PRU: Najib Razak Akur Kekalahan Besar Gabungan Parti Pemerintah

Nani Yusof & Arief Rahmat
2018.05.10
Washington & Kuala Lumpur
najib1000.jpeg Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak melambai selepas mengadakan sidang berita di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, 10 Mei 2018.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Najib Razak menerima kejatuhan yang dialami gabungan partinya pada Khamis, dengan melepaskan jawatan perdana menteri “politik bïru” dan akur dengan kekalahan itu sambil berjanji untuk menerima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Malaysia.

Najib, yang bijak menangani satu demi satu kontroversi sepanjang memegang tampuk kuasa, memberikan kenyataannya itu ketika  rakyat Malaysia masih terkejut dengan kejayaan pakatan pembangkang menumbangkan gabungan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang diadakan pada 9 Mei.

"Saya menerima, rakan-rakan saya menerima, keputusan rakyat," katanya, dalam kenyataannya itu.

Namun, ayat berikutnya nyata menjengkelkan Mahathir Mohamad, yang mengetuai pakatan parti pembangkang, Pakatan Harapan, untuk mencipta kemenangan besar itu.

"Oleh kerana tiada parti yang memperoleh keputusan majoriti mudah, Yang di-Pertuan Agong akan menentukan siapa yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri," kata Najib, yang turut menuduh saingannya mengeluarkan kenyataan-kenyataan hasutan.

Mahathir, 92, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di Istana Negara di Kuala Lumpur pada  Khamis, yang menjadikannya  sebagai pemimpin  tertua di dunia.

Kenyataan Najib itu, walaupun mengalami kekalahan yang memalukan dalam pilihan raya umum, telah menyerlahkan langkah-langkahnya yang tidak popular ketika memimpin negara majoriti Muslim itu.

Dinasti politik


Najib, 64, anak bekas perdana menteri kedua Malaysia dan anak saudara kepada perdana menteri ketiga, mengukuhkan cengkaman politiknya berdasarkan kemahiran kewangannya sebagai seorang ahli ekonomi terlatih dari Britain.

Beliau mengagihkan peruntukan di kawasan pilihan rayanya, dengan sebahagian besarnya diberikan kepada keluarga penduduk Melayu yang tidak mempunyai tanah dan mahu meraih sokongan pengundi menerusi pemberian wang tunai tahunan.

Strategi politik ini, kata penganalisis, telah membolehkan Najib untuk membentuk sokongan dalaman di peringkat akar umbi, yang melahirkan penyokong dan pengundi kukuh di kalangan guru, anggota tentera dan para peneroka.

Tetapi BN, gabungan parti-parti politik yang menang setiap pilihan raya sejak Malaysia memperoleh kemerdekaan daripada Britain pada 61 tahun yang lalu, tidak mendapat manfaat daripada keputusan politik Najib, kata penganalisis.

"Najib adalah liabiliti. Narsisisme beliau menyebabkan mereka kalah dalam pilihan raya, "kata Bridget Welsh, seorang pakar tentang politik Malaysia di Universiti John Cabot, kepada CNN. "Beliau menggunakan politik perkauman dan wang, seperti yang dilakukannya pada 2013, tetapi ia tidak menerima tarikan yang sama."

Belum dapat dipastikan lagi bagaimana tuduhan rasuah yang berkaitan dengan dana negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memberi kesan dan mempengaruhi para pengundi Malaysia.

Tetapi pilihan raya yang membawa kepada kekalahan besar BN telah dicetuskan oleh 1MDB.

Keputusan Mahathir untuk menjalinkan pakatan pilihan raya strategik dengan musuh lamanya, termasuk Anwar Ibrahim - bekas sekutu yang menjadi seterusnya dan kemudian menjadi sekutunya lagi - mencerminkan ketidakpercayaannya terhadap Najib setelah berlakunya pembongkaran skandal 1MDB.

Pada  Ogos 2017, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia sedang melaksanakan tindakan jenayah terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan dana dari 1MDB, entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

DOJ cuba mendapatkan lebih daripada $1.7 bilion hartanah dan aset lain yang didakwa disalurkan melalui satu siri transaksi yang rumit daripada 1MDB, yang ditubuhkan pada 2009 kononnya untuk mendapatkan projek yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia melalui projek-projek pembangunan.

Selain itu, Najib berkata, deposit kira-kira AS$ 681 juta ke dalam akaun bank peribadinya menjelang pilihan raya umum 2013 adalah derma politik daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Dalam temu bualnya pada 24 April dengan Bloomberg News - yang pertama dengan saluran media asing sejak beberapa tahun - Najib meramalkan bahawa beliau akan meneruskan pemerintahannya, dengan beliau turut membincangkan skandal penyelewengan 1MDB yang mencetuskan siasatan di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Switzerland, Amerika Syarikat dan Singapura.

"Anda tidak boleh menuduh seseorang sebagai pencuri atau sebagainya melainkan ada bukti," katanya. "Tidak ada salah laku, saya berpegang kepada ini.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.