Bekas PM Najib fail petisyen kepada PBB bantu dapatkan pembebasan penjara

Peguam Shafee Abdullah mendakwa perbicaraan rayuan anak guamnya Najib Razak dibuat tanpa mengikut peraturan keadilan antarabangsa.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2023.01.05
Kuala Lumpur
Bekas PM Najib fail petisyen kepada PBB bantu dapatkan pembebasan penjara Shafee Abdullah, peguam utama bekas perdana menteri Najib Razak menunjukkan petisyen yang dihantar ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB di Geneva kepada media di pejabatnya di Kuala Lumpur, 5 Januari, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan penyelewengan kes berkaitan 1MDB pada Khamis memfailkan satu petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu [PBB], dengan tujuan untuk mendapatkan pembebasan dari penjara atau diberikan perbicaraan semula.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mendakwa perbicaraan rayuan anak guamnya terhadap sabitan bersalah dibuat tanpa mengikut peraturan keadilan antarabangsa, dan Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari di bawah PBB perlu memutuskan sama ada perbicaraan itu telah dijalankan secara adil.

Muhammad Shafee juga berkata, petisyen itu telah dihantar ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB di Geneva dengan tujuan untuk mendapatkan campurtangan badan antarabangsa itu bagi pembebasan atau diberikan perbicaraan semula terhadap ahli politik tersebut.

"Petisyen tersebut telah difailkan kepada PBB melalui emel," kata Shafee ketika dihubungi BenarNews selepas peguam itu mengadakan satu sidang media khas bagi mengumumkan usaha terbaru bagi mendapatkan pembebasan Najib.

Petisyen itu juga dibuat kira-kira dua minggu sebelum Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar permohonan semakan kehakiman yang dibuat oleh Najib terhadap keputusan bersalah dalam kes SRC International pada 19 Jan depan.

"Tajuk petisyen adalah ‘Muhammad Najib Haji Abdul Razak vs Malaysia’ kerana kami hendak membawa negara ini ke PBB kerana kami menyatakan bahawa negara telah gagal memberikan perbicaraan yang adil kepada Najib seperti apa yang layak diterimanya," kata Shafee semasa sidang media khas yang berlangsung di pejabatnya di Kuala Lumpur pada tengah hari Khamis.

Menurut Shafee, Najib memohon lima pakar mengenai keadilan antarabangsa dalam Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari di bawah PBB supaya memutuskan bahawa penolakan rayuannya oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 sebagai sesuatu yang tidak adil, cacat dan telah mencabuli hak asasi beliau serta Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Peguam itu juga mendakwa Najib telah dinafikan peluang membela diri apabila pasukan guamannya yang baru dilantik pada hari-hari terakhir rayuan tidak diberikan masa untuk mengkaji kes beliau.

"Secara asasnya, Najib telah dihantar ke penjara tanpa peluang untuk membela diri di Mahkamah Persekutuan.

"Dalam hari-hari terakhir proses rayuan pada bulan Ogos, keadilan terhadap Najib telah dibuat secara tergesa-gesa apabila peguam-peguam beliau tidak diberikan masa yang diperlukan mereka bagi meneliti dokumen rayuan yang mencecah puluhan ribu mukasurat atau untuk menelaah 94 hujahan rayuan yang difailkan peguam Najib sebelum itu.

"UNWGAD, yang akan mendengar rayuan ini nanti, mempunyai barisan lima hakim hak asasi manusia. Mereka tidak akan dipanggil untuk menentukan sama ada Najib bersalah atau tidak, tetapi untuk melihat sama ada perbicaraan terhadapnya telah dijalankan secara adil, dan jika ia didapati tidak adil, mereka boleh memanggil kerajaan (Malaysia) supaya melepaskannya atau memberikan perbicaraan semula terhadap Najib.

"Walaupun keputusan ini tidak mengikat secara terus, tetapi ia amat berpengaruh, terutama sekali dengan hakim dari Malaysia berada dalam kumpulan kerja tersebut," kata Shafee.

Petisyen yang difailkan oleh Najib itu adalah satu bentuk permohonan rasmi yang dibuat kepada pihak berkuasa dalam sesuatu kes, yang mana dalam isu ini adalah PBB.

Tiada bidang kuasa

Najib, 69, sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd. Beliau juga perlu membayar denda berjumlah RM210 juta (AS$45.6 juta).

Beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020, yang turut menjatuhkan hukuman penjara serta denda itu ke atasnya. Sejak itu, Najib telah membawa kes beliau kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan bagi merayu penghakiman bersalah terhadapnya, tetapi kedua-dua mahkamah berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum beliau dibawa ke penjara bagi memulakan hukuman pada 23 Ogos 2022.

Pada 6 September 2022, Najib telah membuat permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan panel hakim yang baru bagi membuat semakan semula keputusan bersalah serta hukuman penjara dan denda terhadapnya. Permohonan itu dijadualkan untuk didengar mahkamah pada 19, 20 dan 26 Januari tahun ini.

Sementara itu, seorang peguam kanan Americk Sidhu berkata petisyen difailkan Najib kepada UNWGAD itu adalah satu tindakan pramatang kerana Mahkamah Persekutuan masih membuat keputusan, dan badan antarabangsa itu juga tidak mempunyai kuasa ke atas badan kehakiman Malaysia.

"UNWGAD hanya boleh memberikan pandangan mereka. Mereka langsung tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan pembebasan Najib mahu pun perbicaraan semula.

"Mereka hanya mencadangkan tindakan kepada kerajaan, tetapi ia tidak akan dan tidak boleh mengarahkan untuk berbuat sesuatu," kata peguam itu kepada BenarNews.

Tambah Americk, penahanan arbitrari juga adalah mengenai penahanan seseorang individu dalam kes yang tidak ada langsung kemungkinan atau bukti bahawa mereka telah melakukan jenayah, atau situasi di mana mereka tidak mendapat akses kepada proses perundangan yang sewajarnya.

"Saya percaya mereka (peguam Najib) menyatakan bahawa Najib tidak diberikan proses sewajarnya di Mahkamah Persekutuan. Akan tetapi, proses yang sewajarnya berlaku di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Saya percaya tidak ada sebarang rungutan terhadap itu," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.