Najib Razak Buat Laporan SPRM Terhadap Bekas Pegawai Tinggi Goldman Sachs
2021.10.27
Kuala Lumpur
Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Rabu memberitahu yang beliau telah membuat laporan kepada agensi anti-rasuah negara itu terhadap seorang bekas pengurus institusi kewangan antarabangsa Goldman Sachs yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara penuh kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), satu langkah yang dilihat sebagai cubaan terakhir ahli politik itu untuk membersihkan nama beliau supaya dapat bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Najib, yang kini berhadapan dengan beberapa perbicaraan jenayah berkaitan 1MDB, percaya bahawa dirinya akan didapati tidak bersalah jika kerajaan Malaysia berjaya mendapatkan satu senarai nama pegawai kerajaan serta pegawai syarikat dana pelaburan itu yang didedahkan oleh ahli perbankan Tim Leissner ketika beliau mengaku bersalah di Amerika Syarikat terhadap perbuatan rasuah.
Bercakap kepada media ketika ditemui di Ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pagi Rabu, Najib berkata bahawa beliau membuat keputusan untuk membuat laporan terhadap Leissner selepas beberapa usaha untuk mendapatkan senarai nama tersebut melalui sistem perundangan di AS telah menemui kegagalan.
"Saya telah dinasihat dan terpanggil untuk membuat laporan SPRM hari ini terhadap Tim Leissner supaya pihak berkuasa Malaysia boleh menyoal, membawa balik beliau atau meminta senarai nama dari Jabatan Kehakiman AS (DOJ) agar nama-nama ini didedahkan secara umum dan tindakan yang sewajarnya boleh diambil," kata bekas perdana menteri itu.
Pada Oktober 2018, kerajaan AS telah membuat pertuduhan terhadap Leissner dan seorang lagi pegawai bank Goldman Sachs, Ng Chong Hwa (juga dikenali sebagai Roger Ng), dengan mendakwa menyembunyikan kerjasama mereka dengan pembiaya kewangan yang kini dalam buruan Low Taek Jho daripada majikan.
Berdasarkan maklumat dikeluarkan oleh DOJ, Leissner telah mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram serta konspirasi untuk melanggar undang-undang negara berkenaan mengenai amalan korup di luar negara dengan membayar rasuah kepada beberapa pegawai Malaysia dan Abu Dhabi. Leissner telah diarahkan mahkamah AS untuk menyerahkan AS$43.7 juta sebagai denda terhadap kesalahannya.
Menurut Najib, peguamnya telah berjaya memenangi kes di AS bagi mendapatkan senarai nama pegawai yang dirasuah Leissner, namun telah dibantah dan dihalang oleh kerajaan AS melalui DOJ. Najib juga mendakwa bahawa pasukan peguamnya di Malaysia juga telah meminta supaya mahkamah serta pihak pendakwaan mendedahkan senarai nama tersebut, tetapi tidak berjaya.
Kata beliau, senarai itu boleh membersihkan namanya daripada terlibat dalam skandal penipuan 1MDB, seperti disebut seorang peguam yang mewakili Roger Ng bahawa senarai tersebut adalah bukti "exculpatory" yang boleh membersihkan namanya.
"Saya amat pelik kenapa kerajaan Malaysia dan pihak pendakwaan seolah-olah tidak ingin mengetahui dan mengambil tindakan terhadap nama-nama pegawai 1MDB dan kerajaan yang telah disogok Tim Leissner sehingga Goldman Sachs terpaksa membayar penalti serta gantirugi sehingga RM16.4 bilion kepada kerajaan Malaysia," kata Najib.
Susulan laporan dibuat Najib, SPRM telah mengeluarkan satu kenyataan media pada Rabu mengesahkan penerimaan laporan itu, dan menyatakan bahawa mereka akan mengkajinya sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.
"SPRM akan mengkaji dan meneliti terlebih dahulu aduan tersebut meliputi semua aspek sebelum sebarang tindakan lanjut dijalankan," kata suruhanjaya itu.
Saman bekas peguam negara, penerbit buku
Pada hari yang sama, Najib yang merupakan Anggota Parlimen Pekan turut memfailkan satu lagi saman sivil terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas berkaitan dengan satu artikel dalam buku memoir ditulis Thomas, di mana peguam itu mengaitkan nama Najib dengan pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006. Turut dinamakan dalam saman tuntutan itu adalah syarikat yang bertanggungjawab menerbitkan buku tersebut.
Tindakan itu dibuat hanya beberapa hari selepas Najib memfailkan saman terhadap Thomas dan kerajaan Malaysia kerana didakwa telah mengabaikan proses perundangan serta cuai dalam mengenakan pendakwaan terhadap dirinya berkait dengan 1MDB.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat BenarNews, Najib mendakwa bahawa petikan dalam Bab 42 buku Thomas bertajuk 'My Story: Justice in the Wilderness' itu adalah berniat jahat (malice) dan memfitnah (defamatory) terhadapnya.
Dalam petikan itu, Thomas mendakwa terdapat keterangan oleh dua orang bekas polis yang telah didapati bersalah atas tuduhan membunuh Altantuya bahawa arahan bunuh itu datang dari Najib, dan beliau percaya bahawa keterangan mereka itu adalah benar.
"Walaupun begitu serius dakwaan dibuat oleh Defendan (Thomas dan penerbit buku), mereka telah menerbitkan petikan tersebut tanpa membuat sebarang usaha untuk mengesahkan fakta dengan Plaintif (Najib), atau memberikan sebarang peluang kepada Plaintif untuk memberikan komen terhadap cadangan untuk menerbitkannya," kata dokumen saman Najib.
Peguam Shafee Abdullah yang mewakili Najib mengesahkan kepada wartawan bahawa beliau telah memfailkan tuntutan saman itu di mahkamah pada Rabu.
Bekas perdana menteri itu menuntut supaya Thomas dan syarikat GB GerakBudaya Enterprise Sdn Bhd membayar gantirugi kecederaan, gantirugi am serta gantirugi teruk dan teladan, serta mahkamah mengarahkan supaya petikan tersebut dikeluarkan daripada buku ditulis Thomas itu.
Beliau juga menuntut supaya mahkamah memberikan injunksi kekal yang menghalang Thomas dan GerakBudaya daripada mengulangi kenyataan serupa terhadap Najib dalam apa bentuk sekalipun, serta permohonan maaf daripada mereka untuk diterbitkan dalam tiga akhbar utama selama tiga hari berturut-turut.
Bersih nama untuk bertanding
Sementara itu, beberapa penganalisis politik percaya bahawa tindakan-tindakan yang diambil Najib dalam melawan isu skandal 1MDB yang dikaitkan dengan dirinya adalah satu usaha untuk membersihkan nama bagi membolehkan beliau terus aktif dalam politik, serta kemungkinan dapat bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Menurut pakar geostrategi Azmi Hassan, terdapat kemungkinan bekas perdana menteri itu membuat penampilan lagi dalam pilihan raya akan datang, terutama sekali disebabkan popularitinya yang semakin meningkat ketika ini.
"Sama ada beliau hendak bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pekan, kita tidak tahu. Tapi hakikatnya sampai sekarang, Najib menggunakan proses perundangan dalam membersihkan nama beliau.
“Apakah tujuan selepas itu kita tidak tahu, adakah beliau akan kembali aktif dalam politik, dan kalau kita lihat ketika ini, kita ambil contoh di Melaka sahaja, kalau kita lihat beliau adalah dikatakan sebagai daya tarikan bukan sahaja kepada ahli UMNO tetapi juga mereka yang di luar UMNO.
"Populariti Najib adalah begitu tinggi sekali pada ketika ini, mengalahkan pemimpin UMNO yang lain atau pemimpin tertinggi parti politik yang lain. Jadi kemungkinan 'comeback' itu memang ada kerana begitu jelas sebahagian rakyat mahukan Najib kembali aktif dalam politik seperti sebelum ini," kata Azmi kepada BenarNews.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa di Singapura berkata beliau percaya bahawa Najib menunjukkan imej berani untuk mendapatkan kelebihan politik, dengan jangkaan untuk membuat kemunculan semula.
"Pertama sekali, tindakan saman pada masa kini bukan sahaja dibicarakan di mahkamah undang-undang, tetapi juga diadili oleh pandangan orang ramai. Ia sama penting untuk seseorang secara proaktif mewujudkan tanggapan bahawa dirinya tidak bersalah di mata masyarakat, di samping berlawan di mahkamah. Ini dibuat supaya individu itu mendapat kelebihan.
"Selain itu, ia juga penting untuk seseorang menunjukkan imej berani bagi mendapatkan markah politik apabila mereka menjangka untuk membuat kemunculan semula dalam politik," kata Oh kepada BenarNews.
Tambah beliau, kehendak orang ramai yang dijana dengan cermat supaya meminta Najib dilepaskan juga mampu mendapatkan pengampunan untuk beliau.
Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.