Pengamal Media Malaysia Sambut Secara Sinis Kenyataan Najib
2017.04.20
Kuala Lumpur

Pengamal media Malaysia menyambut dengan sinis kenyataan Perdana Menteri Najib Razak bahawa media perlulah bersandarkan pada fakta dalam melaporkan berita bagi menangani berita palsu yang dikatakan kian berleluasa di negara itu.
Ketua Pengarang The Malaysian Insight Jahabar Sadiq ketika dihubungi memberitahu kenyataan Najib amat tepat dan tidak perlu “bergantung kepada sumber yang tidak mahu dikenali atau penulis blog yang melarikan diri”.
“Mungkin beliau boleh berhati mulia dan membolehkan kesemua wartawan untuk menemubual beliau tanpa hanya bergantung kepada Bernama (agensi berita rasmi kerajaan),” katanya kepada BeritaBenar.
Tambahnya, beliau dan ramai lagi wartawan daripada pelbagai platform media gagal mendapatkan pengesahan daripada Najib sendiri mengenai isu-isu penting dan bukan hanya melalui media yang diselia oleh kerajaan.
“Dia betul, kita harus berpegang kepada fakta. Bukan sahaja wartawan, semua orang pun perlu berpegang kepada fakta,” tegasnya.
Jahabar merupakan bekas Ketua Pengarang The Malaysian Insider, sebuah laman web di Malaysia yang disekat selepas ia menyiarkan laporan yang mendakwa adanya bukti yang boleh dipercayai untuk melakukan pendakwaan terhadap Najib dalam skandal yang dikaitkan dengan dana negara sarat hutang, 1MDB.
Polis Malaysia juga menyoal siasat Ketua Eksekutif dan empat pekerjanya, sehari selepas syarikat telekomunikasi menutup laman web itu atas arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Mac tahun lepas.
Pada awal bulan ini [April], sebuah laman web yang baru yang dikenali sebagai The Malaysian Insight telah ditubuhkan oleh Jahabar untuk menggantikan laman web yang disekat dan ditutup itu.
TMI adalah laman berita kedua yang disekat selepas Asia Sentinel, yang berpejabat di Hong Kong, mengalami nasib yang sama pada 29 Jan tahun lalu.
Sarawak Report, laman web berita Malaysia yang berpejabat di United Kingdom, telah disekat di Malaysia sejak 20 Julai 2015. Selain itu, Pusat Kewartawanan Bebas Malaysia mendakwa bahawa laman web hos blog Medium telah disekat sejak Januari, kerana menerbitkan satu artikel daripada laman web Sarawak Report.
Malaysia menduduki tangga ke-146 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2016 dalam statistik tahunan Reporters Without Borders.
Kebebasan bersuara baik di Malaysia
Najib dalam satu ucapan anugerah media pada Rabu memberitahu dengan berkembangnya kebebasan bersuara, ia menjadi tanggungjawab ahli media untuk menangani berita palsu.
“Pada pandangan saya, kebebasan bersuara berkembang maju di Malaysia.
“Dengan kebebasan perlu ada tanggungjawab dan sebahagian daripada tanggungjawab itu perlunya ditangani apa yang kini telah menjadi wabak, wabak palsu dan berita palsu,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Gala Anugerah Media Asia Ke-16 anjuran Persatuan Penerbit Baharu dan Akhbar Dunia (WAN-IFRA).
Najib juga menolak dakwaan aktivis antarabangsa bahawa media di Malaysia dilayan dengan `keras` dan keadaan media negara itu tidak bebas.
“Kadang-kadang anda mungkin pernah mendengar aktivis asing bercakap mengenai "tindakan keras" pada kebebasan bersuara di Malaysia. Tetapi lihat akhbar di negara ini, anda akan mendapati kritikan terhadap Kerajaan, menteri-menteri kita, pegawai-pegawai kita, dalam akhbar setiap hari,” katanya.
Najib menjelaskan terdapat siaran berita yang sihat dimana terdapat pengkritik dari pelbagai pihak termasuk menteri, bekas menteri serta bekas Perdana Menteri, tanpa menamakan Mahathir Mohamad, pengkritik paling lantang pentadbirannya.
“Apa yang boleh saya katakan kritikan di negara ini sudah begitu banyak, dan jika anda melihat di media sosial ia bagaikan di Wild West di luar sana,” katanya.
Sementara itu, bekas Penolong Setiausaha Agung, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia Amran Ahmad yang kini menjawat jawatan editor Bahasa Melayu di portal berita utama MalaysiaKini menegaskan bahawa tomahan yang dilemparkan oleh Mahathir bukanlah berita palsu kerana sehingga kini tidak dinafikan oleh Najib.
“Isu lebih besar yang perlu di utamakan oleh Najib ialah media harus dibebaskan dengan semua parti politik melepaskan pegangan mereka daripada syarikat media arus perdana,” kata Amran yang juga aktivis media kepada BeritaBenar pada Khamis.
Tambah Amran, menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 yang perlu diadakan sebelum Jun 2018, Najib harus membenarkan saluran maklumat yang telus dan benar agar rakyat mampu membuat pilihan yang baik untuk negara itu.
Beberapa individu, mahupun portal berita atas talian yang menyiarkan berita mengenai skandal berkenaan, dan kaitannya dengan Perdana Menteri Najib Abdul Razak, telah dikenakan tindakan, termasuk penggantungan selama tiga bulan ke atas akhbar kewangan The Edge, kerana menyiarkan beberapa laporan berkaitan 1MDB.
Tangkapan
Dalam pada itu, jurucakap Gerakan Media Marah [Geramm] Radzi Razak semasa diminta mengulas berkata, “Kebebasan bersuara? Bagaimana anda kata kebebasan bersuara semakin meningkat di sesebuah negara apabila seseorang itu boleh ditangkap hanya kerana membuat catatan dalam media sosial."
Beliau turut berkata “bagaimana anda katakan tentang kebebasan bersuara apabila media, khususnya media arus perdana tradisional, yang tidak dibenarkan membuat liputan atau menerbitkan berita kritikal yang menjadi tajuk utama di seluruh dunia,”
"Bagaimana anda boleh katakan adanya kebebasan bersuara apabila kerajaan sendiri memberi amaran umum kepada kakitangan kerajaan bahawa mereka akan menghadapi tindakan jika didapati mempunyai pandangan alternatif tentang politik itu sendiri." tambahnya lagi
Pada Mac lepas, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menyiarkan laporan hak asasi manusia bagi tahun 2016 dengan menegur Malaysia yang didapati telah melanggar beberapa hak asasi kemanusiaan
"Media cetak dan elektronik tidak menyiarkan berita mengenai skandal tersebut, tetapi media atas talian, yang menawarkan liputan yang lebih bebas dan kritikal terhadap kerajaan, telah menjadi sasaran serta gangguan dari pihak berkuasa. Ini telah menyebabkan sebuah portal media ditutup," kata laporan itu.
Kenyataan itu merujuk kepada skandal 1MDB yang menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa negara termasuk Amerika Syarikat.
Beberapa individu dan portal berita atas talian yang menyiarkan berita mengenai skandal berkenaan serta kaitannya dengan Perdana Menteri Najib Abdul Razak, telah dikenakan tindakan. Ini termasuk penggantungan selama tiga bulan ke atas akhbar kewangan The Edge kerana menyiarkan beberapa laporan berkaitan 1MDB.