PM Malaysia Yakin Menang Pilihan Raya Walaupun Dibelenggui Dakwaan Rasuah
2018.05.04
Kuala Lumpur & Washington
Dengan beberapa hari lagi sebelum pilihan raya umum diadakan 9 Mei, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak menegaskan keyakinannya bahawa beliau mampu menghadapi satu lagi cabaran untuk kekal berkuasa, sambil menyangkal tuduhan pembangkang terhadapnya sebagai "tsunami fitnah."
Najib telah melalui banyak kontroversi selama sembilan tahun menjadi pemimpin utama Malaysia. Tetapi penganalisis dan pengundi meramalkan gabungan parti beliau bakal menghadapi ujian sukar dalam pengundian minggu depan, ketika beliau cuba untuk bertahan berikutan skandal rasuah melibatkan berjuta-juta dolar yang melanda 1MDB, sebuah dana pelaburan Malaysia yang ditubuhkan untuk memacu pembangunan ekonomi di negaranya.
"Baru-baru ini, saya menyebut bahawa kita menghadapi 'tsunami fitnah' pada pilihan raya umum... pembangkang tidak mempunyai apa-apa yang kukuh untuk dicakapkan dan sebaliknya memilih untuk menyebarkan kebencian dan pembohongan," lapor New Straits Times yang memetik Najib sebagai berkata ketika berkempen di negeri asalnya di Pahang pada Khamis.
Najib nampaknya tekad menangkis dakwaan besar pembangkang yang menjangka berlakunya "tsunami Melayu", yang merujuk kepada peralihan pengundi orang Melayu daripada gabungan parti Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia sejak kemerdekaan daripada Britain pada 1957.
Gabungan parti pembangkang, Pakatan Harapan, diketuai oleh Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang berusia 92 tahun dan mentor Najib, yang menjadi pengkritiknya yang paling lantang berhubung skandal 1MDB.
Najib, 64, anak bekas perdana menteri kedua Malaysia dan anak saudara kepada perdana menteri ketiga, mengukuhkan cengkaman politiknya berdasarkan kemahiran kewangannya sebagai seorang ahli ekonomi terlatih dari Britain.
Beliau mengagihkan peruntukan secara berkesan di kawasannya, dengan sebahagian besarnya diberikan kepada keluarga penduduk Melayu yang tidak mempunyai tanah dan mahu meraih sokongan pengundi menerusi pemberian wang tunai tahunan. Strategi politik ini, kata penganalisis, telah membolehkan Najib untuk membentuk sokongan dalaman di peringkat akar umbi, yang melahirkan penyokong dan pengundi kukuh di kalangan guru, anggota tentera dan para peneroka kepada parti pemerintah.
Dalam laman web peribadinya, najibrazak.com, yang menampilkan gambar-gambar dan tajuk-tajuk yang menarik, perdana menteri menyatakan bahawa "kami telah menunaikan" perkara yang melibatkan ekonomi, pendidikan, keselamatan awam dan penjagaan kesihatan, yang merujuk kepada beberapa janji kerajaannya pada kempen pilihan raya sebelumnya . Antara kejayaan itu adalah kerajaannya mewujudkan 2.26 juta pekerjaan, dakwa laman web Najib itu.
"Kita mesti menjadi kerajaan yang memberi keutamaan kepada prestasi, kerana rakyat mesti sentiasa didahulukan," menurut petikan Najib dalam dicatatkan dengan huruf tebal di laman webnya.
Namun, kerajaannya yang tewas undi popular pada pilihan raya umum lalu pada 2013, mungkin sekali lagi kalah dengan lebih banyak undi kepada pembangkang pada pilihan raya 9 Mei, menurut tinjauan baru-baru ini, walaupun Barisan Nasional dijangka mengekalkan majoriti di Parlimen.
Selain daripada dakwaan rasuah yang berkaitan dengan 1MDB, perdana menteri dikritik hebat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana dasar kerajaannya yang melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak 6 peratus yang bertujuan meningkatkan pendapatan fiskal.
Pada Khamis, Najib mempertahankan dasar kontroversi itu semasa beliau berkempen di Pahang.
"Kumpulan berpendapatan tinggi membayar lebih jika mereka berbelanja lebih. Apabila mereka membayar lebih banyak cukai, kita boleh mengagihkan (wang itu) kepada mereka yang memerlukan bantuan daripada kerajaan, "katanya pada perhimpunan kempen itu, lapor Channel News Asia. "Itulah sebabnya kita dapat menaikkan gaji penjawat awam tahun ini."
Keluarga politik
Anak sulung kepada perdana menteri kedua Malaysia, Abdul Razak Hussein, Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953, di Kuala Lipis, di negeri pantai timur, Pahang. Beliau adalah anak saudara kepada Hussein Onn, perdana menteri ketiga.
Najib memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi perindustrian daripada Nottingham University di England, universiti bagi melanjutkan pengajiannya selepas pendidikan menengahnya di Malvern Boys College di Worcestershire. Beliau seorang remaja ketika bapanya menjadi PM.
Selepas kembali ke Malaysia pada awal 1970-an, Najib bekerja sebagai pengurus perhubungan awam di firma minyak negara, Petronas. Pada 1976, pada usia 22 tahun, beliau menjadi calon pilihan raya termuda di Malaysia dengan bertanding kerusi Parlimen di Pahang, yang kekosongan selepas bapanya meninggal dunia.
Dari 1986 hingga 1999, Najib menyandang pelbagai jawatan kabinet termasuk sebagai menteri pertahanan dan menteri pendidikan, sebelum pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada 2004, di mana beliau memantau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), sebuah skim tanah pertanian untuk golongan miskin.
Ketika memantau FELDA, Najib memperkenalkan projek infrastruktur dan manfaat untuk lebih 110,000 keluarga Melayu yang tidak mempunyai tanah selain memberi mereka insentif dan pembayaran bonus.
Memperluaskan cengkamannya
Dalam temu bual pada 24 April dengan Bloomberg News - yang pertama dengan saluran media asing sejak beberapa tahun - Najib meramalkan bahawa beliau akan meneruskan pemerintahannya, ketika beliau membincangkan skandal penyelewengan 1MDB yang mencetuskan siasatan di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Switzerland, Amerika Syarikat dan Singapura.
"Anda tidak boleh menuduh seseorang sebagai pencuri atau sebagainya melainkan ada bukti," katanya. "Tidak ada salah laku, saya berpegang kepada ini. Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan kenyataan yang mengakui bahawa ia merupakan sumbangan rasmi. Fakta itulah hakikat tetapi ia berubah menjadi isu politik. "
Pada Ogos 2017, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia sedang melaksanakan tindakan jenayah terhadap mereka yang terlibat dalam salah guna dan penyelewengan dana 1MDB, entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.
DOJ cuba mendapatkan lebih daripada AS$1.7 bilion hartanah dan aset lain yang didakwa disalurkan melalui satu transaksi rumit 1MDB, yang ditubuhkan pada 2009 kononnya untuk mendapatkan projek-projek yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia melalui projek pembangunan.
Dokumen mahkamah yang bocor menunjukkan bahawa kira-kira AS $700 juta daripada dana yang dicuri itu mungkin telah diagihkan kepada syarikat dan agensi kerajaan yang mempunyai kaitan dengan 1MDB sebelum dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Najib, yang secara secara berterusan menafikan beliau melakukan sebarang salah laku.
Najib berkata deposit kira-kira AS $ 681 juta ke dalam akaun bank peribadinya, yang dibuat menjelang pilihan raya umum 2013, adalah sumbangan politik dari ahli keluarga diraja Saudi.
'Beri saya peluang'
Pada 2009, parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang dipimpin Najib, telah mengalami tempoh yang paling sukar dalam pemerintahan kerajaan apabila beliau menggantikan Abdullah Badawi, yang persaraannya dipercepatkan selepas kegagalan dalam pilihan raya.
Gabungan parti BN yang memerintah, yang diterajui UMNO, telah kehilangan majoriti besarnya pada 2008 dan melihat kerusi-kerusi Parlimen yang dikuasainya terus berkurangan pada pilihan raya 2013.
Akhbar-akhbar, yang memetik pendapat pilihan raya, melaporkan pada 2009 bahawa Najib lebih tidak popular daripada Abdullah yang digantikannya. Terdapat tuduhan pembangkang berhubung rasuah ketika itu, termasuk ketika Najib masih menjadi menteri pertahanan.
Tetapi, walaupun dakwaan dilemparkan terhadap pemimpinnya, Malaysia, sebuah negara pelbagai kaum yang mempunyai lebih 30 juta penduduk, berkembang maju di bawah kepimpinan Najib, dengan meningkatkan kedudukannya sebagai satu daripada ekonomi Asia yang paling cergas yang mencatatkan kadar pertumbuhan antara 5.2 dan 5.7 peratus pada tahun lepas dan melonjak daripada kadar 4.2 peratus pada 2016.
Harga minyak lebih tinggi juga mendorong pertumbuhan ekonomi dan pendapatan tahun lepas, membolehkan Najib mencadangkan perbelanjaan yang lebih besar termasuk jutaan dolar untuk kenaikan gaji penjawat awam dan pesara, menurut ahli ekonomi.
Sementara itu, Najib yang tegar dengan politik biru, terus menjanjikan reformasi besar-besaran.
"Berilah saya peluang, nilai saya berdasarkan tindakan saya. Jangan menilai saya berdasarkan khabar angin dan tuduhan tidak berasas, "katanya semasa perhimpunan agung parti pada 2013 di mana beliau dipilih tanpa bertanding sebagai presiden. "Saya akan melakukan reformasi dan saya akan membuat perubahan."