Najib Diminta Jumpa Agensi Pencegahan Rasuah Minggu Depan

Hadi Azmi
2018.05.18
Kuala Lumpur, Malaysia
180518-MY-najib-620.jpg Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (kiri) menunaikan solat Jumaat bersama-sama bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kuala Lumpur, 18 Mei 2018.
[AP]

Bekas Perdana Menteri Najib Razak diminta hadir di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa ini bagi diambil keterangannya susulan pihak penyiasat membuka semula siasatan mengenai bagaimana hampir AS$700 juta wang dana negara 1MDB berada di dalam akaun banknya pada 2013, demikian disahkan sumber agensi berkenaan pada Jumaat.

Sumber berkata, Najib akan menemui para penyiasat itu pada pagi Selasa di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

"Setakat ini, hanya beliau yang dipanggil untuk disoal siasat," kata sumber itu, yang enggan namanya disiarkan dan tidak dibenarkan bercakap dengan media, kepada BeritaBenar.

Pada tahun 2015, SPRM melancarkan siasatan terhadap SRC International, anak syarikat dana pelaburan negara yang sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berikutan penemuan beratus-ratus juta dolar yang dikaitkan dengan 1MDB di dalam dua akaun bank peribadi Najib. Beliau mendakwa wang itu adalah sumbangan daripada seorang kerabat diraja Arab Saudi.

Siasatan itu dihentikan pada 31 Dis 2015 kerana Peguam Negara ketika itu Apandi Ali  mengumumkan bahawa jabatannya mendapati Najib tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah.

Polis telah menggeledah kediaman dan pejabat yang pernah digunakan Najib sejak malam Rabu selepas mengemukakan waran bagi melakukan tindakan itu. Pada awal pagi Jumaat, penyiasat melaporkan bahawa mereka merampas 284 beg tangan berjenama mewah dan 72 bagasi yang mengandungi wang tunai, barang kemas dan barangan mewah lain dari unit pangsapuri di kawasan Kuala Lumpur.

Serbuan di bangunan kondominium, Pavilion Residences, merupakan satu daripada enam serbuan serentak yang dilakukan polis dengan pihak berkuasa itu menyatakan ia berkaitan dengan siasatan 1MDB. Polis berkata, mereka menggeledah empat kediaman  yang dikaitkan dengan Najib, serta pejabat Perdana Menteri dan kediaman rasmi Perdana Menteri yang pernah digunakan dan diduduki beliau.

Pada 9 Mei, gabungan parti Barisan Nasional pimpinan Najib kalah dalam pilihan raya umum, dan beliau digantikan oleh Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri pada keesokannya.

Peguam Najib, Harpal Singh Grewal, mengakui bahawa beliau ada mendengar mengenai notis yang meminta Najib hadir ke pejabat SPRM tetapi beliau enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak berada di sana apabila dokumen itu diserahkan, oleh itu,  saya tidak boleh bercakap apa-apa mengenainya," kata Grewal kepada BeritaBenar sambil memberitahu pemberita itu supaya menghubungi SPRM kerana "mereka lebih tahu."

Pada Isnin, Dzulkifli Ahmad, ketua pesuruhjaya SPRM yang dilantik oleh Najib, meletakkan jawatan yang disandangnya sejak 1 Ogos 2016.

Dzulkifli menggantikan Abu Kassim Mohamed yang ditukarkan ke jawatan lebih rendah di sebuah universiti tempatan. Abdul Razak Idris, bekas ketua perisikan dan penyiasatan SPRM, memberitahu BeritaBenar bahawa pemindahan Abu Kassim adalah hukuman kerana melakukan siasatan terhadap 1MDB.

Pada Isnin juga, Abdul Razak telah ke pejabat SPRM Kuala Lumpur untuk membuat laporan terhadap Najib atas pertuduhan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Di mana Jho Low

Dalam perkembangan lain yang berkaitan dengan 1MDB, bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin berkata pada Jumaat bahawa beliau tahu "di mana Jho Low berada", yang merujuk kepada Low Taek Jho, seorang penasihat 1MDB dan rakan rapat  Najib, yang digambarkan sebagai dalang di belakang skandal kewangan tersebut.

Daim menganggap Jho Low, yang menafikan sebarang peranan dalam 1MDB, sebagai saksi terbaik dalam skandal itu dan menggesa ahli perniagaan berusia 36 tahun itu supaya kembali ke Malaysia untuk memberi keterangan.

"Saya berharap, memandangkan beliau mendakwa dirinya tidak bersalah, beliau akan kembali dan membantu kami," kata Daim.

Beliau juga menyeru pihak berkuasa supaya menyiasat kes itu sebagai langkah mematuhi undang-undang negara, terutamanya berhubung dengan hak individu sebagai orang yang berkepentingan.

"Orang mesti dilayan dengan bermaruah. Tidak kira siapa pun, perlu ada layanan yang sama rata untuk semua orang, "kata Daim.

Sambil mengingatkan para penyiasat bahawa Najib adalah bekas perdana menteri, Daim meminta polis untuk "menunjukkan rasa hormat yang sewajarnya kepada beliau.

"Tiada siapa yang menghalang polis daripada menjalankan siasatan, tetapi bukanlah pada pukul 3 pagi," katanya.

Polis menggeledah pelbagai hartanah yang dikaitkan dengan Najib dan pejabat lamanya sebagai perdana menteri pada malam Rabu dan berterusan ke Jumaat.

Pada Khamis, selepas penyiasat berada di kediaman peribadi bekas perdana menteri itu selama berjam-jam lamanya dan penggerudian terpaksa dilakukan bagi membuka peti besi yang terletak di tingkat satu, peguamnya merungut dengan  berkata bahawa polis telah mengganggu Najib dan keluarganya.

"Keluarganya sangat tertekan dan penat dengan bunyi bising yang perlu mereka hadapi untuk semuanya," kata Gerwal kepada BeritaBenar.

Mahathir memberi reaksi balas dengan menyatakan bahawa penggeledahan itu dilakukan mengikut budi bicara Polis Diraja Malaysia.

Semasa kempen pilihan raya umum itu, Mahathir, 92,  berjanji untuk mendapatkan semula berbilion-bilion dolar yang didakwa dicuri daripada 1MDB dan membawa mana-mana pegawai yang terlibat dalam skandal itu ke muka pengadilan.

Selain itu, Jabatan Kehakiman A.S. berusaha untuk mendapatkan lebih daripada $1.7 bilion dalam bentuk hartanah dan aset lain yang didakwa disalurkan melalui transaksi yang rumit dari 1MDB. Najib menubuhkan dana pelaburan negara itu pada 2009 bagi mendapatkan projek-projek yang akan memberi manfaat kepada rakyat menerusi projek pembangunan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.