Sumber: Permohonan Najib Razak yang kini dipenjara ‘cabaran’ buat Lembaga Pengampunan

Menurut pakar perlembagaan, Lembaga itu mungkin dalam dilema susulan kesan pengampunan terhadap perbicaraan kes rasuah Najib yang sedang berlangsung.
Minderjeet Kaur
2024.01.11
Kuala Lumpur
Sumber: Permohonan Najib Razak yang kini dipenjara ‘cabaran’ buat Lembaga Pengampunan Bekas Perdana Menteri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Malaysia Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur sempena setahun pertabalan baginda sebagai Sultan Pahang menerusi foto yang dimuat naik di akaun Facebook beliau pada 9 Jan 2020.
[Facebook Najib Razak]

KEMASKINI pada 7 malam waktu tempatan ETS - 2024-01-11

Lembaga Pengampunan Malaysia dijangka membincangkan segera cabaran dalam menangani permohonan bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang kini meringkuk dalam penjara, untuk mendapatkan pengampunan diraja dan ia tidak mungkin mengumumkan keputusan berhubung perkara itu bulan ini sekali gus menyangkal satu laporan media baru-baru ini, kata sekutu beliau kepada BenarNews.

Seorang pakar perlembagaan pula berkata Lembaga itu mungkin dalam dilema susulan implikasi keputusannya berhubung permohonan Najib bagi mendapatkan pengampunan diraja terhadap perbicaraan kes 1MDB bekas Perdana Menteri itu yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah dalam kes berkaitan.

Pada masa yang sama, sesetengah rakyat Malaysia juga tertanya-tanya sama ada Najib boleh mendapatkan pengampunan diraja sebelum Yang di-Pertuan Agong ketika ini berundur seperti dijadualkan pada 31 Jan di bawah sistem penggiliran bagi jawatan berkenaan di negara itu.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah dari negeri Pahang di mana Najib memulakan kerjaya politiknya.

Najib adalah Ahli Dewan Undangan Negeri dan Menteri Besar Pahang sebelum beliau menjadi Ahli Parlimen ketika berada dalam kerajaan persekutuan dan menyandang jawatan sebagai Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta Perdana Menteri.

Sekutu rapat Najib berkata Lembaga itu akan bersidang bulan ini untuk memuktamadkan syornya mengenai penerima pengampunan diraja, yang akan menjadi antara tugas rasmi terakhir baginda.

“Terdapat beberapa cabaran yang perlu diteliti dan ditangani. Jadi kami masih tidak pasti sama ada Najib akan diberikan pengampunan diraja,” katanya yang enggan dinamakan kerana tidak diberikan kuasa untuk bercakap kepada media, kepada BenarNews.

Meskipun terdapat spekulasi dalam kalangan ahli politik bahawa Lembaga Pengampunan mungkin mengurangkan tempoh hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atas Najib, sumber itu berkata perkara seperti itu tidak akan berlaku kerana jika Lembaga Pengampunan ingin memberikan pengampunan, ia adalah pengampunan penuh.

“Jika mereka ingin mengurangkan tempoh hukuman penjara Najib, ia mungkin dilihat sebagai campur tangan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Seorang pakar perlembagaan, Bastian Pius Vendargon, turut mengesahkan kenyataan sekutu Najib itu.

Tindakan untuk mengurangkan hukuman “bukanlah perkara yang perlu dipertimbang serta ditangani oleh Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan,” kata Vendargon kepada BenarNews.

Jika tidak, baginda sudah tentu memiliki kuasa budi bicara untuk membenarkan atau menolak permohonan bagi mendapatkan pengampunan diraja walaupun pada umumnya, baginda dinasihatkan oleh Lembaga Pengampunan.

Permohonan pengampunan Najib adalah ‘unik’

Vendargon juga yakin “cabaran” yang akan dibincang oleh Lembaga Pengampunan mempunyai kaitan dengan perbicaraan lima kes rasuah Najib yang sedang berlangsung dan bagaimana ia akan terjejas susulan keputusan bagi permohonan beliau untuk mendapatkan pengampunan diraja bagi kes yang menyaksikan beliau telah disabitkan serta dijatuhi hukuman.

"Situasi berkaitan permohonan pengampunan Najib adalah unik,” katanya.

"Unik dalam erti kata ini adalah kes pertama yang saya dapati seorang banduan memohon pengampunan diraja semasa masih berdepan kes mahkamah lain," kata Vendargon.

“Kes-kes di hadapan Lembaga Pengampunan yang biasa kita dengar ialah banduan tidak lagi mempunyai kes yang masih dibicarakan apabila mereka telah disabitkan. Najib pula masih mempunyai beberapa kes yang sedang dibicarakan dan beliau telah disabitkan dalam satu kes,” katanya.

Pengampunan biasanya diberikan untuk hukuman yang dijatuhkan dalam kes tertentu.

Bagi Najib, hukuman penjara 12 tahun adalah selepas beliau disabitkan dengan kesalahan salah guna kuasa dan beberapa pertuduhan lain yang dikaitkan dengan penyelewengan RM42 juta (AS$9.5 juta) milik anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, dana pelaburan negara yang bermasalah.

Najib telah dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB di mana sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah dicuri daripada dana itu. Ia juga skandal yang membawa kepada kejatuhan Najib semasa plihan raya umum yang bersejarah pada 2018.

Bekas PM berusia 70 tahun itu masih dibicarakan bagi 25 pertuduhan salah guna kuasa dan lebih lima kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM2.3 bilion (AS$551 juta) yang hilang daripada 1MDB.

MY-pic-2 (1).jpg

Pemimpin pembangkang Malaysia pada masa itu,  Anwar Ibrahim berucap dalam satu perhimpunan semasa kempen pilihan raya umum  di Kuala Lumpur, 16 Nov. 2022. [Mohd. Rasfan/AFP]

Jika Najib diberikan pengampunan diraja, beliau boleh kembali aktif dalam politik selepas dilarang berbuat demikian susulan sabitan terhadapnya.

Selain itu, pengampunan tersebut mampu memperkukuh hubungan yang sebelum ini dianggap mustahil di antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan parti Najib iaitu UMNO yang menyokong Kerajaan Perpaduan, kata penganalisis politik Azmil Hassan.

“Jika pengampunan diraja diberikan, ia dijangka mempunyai kesan ketara terhadap senario politik kerana dalam kalangan UMNO, Najib mempunyai pengaruh yang besar.”

Dan perkara sebaliknya juga mungkin berlaku.

Sekiranya Najib tidak diberikan pengampunan diraja, ia boleh “mewujudkan kekacauan serta kegelisahan dalam kalangan UMNO” dan pemimpin parti itu mungkin cuba mencari kambing hitam, kata Azmi.

“Dalam kes ini, ia mungkin Anwar yang juga anggota Lembaga Pengampunan [buat seketika tahun lepas],” katanya.

Anwar telah mengisi jawatan Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun lepas, yang merupakan anggota tetap Lembaga Pengampunan. Memandangkan jawatan itu kosong pada ketika itu, Anwar telah mewakili pihak pentadbiran negara dalam Lembaga Pengampunan.

Bagaimanapun, Anwar telah melantik Menteri Wilayah Persekutuan pada bulan lepas dan beliau tidak lagi berada dalam Lembaga Pengampunan.

Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap negeri mempunyai lembaga pengampunan sendiri yang terdiri daripada Peguam Negara, ketua menteri negeri tersebut, dan tidak lebih daripada tiga orang lagi ahli, yang dilantik oleh sultan atau ketua menteri.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.