Najib Razak mahu Netflix henti siar filem ‘Man On The Run’, kata Peguam

Filem ‘Man on the Run’ adalah dokumentari yang diarah, ditulis dan diterbitkan oleh Cassius Michael Kim yang berkisar mengenai skandal 1MDB.
Minderjeet Kaur dan Iman Muttaqin Yusof
2024.01.08
Kuala Lumpur
Najib Razak mahu Netflix henti siar filem ‘Man On The Run’, kata Peguam Bekas perdana menteri Najib Razak berhujah pada sesi Debat Perdana di Kuala Lumpur, 12 Mei, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang dipenjarakan mahu perkhidmatan penstriman Netflix berhenti menyiarkan dokumentari mengenai skandal 1MDB dan dakwaan kaitannya dengan kecurian AS$4.5 bilion daripada dana kerajaan, kata Ketua pasukan peguamnya pada Isnin.

Peguam Mohamed Shafee Abdullah bagaimanapun tidak mendedahkan tindakan lanjut yang dirancang tetapi berkata menyiarkan filem "Man on the Run" itu telah melanggar peraturan sub-judis, kerana kes 1MDB terhadap bekas perdana menteri yang sedang dipenjarakan kerana rasuah dalam kes berkaitan, masih lagi berjalan.

Semasa menyuarakan isu tersebut, Mohamed Shafee turut memohon kepada mahkamah dan pendakwa raya supaya meminta agensi kawalselia internet, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan rancangan berkenaan daripada platform penstriman itu.

"Yang Arif, tayangan program tersebut adalah hampir dua jam. Saya menontonnya sehinga jam 2 pagi hari ini. Program itu sangat bersifat sub-judis dan menghina," kata Shafee kepada Collin Lawrence Sequerah, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar perbicaraan jenayah terhadap Najib dan dakwaan pembabitan bekas PM itu dengan kehilangan AS$4.5 bilion daripada dana pelaburan wang negara 1Malaysia Development Berhad.

Pihak pendakwaan dalam respon terhadap permohonan dibuat Shafee berkata, mereka akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Peguam Negara "bagi mendapatkan arahan lanjut", dan meminta pasukan pembelaan supaya membuat permohonan secara bertulis kepada SKMM dan agensi lain yang berkaitan.

Filem 'Man on the Run' berdurasi sejam 38 minit itu telah ditayangkan di Netflix bermula 5 Januari lalu hasil arahan dan diterbitan Cassius Michael Kim memberikan fokus kepada kisah watak utama Jho Low, seorang ahli perniagaan dalam buruan yang masih tidak berjaya dikesan pihak berkuasa.

Ia menampilkan institusi seperti firma kewangan Goldman Sachs dan beberapa individu termasuk Najib sendiri, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, bekas peguam negara Tommy Thomas, wartawan serta pegawai penyiasat termasuk dari Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Shafee semasa sidang media pada Isnin mendakwa bahawa Najib telah dihubungi oleh dua pengarah filem, termasuk Cassius dan beliau telah diperdaya untuk memberikan temuramah dengan diberitahu bahawa program berkenaan hanya mengkisahkan perihal Jho Low "dan tidak ada kena mengena dengan dirinya".

"Jadi kita nampak sangatlah ini adalah program Amerika yang tipikal, mereka akan perdayakan kamu, cerita benda yang tidak betul. Tetapi apa yang Najib cakap dalam program itu, semuanya 100 peratus benar," kata peguam itu, merujuk kepada bahagian yang menampilkan temuramah bersama Najib dalam dokumentari tersebut.

Ditanya sama ada Najib telah menonton rancangan berkenaan, Shafee berkata: Beliau dalam penjara. Bagaimana beliau boleh menontonnya? Program itu hampir dua jam, dan beliau tidak mempunyai keistimewaan untuk berbuat demikian."

Penapisan alat penindas

Dalam pada itu, Cassius yang mengarah, menulis dan menerbitkan filem ‘Man on the Run’ semasa dihubungi BenarNews mengkritik cubaan pasukan guaman Najib untuk menghentikan penayangan filem tersebut.

Kata beliau, mereka di Amerika Syarikat berpegang kepada kebebasan media.

"Censorship (penapisan) adalah alat yang digunakan oleh penindas," kata Cassius dalam respon terhadap permohonan dibuat Shafee.

Shafee terdahulu itu turut memberitahu mahkamah bahawa Najib juga telah mengarahkannya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Thomas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown atas kenyataan dibuat mereka mengenainya dalam dokumentari yang kini berada di tangga keempat dalam senarai 10 filem teratas di Netflix.

"Saya telah diarah untuk memulakan tindakan 'contempt' (menghina) terhadap Tommy Thomas dan saman fitnah terhadap Clare Rewcastle-Brown," kata Shafee.

Peguam itu turut memberitahu media antara perkara yang menjadi isu adalah dakwaan Rewcastle-Brown dalam filem tersebut yang mencadangkan bahawa Najib mempunyai kaitan dengan pembunuhan Kevin Morais, seorang timbalan pendakwa raya yang diculik pada 4 September 2015 sebelum mayatnya ditemui dalam sebuah tong simen yang dibuang di sebuah lokasi di Selangor.

Enam lelaki termasuk seorang pakar patologi tentera telah didapati bersalah dalam kes bunuh itu dan dijatuhkan hukuman gantung oleh mahkamah pada 2020, dengan kes tersebut kini dalam peringkat rayuan.

"... apa dikatakan oleh Rewcastle-Brown mengenai Najib terlibat dalam pembunuhan Kevin Morais adalah fitnah semata-mata. Ia juga adalah satu bentuk 'contempt' (penghinaan kepada mahkamah)," kata Shafee.

Dalam pada itu, Rewcastle-Brown memberitahu BenarNews bahawa beliau masih belum menerima sebarang surat daripada peguam Najib mengenai saman fitnah dan sebagainya.

Pengarang blog itu bagaimanapun enggan memberikan komen ke atas semua dakwaan Shafee secara spesifik.

"Saya boleh sahkan bahawa saya tidak menerima sebarang surat lagi berkenaan perkara ini daripada Shafee yang menuduh saya memfitnah atau apa-apa pun," kata beliau.

Sementara itu, tayangan Man on the Run telah mendapat reaksi hangat di kalangan rakyat Malaysia, terutama pengguna laman X yang menggesa orang ramai supaya menonton dokumentari itu.

"Berani sungguh Najib Razak untuk menyatakan (dalam filem) bahawa 'sistem telah mengecewakan saya' ketika beliau sedang berkuasa. Lawak sungguh. Beliau layak menerima sejuta carutan daripada rakyat Malaysia," kata seorang pengguna X, Choco Mint.

"Tontonlah Man on the Run di Netflix. Saya berharap rancangan ini mendedahkan lebih banyak mengenai perangai Rosmah, namun apa yang disiarkan ini memadai buat masa ini," tambahnya, merujuk kepada isteri Najib, Rosmah Mansor yang telah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas kesalahan selepas didapati bersalah dalam tiga pertuduhan rasuah yang tidak berkait dengan 1MDB.

Pengguna X bernama Afif pula berkata yang Najib patut kekal dalam penjara selama puluhan tahun.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.