Malaysia Sekat Cubaan Najib, Isteri Keluar Negara
2018.05.12
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia pada Sabtu menyekat cubaan bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya untuk meninggalkan negara itu, di tengah-tengah pelbagai laporan bahawa mereka merancang untuk berlepas dengan sebuah pesawat persendirian ke Indonesia.
Wartawan Malaysia mengerumuni pintu masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, sebuah lapangan terbang kecil di luar Kuala Lumpur yang dikatakan sebagai lapangan terbang di mana Najib dan isterinya, Rosmah Mansor akan menaiki jet berkenaan.
"Jabatan Imigresen Malaysia ingin mengesahkan bahawa Dato Sri Najib Tun Abdul Razak dan Datin Sri Rosmah Mansor baru sahaja disenarai hitamkan dari keluar negara," kata satu notis yang disiarkan di laman media sosial Facebook Jabatan Imigresen Malaysia pada kira-kira jam 11:20 pagi waktu tempatan. Pesawat itu dijadual berlepas pada pukul 10 pagi.
Dalam tweet di akaun Twitter milik bekas perdana menteri sejurus selepas itu, Najib berkata beliau telah dimaklumkan tentang keputusan itu.
"Saya menghormati arahan tersebut dan akan bersama keluarga dalam negara," katanya.
Dalam satu kenyataan panjang yang dimuat-naikkan di laman Facebooknya sebentar tadi, Najib berkata beliau akan pergi ke luar negara untuk berehat dan memikirkan masa depan politiknya.
“Saya dan keluarga akan bercuti ke luar negara mulai hari ini untuk berehat selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14,” kata beliau.
Katanya, beliau "bertanggungjawab sepenuhnya" terhadap keputusan pilihan raya, sebagai presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan gabungannya, Barisan Nasional (BN).
“Dalam tempoh ini, saya akan mengambil keputusan mengenai kedudukan saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, dengan mengambil kira kemerosotan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional pada PRU ke-14,” tambahnya lagi.
Sekembalinya ke tanah air minggu depan, saya akan memaklumkan keputusan tersebut dan perancangan masa depan saya.
Dalam satu siri tweet awal pagi terdapat sedikit nada perpisahan, Najib, 64 meminta maaf kepada rakyat Malaysia dengan berkata, "Selepas empat dekad dalam politik dan kempen pilihan raya baru-baru ini, yang malangnya bersifat peribadi serta barangkali paling sengit dalam sejarah Malaysia, saya akan bercuti rehat seketika untuk meluangkan masa bersama keluarga saya yang agak kurang didampingi sejak beberapa tahun kebelakangan ini,"
“Saya berdoa selepas tempoh perpecahan ini, negara kita akan kembali bersatu. Saya mohon maaf atas kekurangan dan kesilapan. Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas peluang yang diberikan untuk memimpin negara hebat ini. Ia adalah penghormatan besar seumur hidup saya untuk berkhidmat kepada anda dan Malaysia.”
Desakan letak jawatan pada hari ulang tahun UMNO
Kerajaan Najib runtuh pada pilihan raya yang berlangsung Rabu selepas tiga tahun menepis dakwaan rasuah di tengah-tengah siasatan antarabangsa berkaitan wang berbilion dolar yang didakwa digelapkan daripada dana negara Malaysia 1MDB, yang diwujudkan oleh Najib.
Perdana Menteri baharu Mahathir Mohamad telah berikrar semasa kempennya untuk berusaha mendapatkan kembali wang tersebut dan mendakwa mereka yang melanggar undang-undang.
Pada Jumaat, Najib yang kelihatan muram telah menghadiri sambutan tahunan penubuhan UMNO, yang telah memerintah Malaysia sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1957.
Anggota sayap pemuda UMNO telah menggunakan majlis tersebut bagi mendesak pemimpin berusia 64 itu mengundurkan diri daripada parti.
“Datuk Seri Mohd Najib adalah punca utama kekalahan Barisan Nasional di peringkat pusat mahupun negeri,” kata Rafizal Abd Rahim, ketua pemuda UMNO dari Pulau Pinang, kepada BeritaBenar.
“Beliau perlu menghargai apa yang sering diucapkannya sebagai ‘semangat besar’ dan menyerahkan kepimpinan tertinggi UMNO serta-merta kepada orang yang lebih layak daripada beliau.”
Dalan sidang akhbar pada Khamis di mana beliau akur dengan kekalahannya pada pilihan raya, Najib berkata kerajaan beliau telah meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, namun "ada perkara-perkara yang tidak sempurna ketika kami berkuasa."
Mahathir turut memaklumkan pemberita bahawa beberapa pegawai tinggi kerajaan turut berdepan risiko dipecat daripada jawatan mereka.
“Kami ingin menjejaki mereka yang dilihat mempunyai kecenderungan menjadi korup atau yang telah melakukan perbuatan korup,” kata Mahathir.
Mahathir tidak menyebut sebarang nama, namun penganalisis berkata antara mereka yang mungkin berdepan pemecatan ialah Peguam Negara Apandi Ali, yang telah membersihkan nama pengganti Mahathir, Najib, daripada dakwaan rasuah berkaitan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat kini cuba mendapatkan semula lebih $1.7 bilion dalam bentuk hartanah dan aset lain yang didakwa telah digelapkan menerusi transaksi kompleks daripada 1MDB, yang ditubuhkan Najib pada 2009 kononnya untuk mencari projek-projek yang akan memanfaatkan rakyat Malaysia melalui pembangunan projek.
Dokumen mahkamah mendakwa kira-kira US$$681 juta daripada dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, namun Najib berkata wang itu adalah sumbangan politik daripada seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi.
“Ketika ini AG [peguam negara] telah melemahkan kredibilitinya sendiri. Beliau telah menyembunyikan bukti salah laku dan perkara itu adalah salah di sisi undang-undang,” kata Mahathir.
Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ketujuh Malaysia pada Khamis, sehari selepas blok pembangkang yang diketuainya menewaskan gabungan parti yang paling lama memerintah negara itu, Barisan Nasional, pada pilihan raya umum ke-14. PH dan sekutunya memenangi 135 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan.