PM Najib Lancar Portal Rasmi Barisan Nasional Hadapi Pilihan Raya Ke-14

Hareez Lee
2018.01.03
Kuala Lumpur
180103-my-najib-bn620.jpg Penyokong gabungan parti Barisan Nasional menunjukan sepanduk semasa pelancaran manifesto pilihan raya Perdana Menteri Najib Razak di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 6 April 2013.
AFP

Perdana Menteri Najib Razak yang dijangka pada bila-bila masa akan mengumumkan tarikh pilihan raya umum ke-14 [PRU14], pada Rabu telah melancarkan portal rasmi Barisan Nasional (BN), dalam usaha terbaru gabungan itu untuk memenangi pilihanraya ke-14.

Portal yang dinamakan 'theRakyat' mula beroperasi pada malam Rabu dan ia boleh dilayari di http://therakyat.com. Portal itu menampilkan tujuh segmen utama termasuk sesi temuramah bersama pimpinan tertinggi gabungan 13 parti itu yang telah memegang tampuk pemerintahan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

'theRakyat' merupakan portal rasmi BN dalam saingan sengit PRU14 untuk menentang pihak pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Najib, yang juga pengerusi BN, menyifatkan penubuhan portal itu sebagai usaha BN untuk mengikuti arus terkini dalam usahanya untuk menangkis serangan parti pembangkang melalui media sosial.

"Media sosial adalah wadah utama untuk rakyat menerima maklumat dan membuat penentuan bila tiba masanya,” katanya dalam ucapan perasmian theRakyat.com, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.

Portal itu juga bakal memaparkan butiran calon dan manifesto pilihan raya parti tersebut yang bakal diumumkan menjelang pilihanraya itu yang dijangka sengit itu nanti.

Selain memaparkan temubual bersama personaliti BN, infografik, analisis dan maklumat pilihan raya lain serta artikel di laman sesawang itu akan disediakan dalam enam bahasa iaitu: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Iban dan Bahasa Kadazan-Dusun.

Pelancaran portal itu dibuat kali kedua selepas pelancaran pertamanya pada Mac lalu dengan menggunakan nama e-rakyat. Pada 29 Mac lalu, Najib telah melancarkan portal e-Rakyat yang merupakan buletin dalam talian yang menjadi platform penerangan isu semasa, dasar-dasar serta projek pembangunan parti BN kepada rakyat Malaysia.

Parti pembangkang hampir menewaskan gabungan parti Barisan Nasional (BN) pimpinan Najib dalam pilihan raya 2013, tetapi mereka menghadapi kesukaran untuk meletakkan calon yang boleh mencabar perdana menteri itu.

Laporan media tempatan menyatakan Najib, 64, dijangka menentukan tarikh bagi PRU14 seawal pertengahan Februari.

Najib menghadapi potensi pertarungan pilihan raya dengan perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, Mahathir Mohamad, yang kini bergabung dengan musuh lamanya, Anwar Ibrahim, untuk mengetuai pakatan baru pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

Mahathir, 92, yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1991 hingga 2003, melabelkan Najib yang suatu masa dahulu adalah protégé beliau sebagai korup.

Sementara itu, Anwar yang berusia 70 tahun, sedang menjalani hukuman penjara bagi sabitan liwat. Tetapi, menurut peguamnya, Anwar dijadual dibebaskan pada Jun - satu lagi sebab mengapa Najib dijangka mengadakan pilihan raya umum dengan lebih awal, dan enggan memberi masa yang cukup buat bekas timbalan perdana menteri itu untuk menyatukan pembangkang menjelang pilihan raya.

Berita palsu


Menurut Najib, pengunjung portal tersebut boleh memberikan maklum balas dan pandangan melalui 'theRakyat' dan ini bakal menentukan kemenangan BN pada pilihanraya akan datang selepas parti tersebut menjadi “mangsa sebaran berita palsu” ketika pilihanraya sebelum ini.

"Kita tahu dalam PRU13 lalu kita pernah menjadi mangsa sebaran berita palsu. Walau istilah berita palsu tidak popular waktu itu, tapi ia telah dijadikan senjata pembangkang dan sedikit sebanyak memberi kesan," kata Najib lagi.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) itu turut memberikan beberapa contoh berita palsu terhadap BN ketika PRU 13, termasuk tuduhan bahawa BN menggunakan warga Bangladesh sebagai pengundi hantu, dan Najib berkata bahawa pihak pembangkang dijangka melancarkan taktik yang sama pada pilihanraya akan datang.

Menurut kenyataan media theRakyat, portal itu akan menjadi suara dan pemangkin aspirasi BN untuk mengekalkan kedudukannya sebagai parti yang memerintah negara.

“theRakyat.com menampilkan beberapa segmen bersifat interaktif, bermaklumat dan sesuai untuk pelbagai peringkat usia,” kata kenyataan itu lagi.

Selepas majlis pelancaran portal berkenaan, Najib telah mempengerusi Mesyuarat Dewan Tertinggi BN.

Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika dihubungi, secara sinis mengkritik pelancaran portal BN tersebut.

“Selamat maju jaya kepada BN sempena pelancaran portalnya,” katanya ringkas kepada BeritaBenar.

Antara wawancara yang telah disiarkan dalam portal tersebut pada Rabu adalah program temu bual, ‘Bicara 4 Mata’ dimana Najib ditemubual oleh hos terkemuka Aznil Nawawi.

Najib telah diselubungi oleh dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan skandal berbilion dolar dana pelaburan negara yang diasaskannya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib secara konsisten menafikan beliau mengambil wang daripada 1MDB. Beliau terbabit dalam skandal itu setelah hampir AS$700 juta wang yang dikaitkan dengan 1MDB didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013, tetapi beliau berkata wang itu disumbangkan oleh keluarga Diraja Arab Saudi dan tidak digunakan untuk kepentingan peribadinya.

Tahun ini, penyiasat persekutuan di Amerika Syarikat memperluaskan tuntutan undang-undang terhadap ahli-ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Najib, dengan mendakwa mereka terlibat dalam mencuri dan mengubah AS$4.5 bilion daripada dana itu. Dokumen mahkamah Amerika Syarikat berulang kali merujuk Najib sebagai "Pegawai Malaysia 1."

Skandal 1MDB itu menyelubungi Najib sejak Julai 2015 hingga membawa kepada gesaan supaya beliau meletakkan jawatannya, tetapi isu itu tidak timbul semasa pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Washington pada September, menurut White House.

Hata Wahari turut membantu di dalam laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.