Agensi Antirasuah Malaysia Soal Siasat Bekas PM Najib
2018.05.22
Putrajaya, Malaysia
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menyoal siasat bekas Perdana Menteri Najib Razak selama beberapa jam pada Selasa, manakala dalam satu sidang akhbar, ketua agensi itu menceritakan tekanan dan ancaman yang terpaksa ditempuh ketika cuba menyiasat penyelewengan wang berjuta-juta dolar daripada dana negara 1MDB.
Najib melaporkan diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pusat pentadbiran negara pada awal Selasa dan meninggalkan agensi itu kira-kira lima jam kemudian, selepas memberitahu pemberita bahawa soal siasat akan disambung pada Khamis.
“Saya ingin memaklumkan bahawa saya telah memberi beberapa keterangan kepada SPRM pada 2015 berhubung isu SRC dan kenyataan saya hari ini adalah sambungan daripada kenyataan-kenyataan terdahulu dengan lebih terperinci,” kata beliau merujuk kepada sebuah syarikat tenaga, SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Menurut Wall Street Journal, kira-kira RM42 juta (lebih AS$10 juta) daripada SRC telah dimasukkan ke dalam akaun bank Najib, di mana beratus-ratus juta dolar dana 1MDB didakwa turut berada.
“Saya memberi keterangan dari pukul 10 pagi hingga 2.15 petang dengan waktu rehat selama sejam. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang mengambil keterangan saya kerana bersikap profesional. Majoriti daripadanya telah selesai namun ia akan disambung pada Khamis,” katanya.
Dalam satu sidang akhbar pada tengah hari, Pesuruhjaya SPRM Shukri Abdull berkata bekas perdana menteri itu tidak akan ditahan.
“Hari ini kita terus merekod keterangan beliau. Mengapa? Kerana kami telah menerima maklumat tambahan. Kami tidak akan menahan atau mendakwa beliau,” kata Shukri tanpa menjelaskan jika tindakan sedemikian akan diambil pada masa akan datang.
Para penyiasat menyoal siasat Najib beberapa hari selepas polis merampas beratus-ratus kotak beg tangan mewah dan dan 72 bagasi mengandungi wang tunai, barangan kemas serta barangan mewah dari hartanah yang dikaikan dengan beliau.
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) telah menyifatkan kes 1MDB sebagai “skandal kleptokrasi terburuk dalam masa terdekat ini,” merujuk kepada lebih AS$4.5 bilion diseleweng daripada dana itu sejak penubuhannya pada 2009.
Dokumen mahkamah yang difailkan di California mendakwa bahawa hampir AS$700 juta dana yang diseleweng telah dimasukkan dalam akaun bank Najib pada 2013. Najib telah menafikan sebarang salah laku, dan berkata wang dideposit ke dalam akaun bank beliau adalah satu sumbangan daripada seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi.
Pada hujung minggu, ketika berkunjung ke negeri kelahirannya Pahang, Najib mengulangi dakwaannya sebelum itu.
“Saya tidak mencuri duit daripada rakyat,” Reuters memetik beliau sebagai berkata.
‘Dilayan seperti pengkhianat’
Najib tiba di SPRM dalam sebuah van putih dengan diiringi dua pegawai polis bermotosikal dan tiga lagi kenderaan. Beliau tidak bercakap kepada pemberita yang mengerumuninya di luar bangunan SPRM.
Ketika Najib bertemu para penyiasat, Shukri memberitahu sidang akhbar bahawa beliau telah melarikan diri ke Amerika Syarikat buat seketika pada 2015, ketika menjadi timbalan pesuruhjaya agensi itu, selepas mendengar khabar bahawa beliau akan diberkas dan didakwa bersubahat.
“Anda tahu, Abu Kassim dan saya telah dilayan seperti pengkhianat apabila kami bertungkus-lumus untuk membawa pulang wang yang telah dicuri,” katanya mengenai ketuanya ketika itu, Abu Kassim Mohamed, yang telah memberikan tugasan kepada beliau untuk menyiasat wang berjuta-juta ringgit yang ditemui dalam akaun bank Najib.
Apabila Abu Kassim bercadang untuk mendakwa Najib pada Julai 2016, Peguam Negara ketika itu, Gani Patail, tiba-tiba telah dipecat daripada jawatannya, kata Shukri.
Shukri berkata beliau menjadi sasaran ancaman dan percubaan merasuah serta pernah menerima sebutir peluru hidup yang dikirimkan kepadanya, namun tidak melaporkan perkara itu kepada polis.
Shukri menangis ketika menceritakan bagaimana beliau rasa bersalah apabila dimaklumkan bahawa beberapa kakitangannya telah dihantar ke penjara, semasa beliau di Washington.
“Saya rasa tidak berdaya dan kecewa kerana gagal melindungi orang-orang saya,” katanya.
Pesuruhjaya agensi antirasuah Malaysia Shukri Abdull bercakap pada sidang akhbar ketika pasukan penyiasat suruhajaya itu menyoal bekas perdana menteri Najib Razak, 22 Mei 2018. [S. Mahfuz/BeritaBenar]
‘Kleptokrat’
Pada Isnin, DOJ telah mengeluarkan satu kenyataan yang menyebut bahawa ia “tidak sabar untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang Malaysia dalam menyiasat transaksi berkaitan 1MDB.”
“DOJ komited untuk memastikan bahawa Amerika Syarikat dan sistem kewangannya tidak terancam oleh individu korup dan kleptokrat yang ingin menyembunyikan kekayaan mereka yang diperoleh secara haram,” menurut kenyataan itu. “Bila-Bila yang mungkin, aset-aset yang didapati semula akan digunakan untuk memanfaatkan rakyat yang terjejas akibat tindakan korupsi ini dan penyalahgunaan kuasa.”
Ketika penggeledahan sebuah unit kondominium Pavilion Residence yang dikaitkan dengan Najib pada Jumaat, polis berkata mereka telah merampas sejumlah 284 kotak mengandungi beg tangan Hermes Birkin, setiap satu bernilai antara AS$12,000 dan lebih AS$200,000.
Tindakan polis itu adalah satu daripada enam serbuan serentak yang menurut pihak berkuasa mempunyai kaitan dengan siasatan 1MDB.
Beberapa jam sebelum hadir ke SPRM, Najib telah melantik satu pasukan peguam yang baharu, menurut laporan media dan seorang peguamnya.
Sementara itu, pada hujung minggu ketika berita mengenai rampasan barangan mewah mendominasi tajuk-tajuk utama akhbar dan memeriahkan media sosial Malaysia, isteri Najib, Rosmah Mansor, telah mengeluarkan satu kenyataan yang jarang dilakukan menerusi peguamnya meminta pihak berkuasa untuk berhenti membocorkan maklumat.
“Kami berharap pihak berkuasa akan mematuhi undang-undang dan proses sewajarnya, bagi mengelak satu perbicaraan awam yang pramatang,” kata kenyataan itu, menurut pelbagai laporan media.
“Agensi penguatkuasaan tidak seharusnya memberi maklumat kepada troll di media sosial, sebaliknya mematuhi dan mendokong sikap profesionalisme yang tegas pada setiap masa,” menurut kenyataan itu.
Najib, anak lelaki bekas seorang perdana menteri dan anak saudara seorang lagi, bertemu para penyiasat hampir dua minggu selepas parti gabungan pemerintah pimpinannya mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum 9 Mei.
Perdana Menteri baharu Mahathir Mohamad telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat jenayah yang dilakukan berkaitan 1MDB, yang diasaskan oleh Najib pada 2009 sebagai satu dana kekayaan negara bagi menyokong pembangunan ekonomi dalam negara.
Hareez Lee menyumbang kepada laporan ini.