Malaysia nafi Najib dapat manfaat selepas cadangkan RUU tahanan rumah
2024.10.25
Kuala Lumpur
Malaysia pada Jumaat menafikan tuduhan yang Putrajaya sedang cuba memastikan pembebasan awal bekas Pedana Menteri Najib Razak yang dipenjarakan melalui pengenalan Rang Undang-Undang (RUU) yang membenarkan tahanan rumah, sebaliknya berkata ia bertujuan untuk mengurangkan kesesakan penjara dan keadilan hukuman.
Najib pada Khamis membuat permohonan maaf secara terbuka buat kali pertama berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tetapi tidak mengaku bahawa beliau menjadi dalang kecurian dana syarikat pelaburan negara itu.
Permohonan maaf itu dibuat hampir seminggu selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan penggubalan satu akta baharu berkaitan tahanan rumah dalam Belanjawan 2025.
Pada sidang media pasca Kabinet, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil ditanya sama ada rang undang-undang itu, yang akan dibentangkan di parlimen tahun depan, adalah untuk membolehkan Najib menjalani baki tempoh penjaranya dari rumah beliau.
“Itu tidak betul. … Ia mencerminkan peralihan dalam pendekatan kerajaan daripada menghukum kepada keadilan pemulihan, bertujuan untuk menyepadukan semula individu yang didapati bersalah kembali ke dalam masyarakat,” kata Fahmi kepada pemberita.
"Matlamat kerajaan termasuk menangani kesesakan penjara... [Penjara kami] direka untuk 74,000 banduan, tetapi tahun lepas, kami mempunyai 87,000."
Pada Jumaat lalu, teks Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Anwar menyelitkan satu baris ayat berkenaan cadangan kerajaan untuk menggubal rang undang-undang baharu membenarkan penahanan rumah.
Bagaimanapun, ketika pembentangan itu, Anwar tidak menyebut tentang perkara tersebut sebagaimana tertera dalam teks belanjawan yang telah diedarkan di Parlimen.
Sementara itu, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor pada Isnin lalu menyatakan butiran dalam dokumen Belanjawan 2025 yang tidak disebut oleh Anwar turut dimasukkan ke dalam handsard dan boleh dibahaskan oleh Ahli Parlimen.
“Kami tidak dapat membaca niat di sebalik rang undang-undang yang dicadangkan itu tetapi pada masa sama, kami juga tidak boleh menolak bahawa ini mungkin dirangka sebagai penyelesaian bertahap untuk Najib,” kata penganalisis politik Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kepada BenarNews.
“Waktu untuk mewujudkan rang undang-undang itu menimbulkan spekulasi bahawa salah satu sebabnya adalah untuk membantu memastikan pembebasan Najib,” katanya.
Agenda lain
Dalam pada itu, bekas diplomat, Dennis Ignatius berkata cadangan itu hanya akan "membunuh" Najib yang kini sedang menjalani hukuman atas sabitan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram hampir AS$10 juta daripada SRC International, anak syarikat 1MDB.
“Cadangan itu kelihatan munasabah dan mungkin diperlukan, tetapi cara ia dilakukan iaitu memasukkan beberapa baris ayat tentang tahanan rumah dalam ucapan belanjawan tetapi tidak menyebutnya di dalam Dewan Rakyat, menunjukkan bahawa beberapa agenda lain sedang dimainkan,” tulis Ignatius di blognya pada Isnin.
“Ia berbau oportunisme politik, percubaan terang-terangan untuk menenangkan [penyokong Najib].”
Namun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Ahad berkata langkah yang dicadangkan itu akan terpakai kepada kira-kira 20,000 pesalah kali pertama yang disabitkan dengan jenayah kecil, bertujuan untuk mengurangkan kesesakan di 43 penjara di Malaysia.
Agensi berita nasional Bernama melaporkan bahawa kertas cadangan rang undang-undang itu, yang telah diluluskan oleh Kabinet dan dijadual dibentangkan di Parlimen pada tahun depan memandangkan ia kini sedang digubal oleh Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Penjara.
Penahanan rumah adalah konsep asing di Malaysia yang tiada dalam peruntukan undang-undang, berbeza dengan Amerika Syarikat (AS) dan Australia, kata seorang pakar undang-undang.
“Tahanan rumah mengehadkan individu di rumah bagi menjalani hukuman atau menghabiskan baki tempoh hukuman penjara,” kata bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Salim Bashir kepada BenarNews.
“Walaupun Seksyen 43 Akta Penjara 1952 membenarkan banduan tertentu bekerja dan tinggal di luar penjara dengan kelulusan, ia tidak sama dengan tahanan rumah.”
Anak sulung Najib, Mohamad Nizar membacakan kenyataan bapanya di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 24 Oktober 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]
Najib mohon maaf
Dalam kes Najib, bekas Perdana Menteri itu memohon perintah mahkamah untuk menguatkuasakan dokumen yang didakwanya ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, membenarkannya menjalani hukuman di bawah perintah tahanan rumah.
Meskipun disabitkan atas kesalahannya kerana menggelapkan berjuta-juta dana 1MDB yang dikekalkan oleh mahkamah pada Julai 2022, Najib berhujah Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah meluluskan perintah itu selepas mengeluarkan titah yang mengurangkan separuh hukuman asalnya selama 12 tahun.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada Julai menolak rayuannya supaya kerajaan mengemukakan dokumen 'titah tambahan' tersebut kerana permohonannya tidak dibuktikan dan berdasarkan khabar angin.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Selasa lalu menetapkan 5 Disember bagi mendengar rayuan Najib berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan titah tambahan itu.
Sementara itu, Najib dalam kenyataan tiga muka surat yang dibacakan oleh anak sulungnya Mohamad Nizar di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis berkata, beliau “sangat terluka” dan “terkejut yang mendalam” bahawa skandal 1MDB berlaku semasa beliau berkuasa.
“Saya berasa amat terluka setiap hari apabila mengetahui bahawa skandal 1MDB berlaku di bawah pengawasan saya sebagai menteri kewangan dan perdana menteri,” katanya.
“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.”
Mahkamah ditetapkan pada 30 Oktober sama ada Najib mesti membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan tambahan yang dikaitkan dengan 1MDB termasuk empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, melibatkan 2.3 bilion ringgit (AS $528.7 juta) dalam 1MDB dana.
Ketika ditanya pemberita mengenai permohonan maaf itu Jumaat, Anwar hanya menjawab, “Saya menerimanya dengan baik.”
Tolakan dalaman
Najib, seorang pemimpin kanan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) menjadi bekas atau perdana menteri Malaysia pertama yang dipenjarakan.
Pemenjaraan Najib telah meningkatkan desakan dalam UMNO untuk membebaskan beliau, satu sentimen yang amat ketara semasa perhimpunan agung parti itu pada Ogos, di mana ramai ahli berhimpun untuk kebebasannya.
Sejak UMNO memutuskan untuk menyokong seteru lamanya Anwar Ibrahim pada November 2022 bagi menamatkan kebuntuan Parlimen tergantung, prospek pembebasan Najib telah menjadi topik pertikaian dalam politik Malaysia.
Penganalisis berkata cadangan undang-undang tahanan rumah Anwar boleh menjadi satu langkah kompromi untuk menenangkan UMNO tanpa membebaskan Najib sepenuhnya daripada hukuman.
“Anwar berada dalam keadaan sukar untuk mengimbangi antara komitmen terhadap reformasi yang diperjuangkan oleh penyokongnya dan desakan pihak tertentu dalam UMNO supaya Najib dibebaskan, kedua-dua perkara yang kritikal untuk mengekalkan keseimbangan dan kestabilan gabungannya,” kata Ahmad Mohsein Azman, seorang penganalisis di BowerGroupAsia, perunding risiko politik kepada BenarNews.
“Tahanan rumah mungkin menjadi kompromi yang tepat untuk menguruskan permintaan kedua-dua pihak tanpa perlu membebaskan Najib daripada hukuman penjaranya.”
Sementara itu, penganalisis Tunku Mohar berkata ia mungkin terdapat potensi perubahan dalam Pakatan Harapan (PH) sekiranya rang undang-undang itu diluluskan.
“Hubungan dengan UMNO mungkin bertambah baik, tetapi ada kemungkinan kehilangan pengundi bukan partisan yang mungkin melihat ini sebagai percubaan kerajaan untuk memuaskan hati UMNO dengan mengorbankan orang ramai,” katanya.
BenarNews menghubungi beberapa pemimpin gabungan Pakatan Harapan dan UMNO, tetapi ramai yang enggan mengulas atau tidak membalas mesej.