Najib Umum Durian Runtuh Bagi Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan

Hata Wahari
2018.04.04
Putrajaya
180404-my-najib-payout-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menyampaikan ucapan di Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-16 di Putrajaya, 4 April 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan sembilan insentif bagi 1.6 juta penjawat awam dan 800,000 pesara kerajaan berjumlah kira-kira RM2 bilion [AS$516 juta] dalam satu majlis di Putrajaya pada Rabu,  menjelang Pilihan Raya Umum(PRU) ke-14.

PRU kali ini perlu diadakan sebelum Ogos seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, iaitu sebelum tempoh lima tahun berakhir, kecuali jika Parlimen dibubarkan lebih awal.

Najib membuat pengumuman mengenai insentif itu pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-16 (MAPA 16) di Putrajaya dengan berkata sejumlah besar peruntukan RM1.46 bilion [AS$377 juta] adalah untuk kenaikan satu tangga gaji bagi semua penjawat awam bermula 1 Julai depan.

Najib semasa mengumumkan kenaikan gaji itu menegaskan, beliau tidak ingin melihat mereka balik dengan tangan kosong.

“Saya tidak mahu lihat penjawat awam kembali dengan tangan kosong, dengan ini bagi pihak kerajaan saya mengumumkan pemberian kenaikan gaji satu tangga kepada semua penjawat awam yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.46 bilion berkuatkuasa 1 Julai tahun ini,” katanya.

April 2013 iaitu empat tahun selepas beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.

Najib dalam ucapannya pada Rabu juga memberi insentif kepada pesara yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM200 juta iaitu kenaikan kadar pencen sebanyak satu peratus bagi semua persara kerajaan juga bermula pada 1 Julai depan, dengan pembayaran pencen yang dibuat oleh kerajaan pada masa ini adalah kira-kira RM24 bilion setahun.

Beliau dengan seloroh juga berkata yang kenaikan pencen bagi persara itu akan turut  diterima oleh semua pesara termasuk ‘pesara berumur 93 tahun’.

Walaupun tidak menyebut nama pesara tersebut, Najib dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang merupakan pengkritik utama beliau yang kini adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH), pakatan pembangkang yang menjadi payung kepada empat parti pembangkang iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (PAN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

“Kerajaan juga bersetuju memberi geran khas iaitu masing-masing RM1 juta kepada Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia; Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Kelab Pesara Kerajaan 1Malaysia bagi menganjurkan aktiviti persatuan dan kelab,” tambah Perdaa Menteri itu lagi.

Bagi memastikan pesara kerajaan berpeluang menunaikan fardu haji, Najib berkata, kerajaan bersetuju menetapkan satu kuota khas kepada kumpulan berkenaan sejurus mendapat kuota yang diperuntukkan untuk Malaysia oleh Kerajaan Arab Saudi.

Pengumuman Najib dibuat berikutan desas-desus bahawa Parlimen akan dibubarkan beberapa hari lagi bagi membolehkan pilihan raya dilaksanakan pada awal Mei.

Kekal berkuasa

Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib mungkin menghadapi ujian pilihan raya yang paling mencabar pada PRU ke-14, dan beberapa perubahan telah dibuat termasuk isu  persempadanan semula peta kawasan pilihan raya yang dilihat pengritik memberi kelebihan kepada  BN.

Penganalisis politik dari Institut Pulau Pinang, Wong Chin Huat menjelaskan persempadanan semula yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal membantu BN untuk kekal berkuasa.

Chin Huat memberitahu, kawasan persempadanan semula oleh SPR itu menjadikan kawasan yang dikuasai oleh pembangkang mempunyai kepadatan penduduk dan pengundi yang besar manakala kawasan yang dikuasai oleh BN terutama di kawasan luar bandar dan majoriti Melayu mempunyai penduduk yang rendah,”katanya kepada BeritaBenar baru-baru ini.

Ujur beliau, kesannya adalah setiap ahli parlimen pembangkang memerlukan undi lebih besar jika ingin mengekalkan kemenangan pada PRU14.

Tambahnya, di Semenanjung Malaysia, terdapat 15 kerusi Parlimen yang mempunyai lebih 100,000 pengundi, satu jumlah yang amat besar, dimana 14 daripadanya dikuasai pembangkang .

Usaha persempadanan semula SPR itu tergendala lebih setahun selepas kajian itu dicabar di mahkamah oleh pihak pembangkang dan individu lain. Hampir 15 kes telah difailkan untuk menghalang SPR melaksanakan persempadanan semula itu tetapi semuanya ditolak.

Najib dijangka berdepan dengan cabaran sengit daripada pembangkang yang terajui oleh dua bekas pemimpin kerajaan, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang masih dipenjara.

Pembangkang hampir menumpaskan gabungan parti Barisan Nasional yang diterajui Najib dalam pilihan raya 2013, tetapi tidak berjaya. Sejak itu ia berjuang untuk menampilkan pakatan yang bersatu bagi mencabar perdana menteri dalam pilihan raya umum akan datang.

Dalam majlis yang sama, Najib turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memendekkan tempoh kenaikan pangkat berasaskan 'time based' kepada kakitangan kumpulan pelaksana daripada 13 tahun kepada 10 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2018 membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM34 juta dengan 13,006 pegawai terbabit.

Najib juga berkata, kerajaan akan mewujudkan lapisan kenaikan pangkat Gred 56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan khusus bagi pegawai yang berada lebih lima tahun di Gred 54.

Ini sekali gus memberi peluang kenaikan pangkat kepada 323 pegawai yang melibatkan RM7.4 juta, berkuatkuasa 1 Januari 2019, katanya.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju memanjangkan kemudahan perubatan bagi ibu bapa kepada pegawai lantikan kontrak yang melibatkan 42,867 pegawai, berkuatkuasa 1 Julai 2018.

Manakala itu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam, kesatuan sekerja yang memayungi semua penjawat-penjawat awam, mendapat peruntukan sebanyak RM3 juta setahun.

Bagi membolehkan penjawat awam bukan Islam untuk menunaikan aktiviti keagamaan masing-masing, Najib berkata, kerajaan bersetuju memanjangkan kemudahan cuti tanpa rekod selama tujuh hari maksimum untuk penjawat awam berkenaan sepanjang tempoh perkhidmatan, berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Sebelum ini, katanya, kemudahan cuti tanpa rekod untuk aktiviti berkaitan dengan keagamaan selama tujuh hari hanya diberikan kepada penjawat awam beragama Islam untuk tujuan menunaikan umrah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.