Najib Razak minta Mahathir berhenti guna sentimen Melayu raih manfaat politik
2023.03.21
Kuala Lumpur
Najib Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia dan pemimpin parti nasional Melayu UMNO yang kini sedang dipenjarakan, pada Selasa menuduh seorang lagi bekas PM Mahathir Mohamad cuba "menunggang" sentimen bangsa Melayu bagi meraih manfaat politik sempit.
Najib yang pernah memimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) sebelum ini telah mengkritik Mahathir selepas nonagenarian itu menyifatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai seorang diktator, menyatakan bahawa Mahathir tidak layak berkata demikian selepas apa yang dilakukannya ketika memegang kuasa dalam kerajaan.
Bekas perdana menteri Malaysia ke-enam itu kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan berkaitan syarikat pelaburan negara 1MDB yang menjadi fokus siasatan pihak berkuasa ketika Mahathir mengetuai kerajaan yang dianggotai oleh parti pimpinan Anwar.
UMNO kini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, yang dibentuk melalui kerjasama parti-parti politik bersama Pakatan Harapan yang diketuai Anwar, dan mahkamah telah menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh akhir semakan kehakiman terhadap sabitan dan hukuman ke atas Najib.
"Bila tiada kuasa, (beliau kata) Melayu dipinggirkan, Melayu ditindas, jom buat proklamasi. Tapi bila ada kuasa, beliau kata Melayu malas, Melayu mudah lupa, Melayu tak pandai berpolitik, Melayu perlu ikat perut, jangan iri hati orang kaya.
"Cukuplah. Cukup. Jangan tunggang nama orang Melayu lagi," kata Najib dalam satu muatnaik di laman Facebook rasminya pada petang Selasa.
Kenyataan Najib itu dikeluarkan selepas Mahathir cuba mengadakan majlis 'Proklamasi Orang Melayu', satu program yang dirancang untuk membincangkan permasalahan dihadapi etnik majoriti itu di Malaysia, termasuk isu ekonomi.
Program itu bagaimanapun tidak berjaya diadakan selepas venue yang dibuat oleh penganjur dibatalkan oleh pihak pengurusan lokasi yang dirancang mereka.
Terdahulu itu, Anwar telah mengeluarkan kenyataan mengenai pendirian tegas kerajaan terhadap cubaan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan dalam negara, dengan memberikan amaran bahawa pihak berkuasa tidak akan berkompromi sekiranya sampai ke tahap menggugat keamanan negara susulan pengajuran program berkenaan.
Pendirian tersebut telah dikritik Mahathir, yang menyifatkan kerajaan Anwar sebagai diktator dan zalim kerana cuba menghalang orang ramai termasuk parti pembangkang daripada menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran negara.
"Rakyat Malaysia berhak menegur kerajaan, tetapi kerajaan ini bukan setakat tidak bagi tegur, jika parti lawan (siap) hendak ambil tindakan, hendak tangkap, hendak masukkan ke penjara dan sebagainya," kata Mahathir pada Ahad.
Mahathir turut menggelar Anwar sebagai rasis dalam satu kenyataan sehari selepas itu kerana cuba menyekat orang Melayu dari menyuara dan membincangkan masalah yang dihadapi mereka.
Dakwaan Mahathir itu kemudiannya menerima kecaman daripada Najib, yang menyatakan bahawa Mahathir sendiri merupakan seorang diktator tetapi "menggelar orang lain sebagai diktator".
Dalam satu muatnaik di Facebook pada petang Ahad, Najib menyenaraikan beberapa tindakan keras diambil kerajaan dan pihak berkuasa terhadapnya ketika di bawah pemerintahan Mahathir, dan menyatakan bahawa seseorang hanya layak digelar diktator sekiranya mereka mengulangi apa dilakukan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu.
Ia termasuk sekatan terhadap dirinya dan keluarga daripada keluar negara, penggeledahan ke atas rumah Najib, pembekuan akaun bank, serta pemfailan saman lucut hak dan merampas harta sebelum perbicaraan dilaksanakan.
"Buat seperti apa yang Mahathir pernah buat pada Najib dan keluarganya. Baru layak digelar diktator," kata Najib.