Najib, Dua Bekas Pegawai Tinggi Kerajaannya Didakwa Kes Pecah Amanah

Ray Sherman, Hadi Azmi & Lex Radz
2018.10.25
Kuala Lumpur, Malaysia
181025-MY-najib-620.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak tiba di Komplek Mahkamah Kuala Lumpur untuk menghadapi pertuduhan jenayah rasuah buat kali kelima, 25 Okt, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Najib Razak, bekas perdana menteri Malaysia bersama dua bekas pegawai tinggi kerajaannya pada Khamis telah didakwa atas pelbagai pertuduhan pecah amanah wang milik kerajaan di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur; tindakan yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan baharu untuk memerangi  rasuah.

Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Negara Mohd Irwan Serigar Abdullah telah didakwa dengan enam tuduhan melibatkan dana kerajaan bernilai RM6.63 bilion (kira-kira AS$ 1.65 bilion).

Pendakwaan itu berlaku sehari selepas mereka diminta hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM]. Najib dibenarkan pulang selepas memberi keterangan, manakala Mohd Irwan ditahan oleh agensi anti-rasuah tersebut.

Dua pertuduhan pertama telah dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azman Abdullah.

Najib, ketika menyandang jawatan Menteri Kewangan dan Irwan selaku Ketua Setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan, didakwa melakukan kesalahan pecah amanah semasa mengendali dua projek infrastruktur.

Kerajaan Pakatan Harapan [PH] baru-baru ini menggantungkan kedua-dua projek mega tersebut,iaitu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek saluran paip Suria Strategik Energy Resources Sdn Bhd (SSER) yang masing-masing bernilai RM1.2 bilion dan RM665 juta.

Bagi pertuduhan keempat, bekas perdana menteri dan pegawai kanannya itu didakwa bertanggung jawab terhadap harta milik awam berjumlah RM1.3 bilion, iaitu peruntukan untuk ‘Maksud B11 Perkhidmatan Am, Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai’.

Pertuduhan kelima dan keenam membabitkan penguasaan mereka bagi harta berjumlah CNY (Chinese Yuan) 1,950,000,000.00 (RM1.26 bilion dan RM2 bilion) milik awam.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan jenayah pecah amanah melibatkan semua harta berkenaan di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya di antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah terhadap kesemua enam pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang turut dibaca bersama Seksyen 34 kod yang sama, yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, dan sebatan, dan berkemungkinan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mereka berdua bagaimanapun terlepas daripada hukuman rotan kerana undang-undang di Malaysia mengecualikan pesalah berusia 50 keatas daripada menjalani hukuman berkenaan kecuali kesalahan merogol.

Najib, 65 selaku tertuduh pertama dan Mohd Irwan 61, tertuduh kedua hanya mengangguk ketika ditanya sama ada mereka memahami tuduhan dan memohon dibicarakan apabila diminta pengakuan.

Dalam pada itu, empat daripada enam pertuduhan berkenaan melibatkan dana berjumlah RM4.78 bilion yang mempunyai kaitan dengan pelbagai penyalahgunaan dana kerajaan bagi tujuan perjanjian penyelesaian pinjaman antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana kerajaan Abu Dhabi International Investment Company (IPIC).

Kebanyakan jumlah dana dalam kes pecah amanah itu dikatakan telah digunakan oleh 1MDB untuk membayar IPIC Abu Dhabi bagi menyelesaikan hutang pinjaman. Pada 2017, 1MDB mencapai perjanjian bersyarat dengan IPIC dan bersetuju untuk membayar AS$ 1.2 bilion bagi menyelesaikan hutang yang telah dipertikaikan di Mahkamah Tinggi Timbangtara Antarabangsa London [London Court of International Arbitration].

Kaitan IPIC dengan empat pertuduhan dalam skandal 1MDB telah dihebohkan oleh peguam Najib, Shafee Abdullah di mahkamah dan ianya disahkan oleh Timbalan Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kepada media selepas prosiding mahkamah itu.

Pasukan pendakwa raya yang diketuai oleh bekas hakim Gopal Sri Ram dengan dibantu oleh timbalan pendakwa raya Kamal Baharin Omar, dan Ahmad Sazilee Abdul Khairi memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3 juta bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Hakim Azman membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin masing-masing sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin. Mereka juga dikehendaki menyerahkan pasport antarabangsa dan tidak dibenarkan mengganggu saksi di dalam kes tersebut.

Hakim itu juga membenarkan mereka membayar wang jaminan sebanyak RM500,000 pada hari ini dan bakinya dibayar dalam tempoh 10 hari, selain menetapkan 29 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pertuduhan terlalu umum

Bercakap kepada media kemudiannya, Najib berkata pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah "terlalu umum,” tidak munasabah serta tidak menyatakan bagaimana transaksi yang disebut itu memberi manfaat kepadanya.

Beliau berkata “Tidak ada apa yang saya lakukan memberi keuntungan untuk diri saya kerana apa yang dilakukan adalah untuk kepentingan negara.”

"Apa yang telah kita lakukan adalah untuk kebaikan negara, dan untuk menyelesaikan hutang negara,” kata Najib yang menambah bahawa ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara dan rakyatnya jika (usahanya) gagal.

Najib juga kesal dengan pelbagai “masalah” yang dihadapinya kerana beliau dan pasukan peguamnya hanya diberikan kertas pertuduhan lima minit sebelum prosiding mahkamah bermula.

Selain Shafee, Najib juga diwakili enam peguam lain, manakala Mohd Irwan diwakili oleh Geethan Ram Vincent yang juga mewakili isteri Najib, Rosmah Mansor dalam kes mahkamahnya.

Bekas ketua risikan didakwa

Turut didakwa di mahkamah yang sama ialah Hasanah Abdul Hamid, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia, Jabatan Perdana Menteri atas satu pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah AS$12 juta (RM50 juta) antara 30 April dan 9 Mei lepas.

Hasanah yang diwakili oleh peguam Shaharudin Ali dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Hakim Azman membenarkan bekas pegawai kanan kerajaan itu diikat jamin sebanyak RM500,000 ribu dengan dua penjamin dan mengarahkan pasport antarabangnya diserahkan. Hakim juga menetapkan 29 Nov depan untuk sebutan semula kes.

Hasanah yang ditamatkan perkhidmatan pada 30 Jun ekoran peralihan kuasa selepas  pilihanraya umum, bersama organisasi diterajui itu menerima kecaman hangat di media apabila menghantar sepucuk surat yang ditandatangani oleh beliau sendiri, dialamatkan kepada Pengarah Agensi Risikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) yang tular di media sosial.

Kandungan surat tersebut antara lain merayu dan meminta sokongan Pengarah CIA Gina Haspel untuk menyokong kepimpinan Najib Razak, yang disifatkan oleh Haniff Khatri, seorang pakar perundangan sebagai tindakan mengkianati negara dan sistem demokrasi berparlimen.

Ekoran itu, pada 31 Julai Hasanah bersama peguamnya telah membuat laporan polis berkenaan pendedahan surat itu yang dikatakan membongkar rahsia negara dan memporak-perandakan keselamatan pegawai-pegawai perisikan negara.

Bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi, yang turut menghadapi 45pertuduhan pengubahan wang haram, menerima rasuah, dan pecah amanah minggu lalu, hadir memberi sokongan kepada bekas ketuanya.

Hari ini [Khamis] adalah hari keempat Najib hadir di mahkamah. Sebelum ini beliau telahpun menghadapi sebanyak 32 pertuduhan berkaitan 1MDB dan SRC International dan mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan terhadapnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.