Permohonan Najib Razak Masuk Bukti Baharu Cubaan Lambatkan Keputusan Mahkamah, kata Pendakwaan

Noah Lee & Nisha David
Kuala Lumpur
2021-12-06
Share
Permohonan Najib Razak Masuk Bukti Baharu Cubaan Lambatkan Keputusan Mahkamah, kata Pendakwaan Bekas Perdana Menteri Najib Razak ketika hadir di Mahkamah Rayuan bagi kes rayuan SRC di Putrajaya, 6 April 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Permohonan bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuannya terhadap sabitan bersalah dalam kes bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International adalah cubaan untuk melambatkan keputusan mahkamah, kata pihak pendakwaan pada Isnin.

Pada minggu lepas, Mahkamah Rayuan telah memberikan kebenaran kepada Najib untuk permohonannya itu didengar dan menetapkan 7 Disember sebagai tarikh pendengaran, sehari sebelum mahkamah tersebut dijadual memberikan keputusan mengenai rayuan ahli politik itu terhadap tujuh sabitan jenayah berkaitan kes membabitkan RM42 juta dan hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya.

Dalam afidavit balas oleh pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lotfi Mohamed berkata pasukan peguambela Najib gagal menunjukkan sebarang keadaan luar biasa untuk membenarkan pengemukaan keterangan baharu dalam kes tersebut, serta mendakwa bahawa bukti yang ingin dimasukkan itu tidak relevan terhadap kes yang sedang dibicarakan.

"Pihak Pendakwaan menyatakan bahawa permohonan ini bertujuan untuk melambatkan keputusan bagi rayuan jenayah tersebut dengan membuka semula keseluruhan kes dan perkara ini adalah nyata daripada perintah yang dipohon dan kesan perintah tersebut," kata Budiman dalam afidavit yang dilihat oleh BenarNews.

Pada Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazlan Ghazali telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas bekas perdana menteri itu serta mengenakan denda sebanyak RM210 juta (AS$49.3 juta) selepas mendapati beliau bersalah terhadap satu pertuduhan menyalahguna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima secara haram RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International.

Susulan daripada keputusan itu, Najib telah membawa kesnya ke Mahkamah Rayuan. Panel tiga hakim iaitu Abdul Karim Abdul Jalil, Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera telah bersidang selama 18 hari bagi mendengar rayuan ahli politik tersebut di antara 5 April dan 18 Mei lalu.

Panel itu kemudian telah menangguhkan keputusan tersebut sehingga akhir November, dengan mengumumkan bahawa 8 Disember sebagai tarikh keputusan.

Pada 2 Disember, Najib melalui pasukan peguamnya telah membuat permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk memasukkan beberapa keterangan baharu yang memihak kepadanya untuk dipertimbangkan oleh mahkamah. Ia termasuk keterangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pemulangan sejumlah AS$15.4 juta berkaitan pemulihan aset 1MDB oleh kerajaan Singapura daripada akaun sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh suami bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz.

Dalam afidavit sokongan difailkan bekas perdana menteri itu, beliau mendakwa bahawa terdapat bukti baharu mengenai penglibatan Zeti di dalam skim penipuan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low.

Najib mendakwa penglibatan Zeti itu menyebabkan dirinya tidak mendapat sebarang amaran dari pihak berkuasa berkenaan aktiviti penyelewengan berkaitan urus niaga dalam akaunnya di antara tahun 2011 dan 2015.

Selain itu, Najib juga mendakwa bahawa pihak pendakwaan telah mempunyai semua bukti penting berkenaan yang memihak kepadanya dan telah menyimpan perkara itu daripada pengetahuannya.

"Saya sesungguhnya percaya bahawa keterangan yang kini telah ditemui dan disahkan boleh dipercayai mendedahkan penglibatan Zeti di dalam skim-skim Jho Low.

"Saya sesungguhnya percaya bahawa peranan Zeti dalam memudahkan Jho Low menyebabkan tiada tanda merah atau amaran penyelewengan dibangkitkan mengenai perkara yang berkaitan dengan urus niaga dalam akaun saya dari 2011 hingga 2015 walaupun perkara-perkara tersebut telah dilaporkan secara peribadi kepada Bank Negara Malaysia dan Zeti telah menyediakan ruangan untuk Jho Low untuk menjalankan manipulasinya," kata Najib dalam afidavit sokongan beliau yang dilihat BenarNews.

'Keterangan tidak berkait kes SRC'

Menurut laporan media tempatan, susulan daripada permohonan difailkan Najib untuk memasukkan bukti baharu, mahkamah melalui sistem atas talian telah menetapkan tarikh 7 Disember. Pasukan peguam yang mewakili Najib dan juga pasukan timbalan pendakwaraya dijangka akan memberikan hujahan lanjut mereka sebelum mahkamah memutuskan samada untuk menerima permohonan bekas perdana menteri itu.

Dalam afidavit balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman, pasukan pendakwaan menafikan bahawa mereka telah menyembunyikan fakta yang relevan kepada kes berkenaan sama ada semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atau semasa proses rayuan oleh Najib di Mahkamah Rayuan.

Menurut beliau, pasukan pendakwaan juga telah menawarkan Zeti kepada pasukan peguam Najib untuk dijadikan saksi pembelaan mereka semasa akhir kes pendakwaan, namun peguambela memilih untuk tidak memanggil bekas Gabenor Bank Negara itu untuk memberikan keterangan di mahkamah atau untuk ditemuduga.

"Pemohon telah mengambil masa lebih kurang 11 bulan dan beberapa hari sebelum tarikh Mahkamah Rayuan dijadualkan untuk memberikan keputusan berkenaan rayuan pemohon untuk memfailkan permohonan ini.

“Kelewatan ini dan permohonan untuk mengemukakan keterangan yang tidak relevan tetapi dikatakan sebagai keterangan baharu kepada pertuduhan menunjukkan permohonan ini satu permohonan mala fide," kata Budiman.

Dalam satu lagi afidavit balas dari pasukan pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho Kheng Fuei pula menyatakan bahawa beberapa hujah yang dinyatakan pasukan peguam Najib untuk memasukkan bukti baharu adalah tidak relevan dalam kerana "perkara tersebut adalah berkaitan 1MDB dan bukan SRC".

Taktik Tangguh keputusan

Sementara itu, seorang peguam memberitahu BenarNews bahawa pendengaran permohonan Najib itu secara amnya boleh menjurus kepada dua senario, termasuk penangguhan keputusan oleh Mahkamah Rayuan.

"Sekiranya mahkamah menerima permohonan (untuk memasukkan bukti baharu), ia kemudiannya akan melihat sama ada bukti yang hendak dimasukkan itu boleh membawa kesan terhadap keputusan mahkamah. Sekiranya ia boleh membawa kesan kepada keputusan, maka keputusan tidak akan dikeluarkan (pada 8 Disember).

"Sekiranya mahkamah menolak permohonan itu, maka keputusan Mahkamah Rayuan akan diumumkan seperti dijadualkan," kata Saifuddin Shahrudin kepada BenarNews.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan pandangan bahawa tindakan memfailkan permohonan tersebut di saat akhir adalah satu 'delay tactics' bagi melambatkan keputusan mahkamah.

Mengenai kesan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes rayuan Najib terhadap sabitan bersalahnya, seorang lagi peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata Najib boleh hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang sekiranya mahkamah itu mengekalkan sabitan dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Sekiranya Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan, dan pilihan raya umum dibuat sebelum beliau selesai dengan satu lagi peringkat rayuan, maka Najib kehilangan kelayakan untuk bertanding," kata Rafique kepada BenarNews.

Pandangan serupa turut diberikan oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Khairil Azmin Mokhtar.

Kata beliau, Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang individu itu hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen sekiranya beliau disabitkan bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun, atau denda tidak kurang RM2,000, dan tidak diberikan pengampunan.

"Disebabkan beliau (Najib) berdepan kehilangan kelayakan sekiranya diundi sebagai Ahli Parlimen, pilihan raya itu akan diisytiharkan sebagai tidak sah disebabkan sabitan bersalah. Ini berdasarkan Perkara 50(2) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan sekiranya seseorang yang hilang kelayakan menjadi ahli itu diundi ke dalam Dewan Rakyat, maka pilihan raya itu adalah tidak sah."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh