Bekas PM Najib Razak kekal dipenjara, usaha bebas sabitan gagal

Mahkamah Persekutuan menolak permohonannya untuk menyemak semula hukuman dan sabitan bagi pertuduhan rasuah.
Iman Muttaqin Yusof
2023.03.31
Putrajaya
Bekas PM Najib Razak kekal dipenjara, usaha bebas sabitan gagal Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak bercakap kepada media semasa sesi rehat di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, 23 Ogos, 2022.
[Lai Seng Sin/Reuters]

KEMASKINI pada 1.20 malam waktu tempatan ETS - 2023-03-31

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Jumaat gagal dalam usaha terakhirnya untuk bebas dari penjara apabila mahkamah tertinggi negara itu menolak permohonan untuk menyemak semula keputusan mahkamah pada tahun lalu yang mengekalkan hukuman dan sabitan salah terhadap pertuduhan rasuah, meskipun pasukan peguam Najib mendakwa masih ada ruang undang-undang untuk beliau.

Empat daripada lima panel Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk menolak permohonan Najib menyemak semula hukuman 12 tahun yang dikenakan terhadapnya pada Ogos lalu kerana salah guna kuasa dan pertuduhan lain yang berkaitan dengan penyelewengan RM42 juta (AS$9.5 juta) dana anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, dana pelaburan negara terpalit dengan kontroversi.

Dengan keputusan itu, Najib, 69, akan terus menjalani baki hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang.

Hakim Vernon Ong berkata mahkamah tidak tersilap dalam penghakimannya pada tahun lepas dan tidak berlaku penyelewengan keadilan seperti yang didakwa oleh pasukan peguam Najib, dalam usaha mereka untuk mendapatkan perbicaraan semula.

"Dalam analisis akhir dan mengambil kira semua keadaan, beliau adalah punca kepada nasib malangnya sendiri," kata Hakim Ong sambil membacakan keputusan itu.

“Kami telah membuat kesimpulan bahawa permohonan semakan adalah tidak lebih daripada untuk mencabar merit keputusan Mahkamah Persekutuan. Sehubungan itu, permohonan semakan hendaklah dan dengan ini ditolak.”

Ketika Hakim Ong menyampaikan keputusan selama 50 minit itu di hadapan waris dan pegawai kepada bekas perdana menteri berkenaan, Najib kelihatan sedih semasa berada di kandang tertuduh mahkamah.

1MDB, sebagai dana pelaburan negara, menjadi skandal kewangan antarabangsa berskala besar yang membabitkan Najib hingga menyebabkan kerajaan pimpinannya tumbang pada Pilihan Raya Umum 2018. Pada Julai 2020, beliau menjadi bekas perdana menteri pertama Malaysia yang disabitkan kesalahan bagi beberapa pertuduhan jenayah.

Najib telah menggunakan kesemua saluran undang-undang untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 itu, kata pendakwa. Namun, peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah berkata penghakiman itu, yang bertentangan dengan pendapat Hakim Abdul Rahman Sebli berbanding empat hakim yang bersidang, telah membuka satu laluan lain bagi kes tersebut.

Satu-satunya pilihan terakhir yang dimiliki Najib untuk dibebaskan dari penjara adalah melalui Pengampunan Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

230331-MY-Najib.jpg

Penyokong bekas Perdana Menteri Najib Razak melambai kearah kereta yang membawanya kembali ke Penjara Kajang selepas sesi pendengaran keputusan di Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya, Malaysia, 31 Mac, 2023. [S.Mahfuz/BenarNews]

Hakim Abdul Rahman merupakan satu-satunya hakim dalam panel itu yang mengeluarkan pendapat berbeza.

"Najib yang terpaksa menanggung kesilapan akibat daripada peguamnya dan hak beliau untuk didengar telah terjejas," kata hakim itu.

Beliau merujuk bagaimana panel Mahkamah Persekutuan yang berbeza telah menafikan permintaan pasukan peguam Najib dalam perbicaraan pada Ogos 2022 untuk membuat penangguhan kerana peguam utama Najib pada masa itu baru sahaja dilantik dan memerlukan lebih masa untuk membuat persediaan.

“Keadilan bukan sahaja mengenai sama ada seseorang yang dituduh bersalah atau tidak, ia juga mesti melibatkan perbicaraan yang adil. Tertuduh mesti merasakan bahawa mereka telah menerima perbicaraan yang adil. Jika sistem tidak mampu melakukan ini, mereka tidak sepatutnya dibicarakan sama sekali,” kata Abdul Rahman kepada mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram semasa bercakap kepada media kemudian berkata pihak pendakwaan mengharapkan bahawa keputusan itu menjadi penutup kepada pendengaran kes SRC.

“Dari segi undang-undang, tertuduh telah kehabisan semua saluran rayuan. Adalah menjadi harapan pihak pendakwaan bahawa ini menjadi penutup kepada pendengaran SRC atau kes SRC,” katanya kepada pemberita di mahkamah itu di Putrajaya, yang merujuk kepada SRC International iaitu anak syarikat 1MDB.

"Keputusan Mahkamah Persekutuan ini juga menunjukkan bahawa pertuduhan terhadap Najib adalah sah dan tidak bermotifkan politik," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee mendakwa bahawa keputusan tidak sebulat suara itu telah memberikan anak guamnya satu lagi peluang.

“Akibat penghakiman minoriti, ia membuka satu lagi peluang. Ada beberapa kes yang membenarkan pelbagai penyemakan semula.

“Selagi terdapat alasan untuk permohonan baharu, ia (semakan) boleh dilakukan,” kata Muhammad Shafee.

230331-MY-Najib2.jpg

Seorang penyokong bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak dapat menahan kesedihan di luar Mahkamah Persekutuan setelah mendapat tahu bahawa permohonan semakan kehakiman ke atas keputusan yang dibuat oleh mahkamah yang sama tahun lalu telah ditolak, Putrajaya, 31 Mac, 2023. [S.Mahfuz/BenarNews]

Selain daripada proses perundangan melalui Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang telah digunakan oleh Najib, bekas perdana Menteri itu turut memfailkan permohonan Pengampunan Diraja serta petisyen di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi meminta dibebaskan atau dibicarakan semula.

Pengampunan diraja atau rayuan kepada mahkamah antarabangsa adalah satu-satunya pilihan yang ada bagi Najib untuk menuntut pembebasan dalam kes SRC, kata peguam kanan jenayah Mohd Hafiz Zainol Abidin kepada BenarNews.

“Pilihan seterusnya untuk Najib ialah pengampunan diraja. Jika dibenarkan, individu tersebut tidak lagi mempunyai sebarang rekod jenayah.,” katanya.

Menurut seorang penganalisis politik, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Najib membuktikan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menepati ikrarnya untuk tidak campur tangan dalam urusan mahkamah.

Selain Najib, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO dan bekas timbalan Perdana Menteri ketika Najib menjadi perdana Menteri, sedang dibicarakan bagi pertuduhan rasuah yang tidak dikaitkan dengan skandal 1MDB.

“Jadi, dengan keputusan ini, walaupun ia akan mengecewakan sesetengah pihak dalam UMNO, pengekalan hukuman penjara bermakna tiadanya campur tangan,” kata penganalisis Jamaie Haji Jamil dari Universiti Kebangsaan Malaysia kepada BenarNews.

Empat minggu lalu, Najib berjaya dalam perbicaraannya apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskannya daripada pertuduhan campur tangan dalam laporan audit 1MDB.

Selain itu, bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut didakwa bagi pertuduhan rasuah. Muhyiddin, yang mengetuai blok pembangkang baharu Malaysia, telah menafikan pertuduhan itu dan menyalahkan pentadbiran Anwar, yang didakwanya mahu melemahkan blok pembangkang bagi mendapatkan kestabilan kuasa.

Haizal Yatiran dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.