Malaysia: Mahathir Arah Polis Siasat 1MBD
2018.05.12
Kuala Lumpur, Malaysia

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Sabtu berkata polis telah diarah untuk memindahkan laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada Akta Rahsia Rasmi bagi menentukan sama ada tindakan perundangan boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab menyeleweng wang berbilion dolar.
Perdana menteri itu turut memulakan proses pembentukan kerajaannya sendiri apabila menamakan tiga anggota kabinet beliau. Sementara itu, individu yang bakal menggantikan Mahathir, Anwar Ibrahim, yang kini menunggu pengampunan diraja, dijangka dibebaskan dari sebuah hospital penjara pada Selasa, kata anak perempuan Anwar.
“Kami akan menjalankan siasatan secepat mungkin kes pengubahan wang haram dan kami perlu menghubungi Amerika, Singapura, Switzerland dan Luxembourg. Kami juga perlu meneliti bukti bagi menentukan sama ada ia adalah sah. Ia akan memakan masa tetapi kami ingin bertindak secepat mungkin,” kata Mahathir.
Pengumuman itu dibuat sejurus selepas orang yang beliau gantikan sebagai perdana menteri, Najib Razak, melepaskan jawatan sebagai pengerusi parti politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan gabungan Barisan Nasional (BN). Najib telah menafikan semua dakwaan yang beliau telah secara salah menerima wang berjuta-juta dolar yang berasal dari 1MDB.
Peletakan jawatan Najib dibuat susulan tekanan daripada pihak dalaman parti itu sendiri berikutan kekalahan mengejut BN kepada Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir dalam pilihan raya yang berlangsung pada Rabu.
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kini cuba mendapatkan semula lebih $1.7 bilion dalam bentuk hartanah dan aset-aset lain yang didakwa digelapkan menerusi beberapa transaksi kompleks dari 1MDB, yang diwujudkan oleh Najib pada 2009 kononnya untuk mendapatkan projek-projek yang akan memanfaatkan rakyat Malaysia menerusi pembangunan projek.
Dokumen mahkamah mendakwa bahawa kira-kira US$ 681 juta dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib, namun Najib berkata wang itu adalah sumbangan politik daripada seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi.
Terdahulu pada Sabtu, Najib memaklumkan pemberita bahawa beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan dan menyifatkan tindakannya itu sebagai satu tanggungjawab moral kerana partinya kehilangan kuasa buat pertama kali sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957. Najib berterima kasih kepada kepimpinan parti dan mengingatkan semua orang tentang sumbangan UMNO kepada negara sejak lebih enam dekad lepas.
“Mungkin kebanyakan daripada perkara ini adalah berkaitan isu persepsi berbanding realiti, tetapi itulah yang berlaku… Sesiapa sahaja yang memenangi peperangan berkaitan persepsi, mereka mungkin memenangi sokongan rakyat,” katanya ketika cuba menjelaskan kekalahan parti pada pilihan raya.
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak mengumumkan peletakan jawatannya sebagai presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu di Kuala Lumpur, 12 Mei 2018. (S.Mahfuz/BeritaBenar)
Sidang akhbar Najib diadakan selepas rancangannya untuk melakukan percutian singkat ke Indonesia bersama-sama keluarga terpaksa dibatalkan kerana jabatan imigresen telah mengeluarkan larangan perjalanan terhadap beliau dan isterinya.
Mahathir kemudian mengesahkan bahawa beliau telah meminta pihak berkuasa mengeluarkan larangan itu.
“Terdapat banyak aduan terhadap Najib, jadi kita perlu menyiasat semua perkara ini,” kata Mahathir sambil menambah bahawa beliau ingin menyelesaikan siasatan 1MDB secepat mungkin.
“Kami tidak mahu dibebani oleh permohonan-permohonan ekstradisi.”
Anggota kabinet baharu
Mahathir telah berbincang dengan pemimpin parti gabungan PH untuk mengisi tiga daripada 10 kerusi kabinet yang dijangka diwujudkan. Perdana menteri itu telah menamakan Lim Guan Eng dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang didominasi kaum Cina, sebagai Menteri Kewangan; Mohamad Sabu dari Parti Amanah Negara (Amanah) yang berasaskan agama, sebagai Menteri Pertahanan dan Muhyiddin Yassin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin Mahathir sendiri sebagai Menteri Dalam Negeri.
Terdahulu pada awal minggu ini, isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail telah dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
“Kami memerlukan pentadbiran ini untuk membiasakan diri dengan hal-hal kewangan dan pertahanan pada awalnya,” kata Mahathir. “Kemudian dalam negeri/hal ehwal dalam negeri. Begitu juga dengan kementerian-kementerian lain.”
Anwar, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), dijangka keluar dari hospital penjara pada Selasa, sebulan lebih awal daripada pembebasan beliau yang dijadualkan pada Jun, menurut anak perempuannya, Nurul Izzah. Mahathir telah berjanji untuk berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga Anwar, 70, menerima pengampunan diraja bagi sabitan keduanya atas pertuduhan liwat.
Mahathir turut mengumumkan pembentukan satu “pasukan yang dianggotai pakar atau tokoh terbilang” bagi menasihati kerajaan berkaitan isu-isu ekonomi dan kewangan semasa tempoh peralihan.
“Kami sedar bahawa kebanyakan daripada kami tidak mempunyai pengalaman atau mempunyai sedikit pengalaman dalam mentadbir sebuah kerajaan. Oleh itu kepakaran ini perlu datang daripada mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini, atau pernah memegang jawatan dengan tanggungjawab ini,” kata Mahathir.
Pasukan ini akan diketuai bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, bekas gabenor bank negara Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden dan CEO Petronas Hassan Marican, ahli perniagaan Robert Kuok dan pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram.
“Buat sementara waktu sebelum kami melantik menteri, kami perlu menyiasat banyak perkara dan sesetengahnya mungkin membabitkan menteri dan kakitangan sendiri. Jadi kami memerlukan orang yang tidak terlibat untuk meneliti laporan-laporan,” kata Mahathir.
Pasukan itu akan diwujudkan selama 100 hari, demikian menurut satu kenyataan berhubung pembentukannya.
Meskipun mereka yang telah dinamakan dalam kabinet dan memainkan peranan semasa peralihan mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan, Mahathir memberitahu pemberita bahawa beliau komited untuk membentuk kabinet dengan kepelbagaian penyertaan.
“Terdaapat keperluan untuk mempunyai wakil golongan wanita dan belia dalam kabinet. Perkara itu akan diumum apabila tiba masanya,” kata beliau.
Sejak keputusan pilihan raya yang mengejutkan itu, pejuang hak-hak wanita telah menggesa lebih banyak penyertaan golongan tersebut dalam kerajaan.
“Meskipun kami meraikan keputusan Pakatan Harapan melantik Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri wanita Malaysia yang pertama, pelantikan beliau sahaja tidak mencukupi,” kata Rozana Isa, pengarah eksekutif Sisters in Islam, dan Angela M. Kuga Thas dari Jawatankuasa Hapuskan Diskriminasi Terhadap Wanita, dalam satu kenyataan bersama.
“Kabinet baharu akan diisi oleh ramai orang, termasuk lelaki, yang mempunyai sedikit atau tidak pengalaman dalam kerajaan persekutuan. Ini menyediakan peluang yang luas bagi mencerminkan komitmen kerajaan baharu untuk melibatkan wanita dalam jawatan sebagai pembuat keputusan.”
Hareez Lee di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.