Mahkamah bebaskan Najib, Arul dari tuduhan ganggu laporan audit

Keputusan mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beri kemenangan pertama buat Najib di mahkamah selepas pelbagai rintangan.
Iman Muttaqin Yusof
2023.03.03
Kuala Lumpur
Mahkamah bebaskan Najib, Arul dari tuduhan ganggu laporan audit Mohamed Shafee Abdullah, peguam utama Najib Razak bercakap kepada media selepas keputusan mahkamah berkaitan kes pinda laporan audit 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 3 Mac, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sebuah mahkamah Malaysia pada Jumaat membebaskan bekas Perdana Menteri Najib Razak daripada tuduhan mengganggu laporan audit terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebuah syarikat dana negara yang terbabit dalam masalah skandal kewangan yang turut mengaitkan Najib dan membawa kepada kejatuhan kerajaan pimpinannya pada 2018.

Pembebasan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, yang turut didakwa berkaitan kes sama, adalah kemenangan pertama bekas perdana menteri itu di mahkamah dalam siri perbicaraan terhadapnya berkaitan dengan skandal 1MDB. Najib telah dimasukkan ke dalam penjara pada tahun lepas atas kesalahan salah guna kuasa dan rasuah yang berkait dengan syarikat tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan semasa mengumumkan keputusan tersebut berkata pihak pendakwaan telah gagal menunjukkan bukti yang mampu meyakinkan mahkamah bahawa kedua-dua tertuduh perlu membela diri, dan oleh itu mahkamah membebaskan mereka daripada pertuduhan.

"Selepas melakukan pemeriksaan maksima terhadap semua bukti, saya mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal menunjukkan bukti kukuh untuk membuktikan kesalahan bagi membawa kepada sabitan," kata Mohamed Zaini. "Pendakwaan tidak ada kes prima facie terhadap tertuduh kedua [Najib] dan oleh itu tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan terhadapnya," kata hakim itu pada Jumaat.

Dalam kes Arul Kanda pula, hakim itu memutuskan bahawa "tertuduh tidak cuba menutup isu penipuan di 1MDB. Tertuduh dibawa masuk untuk menyelamatkan 1MDB dan telah meninggalkan kerjaya beliau yang bagus," kata Mohamed Zaini.

"Ia adalah dalam pengetahuan umum bahawa tertuduh telah difitnah di depan khalayak kerana 1MDB, yang mungkin adalah tidak adil baginya kerana banyak masalah di syarikat itu berlaku sebelum masa tertuduh (menjadi CEO). Tidak ada bukti dalam perbicaraan ini yang menunjukkan bahawa tertuduh bersubahat dalam masalah 1MDB."

Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan konvoi kenderaan dari penjara di mana beliau sedang menjalani hukuman. Beliau ditemani isteri Rosmah Mansor serta anak mereka Nooryana Najwa ketika keputusan mahkamah dibacakan jam 10.15 pagi manakala Arul tidak ditemani mana-mana individu.

Arul, bekas CEO 1MDB, memberitahu pemberita selepas dibebaskan mahkamah bahawa beliau lega dengan keputusan yang diumumkan mahkamah.

"Fakta sendiri menunjukkan kebenaran, saya telah berkata jujur dan lurus mengenai perkara yang telah saya lakukan, mengapa saya mengambil kerja tersebut, dan apa yang saya buat dalam kerja itu. Saya dan Najib, kedua-dua kami berasa lega," katanya.

230303-MY-Inside-NajibArul.jpg

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 3 Mac, 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Najib dan Arul telah dituduh atas kesalahan mengganggu laporan audit 1MDB di mahkamah pada 2018, beberapa bulan selepas Najib dan gabungan parti Barisan Nasional pimpinannya ditumbangkan dalam pilihan raya umum negara itu, yang menyaksikan pembangkang berkempen besar-besaran menyeru supaya rakyat menolak kerajaan yang rasuah.

Kedua-dua mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sejumlah besar denda sekiranya didapati bersalah.

Tuduhan dalam kes terhadap Najib diumumkan kepada orang ramai pada November 2018 apabila Ketua Audit Negara Madinah Mohamad menyatakan bahawa beberapa bahagian dalam laporan audit terhadap 1MDB yang dibuat pada 2016 telah dibuang, dan ia dikatakan telah dibuat dengan arahan Najib ketika beliau masih perdana menteri.

Bahagian yang dikatakan telah dibuang itu menyebut bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (atau Jho Low) telah menghadiri mesyuarat ahli lembaga pengarah 1MDB.

Pegawai kerajaan Malaysia berkata mereka mahu mengekstradisi ahli perniagaan itu, yang telah didakwa in absentia (tanpa kehadiran di mahkamah) atas peranannya di dalam skandal 1MDB.

Pendakwa Raya AS sebelum ini mendakwa sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion) telah dicuri daripada 1MDB dalam apa yang disifatkan sebagai "skandal kleptokrasi terburuk masa kini."

Pada Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan Malaysia telah menolak rayuan peringkat akhir oleh Najib terhadap sabitan bersalah ke atasnya dalam kes berkaitan 1MDB, dan mengarahkan bekas PM itu menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Najib telah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira tiga tahun sebelum itu atas kesalahan salahguna kuasa, tiga dakwaan pecah amanah jenayah, dan tiga dakwaan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International, yang merupakan anak syarikat 1MDB ketika kejadian.

Pada Jumaat, ketua pasukan guaman yang mewakili Najib meramalkan bahawa keputusan terkini di mahkamah akan memberikan isyarat "permulaan untuk banyak perkara baik yang akan datang" buat anak guamnya.

"Daripada mula lagi kami telah menyatakan bahawa tidak ada kes," kata Shafee Abdullah kepada pemberita selepas keputusan mahkamah.

"Kamu tidak boleh menafikan bahawa ini adalah kes yang berbaur politik. Sama juga dengan kes-kes lain terhadap Najib. Banyak aspek lain turut terlibat, dan peguam-peguam dalam kes berkenaan tidak boleh meramalkan keputusan itu."

Najib juga sedang berdepan tiga lagi kes jenayah di mahkamah termasuk perbicaraan kes rasuah 1MDB terhadapnya, dan satu lagi kes pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta (AS$6.03 juta) berkait dengan SRC International.

Pada Januari lepas, Mahkamah Persekutuan telah mendengar satu petisyen oleh Najib untuk mendapatkan semakan kehakiman ke atas sabitan bersalah dan hukuman penjara ke atasnya dalam kes rasuah SRC International. Mahkamah tertinggi itu dijangka akan membuat keputusannya sebelum 31 Mac ini.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.