setiap rakyat Malaysia melihatnya sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap kuasa dan kepercayaan yang diberi oleh mereka kepada Najib selaku Perdana Menteri apabila beliau menyalahgunakan kuasa dan mencuri daripada kantung negara wang yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan Malaysia," kata Cheah.
Beliau berkata pengurangan hukuman Najib juga telah meremehkan segala usaha bagi mendapatkan keadilan di Malaysia terutama segala kerja yang dilaksanakan oleh para hakim, peguam, pendakwa dan semua saksi dalam kes SRC International.
Bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua dari parti DAP yang membentuk kerajaan, turut mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan melalui beberapa mesej sarkastik di laman Facebook.
"Memandangkan 'King Klep' telah mengaku semua kesalahannya dan bertaubat di penjara serta memohon kemaafan rakyat, kita patut menunjukkan kemurahan dengan memberikannya diskaun 50 peratus ke atas hukuman penjaranya.
"Dan kita juga boleh mengurangkan denda RM210 juta sekiranya dia menerima diskaun 40 peratus.
"Lagipun, semasa menjadi PM dahulu, beliau telah memberikan jutaan ringgit kepada rakyat, termasuk kepada ahli politik dan kroni. Eh kejap, beliau belum mengaku atau bertaubat? Oh... dan duit itu bukan miliknya? Oh...," kata Pua.
Ahli politik itu kemudian disiasat oleh polis di bawah Akta Hasutan berhubung beberapa komen beliau mengenai pengurangan hukuman Najib yang didakwa bersifat menghasut supaya membenci institusi raja.
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.