Malaysia Sertai Gabungan Anti-IS Global
2015.09.29
Malaysia, satu daripada tiga ahli baru Gabungan Anti-IS Global pada Selasa memberitahu pemimpin dunia di New York, bahawa kerjasama antarabangsa amat penting dalam menangani ‘kesengsaraan’ yang dibawa oleh kumpulan ekstrem Negara Islam (IS)
"Rantau saya, Asia Tenggara, tidak terlepas daripada ancaman ini," kata Perdana Menteri Najib Razak pada Sidang Kemuncak Pemimpin bagi Menangani ISIL dan Ekstremisme Ganas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di ibupejabat PBB itu.
ISIL ialah satu lagi singkatan nama bagi kumpulan Negara Islam.
"Memandangkan kami bernasib baik kerana tidak mengalami kekejaman besar pengganas di Malaysia, ada yang percaya bahawa kami tidak terbabit langsung dengan kesengsaraan itu. Ini tidak benar sama sekali.
“Malaysia telah menahan lebih daripada 100 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan IS, dan ia kini mahu mendapatkan sokongan antarabangsa bagi menubuhkan sebuah ‘pusat menangani mesej digital serantau’ kerana Asia Tenggara tidak mempunyai program menyeluruh sedemikian,” kata Najib.
Najib yang berucap kepada para pemimpin dari lebih 100 buah negara berkata, "Ini amat penting, kerana pembohongan yang dibawa oleh IS adalah amat berbahaya,"
"IS telah menggunakan pendekatan yang amat berkesan dalam komunikasi dan mesej. Mereka yang dipanggil sebagai pengganas dalam talian telah dikerahkan supaya memberi kesan yang amat buruk, dengan memberi inspirasi kepada terlalu ramai orang yang mudah terpengaruh, lemah dan terpinggir, untuk menyertai barisan mereka,” kata beliau
Suara Belia
Abdul Qayyum Jumadi, 24, dari Malaysia, berkata orang muda mempunyai peranan besar untuk membantu negara-negara yang terjejas dalam menangani ideologi IS.
"Belia boleh menyebarkan kesedaran tentang mesej Islam ... belia tidak mahu berfikir tentang IS, tetapi sebenarnya belia mempunyai capaian terbesar untuk mempengaruhi orang supaya menanganinya dengan menceritakan apa yang IS sedang lakukan," kata Abdul Qayyum, graduan undang-undang yang bekerja sebagai penulis di Kuala Lumpur, kepada BeritaBenar.
"Belia juga boleh bercakap dengan belia, mereka tidaklah menjadi pelaku utama, tetapi boleh menjadi faktor penting dalam menanganinya dengan bercerita. IS berada dalam media sosial setiap hari untuk cuba menghantar mesejnya, dan belia juga perlu melakukan perkara yang sama kerana merekalah yang paling ramai berada dalam media sosial," ujarnya.
Abdul Qayyum adalah antara dua rakyat Malaysia dan dua warga Indonesia yang menghadiri Sidang Kemuncak Belia Global bagi Menentang Ekstremisme Ganas pada Isnin di luar acara Perhimpunan Agung PBB Ke-70 di kotaraya New York.
Acara itu, yang menampilkan para pemimpin dan aktivis muda dari seluruh dunia, dianjurkan bersama oleh Counter Extremism Project, sebuah pertubuhan dasar antarabangsa, dan Search for Common Ground iaitu pertubuhan bukan kerajaan Amerika Syarikat yang memberi tumpuan kepada penyelesaian konflik.
Syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat iaitu Facebook dan Microsoft juga melakukan pembentangan pada sidang kemuncak belia itu.
Perhimpunan belia itu berakhir dengan ‘Agenda Tindakan Belia untuk Mencegah Keganasan dan Menggalakkan Keamanan’ setebal empat muka surat, yang diserahkan kepada para pemimpin yang menyertai sidang kemuncak PBB pada Selasa.
"Rasa penyendirian dan peminggiran, walaupun kita hidup dalam dunia yang saling berhubung, menyebabkan orang muda mudah direkrut di mana sahaja mereka berada," menurut agenda itu.
Ancaman yang dibawa oleh IS, kata agenda itu, mewakili ‘takrifan cabaran generasi kita’.
"Berbanding sebelum ini, maklum balas terhadap ekstremisme ganas memerlukan lebih banyak penyertaan bermakna daripada belia di semua peringkat .... Generasi kita, seperti generasi sebelum ini, mencabar status quo dan menuntut idea dan sistem baru," kata Agenda Tindakan Belia itu.
Obama: 'Kempen jangka panjang'
Presiden Obama, yang mempengerusikan mesyuarat pemimpin-pemimpin dunia itu, mengalu-alukan penyertaan Malaysia bersama-sama dengan Nigeria dan Tunisia sebagai ahli terbaru dalam Gabungan Anti-IS Global.
Namun, presiden itu mengingatkan bahawa usaha untuk mengalahkan kumpulan jihad itu mungkin mengambil masa yang amat panjang.
"Akan ada kejayaan dan akan ada halangan. Ini bukan satu pertempuran konvensional. Ini adalah kempen jangka panjang bukan sahaja untuk menentang rangkaian ini malah menentang ideologinya," kata Obama dalam ucapan perasmiannya, yang seperti ucapan Najib, disiarkan di saluran Web TV PBB.
Dalam pada itu, Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla pada mesyuarat yang sama berkata, sebahagian daripada peperangan bukan konvensional ini memerlukan peranan aktif masyarakat awam, kerana kuasa sahaja tidak mencukupi untuk menangani ancaman jihad.
"Penglibatan dengan masyarakat awam adalah amat penting dalam menyokong usaha kerajaan untuk mengukuhkan suara golongan sederhana,
"Menggalakkan toleransi dan kesederhanaan adalah penting, terutamanya kepada generasi muda, dalam usaha menghalang mereka daripada menjadi radikal." katanya pada sidang kemuncak itu.