Peguam Negara: PM Malaysia Bersih Daripada Rasuah

Staf BeritaBenar
2016.01.26
160126-MY-IDC-PRESS620 Perdana Menteri Najib Razak (tengah) diserbu ketika beliau beredar meninggalkan Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Menentang Ekstremisme Keganasan di Kuala Lumpur. 25 Januari 2016.
BeritaBenar

Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Selasa berkata, sekarang masanya bagi beliau untuk melupakan skandal kewangan yang dihadapinya setelah  Peguam Negara membersihkannya daripada potensi pertuduhan rasuah membabitkan hampir US$700 juta yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya.

“Hasil keputusan itu adalah menerusi siasatan terperinci oleh pelbagai institusi berkaitan, dan beliau mengesahkan apa yang saya pertahankan selama ini - tiada kesalahan jenayah dilakukan," kata Najib dalam satu kenyataan.

Terdahulu daripada itu, Peguam Negara  Mohamed Apandi Ali mengumumkan bahawa “tiada kesalahan jenayah” telah dilakukan dan wang sejumlah US$681 juta (RM2.08 bilion) yang dimasukkan dalam akaun peribadinya adalah ”sumbangan peribadi” daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pengumuman peguam negara itu menamatkan siasatan peringkat nasional terhadap skandal yang membelenggui Najib sejak enam bulan lalu hingga membawa kepada desakan supaya beliau meletakkan jawatan.

“Isu ini telah menjadi satu gangguan tidak wajar terhadap negara ini. Memandangkan  isu itu kini selesai sepenuhnya, sekarang masanya bagi kita untuk bersatu dan bergerak ke hadapan,” kata Najib.

Apandi mengumumkan bahawa pejabat beliau telah menutup siasatan terhadap perkara itu dan kes-kes lain di mana nama Najib dibangkitkan sejak Julai lalu, dan telah dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana pelaburan negara yang dibebani hutang, yang lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh perdana menteri.

“Sekarang saya akan menggandakan tumpuan terhadap isu-isu yang menjadi keutamaan Malaysia, terutamanya dalam memerangi ancaman pengganas, dan mengukuhkan ekonomi yang berdepan cabaran global," katanya semasa memberi  maklum balas terhadap pengumuman Apandi itu.

Kenyataan itu dibuat  pada hari kedua persidangan antarabangsa mengenai deradikalisasi dan menentang ekstremisme keganasan, yang dianjurkan  kerajaan Malaysia dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari 18 negara  termasuk Amerika Syarikat dan negara-negara Barat lain.

'Berpuas hati'

Dalam satu kenyataan, peguam negara berkata tiada bukti yang menunjukkan bahawa "derma itu adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah”.

"Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan derma itu diberikan sebagai dorongan atau  upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai perdana menteri," kata Apandi yang merujuk kepada US$681  juta yang dimasukkan ke dalam  akaun Najib antara akhir Mac 2013 dan awal April 2013 – ketika menjelangnya pilihan raya umum tahun itu.

Wang US$681 juta itu "telah diberikan kepadanya tanpa apa-apa balasan" oleh keluarga diraja Arab Saudi, kata peguam negara, tetapi perdana menteri telah memulangkan US$620 juta (RM2.03 bilion) kepada penderma itu pada Ogos 2013 - selepas pilihan raya 5 Mei -  "kerana jumlah wang itu tidak digunakan".

Peguam Negara tidak menjelaskan apa yang berlaku dengan yang baki daripada US$681 juta yang diberikan kepada Najib.

"(Saya) berpuas hati bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan, tiada keperluan bagi Malaysia membuat permintaan bagi mendapatkan bantuan perundangan bersama kepada mana-mana negara asing bagi tujua  melengkapkan siasatan SPRM berhubung sumbangan RM2.08 bilion itu,” kata Apandi sambil merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai perdana menteri," katanya.

Beliau juga membersihkan perdana menteri daripada siasatan salah laku kewangan  dalam SRC International, sebuah syarikat milik kerajaan yang berkaitan dengan 1MDB.

Berhubung dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International, beliau berkata tiada terzahir apa-apa kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan.

Nama Najib mungkin telah dibersihkan di peringkat nasional, tetapi nama 1MDB timbul tahun lepas dalam siasatan yang dijalankan di Abu Dhabi, Hong Kong, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat, menurut Wall Street Journal. Pada September lau, akhbar yang berpejabat di Amerika Syarikat itu melaporkan bahawa FBI telah membuka kertas siasatan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan 1MDB.

'Tukang paip Eksekutif’

Rakyat Malaysia nyata marah dengan pengumuman pada Selasa itu.

"Penggesek biola memainkan lagu mengikut kehendak pembayarnya," kata seorang rakyat Malaysia, yang tinggal di Negeri Sembilan dan tidak mahu namanya disiarkan, kepada BeritaBenar menerusi telefon, yang merujuk kepada hubungan antara Apandi dan Najib.

Seorang lagi rakyat di Kedah pula menggelar Apandi sebagai “tukang paip eksekutif."

Najib melantik Apandi sebagai peguam tertinggi negara selepas memecat Peguam Negara Abdul Gani Patail pada Julai lalu, yang ketika itu mengetuai siasatan terhadap dakwaan rasuah terhadap perdana menteri.

Pada hari  sama  Apandi membersihkan perdana menteri daripada siasatan itu, peguam negara itu dinamakan senagai anggota lembaga pengarah Lembaga Tabung Haji (LTH), sebuah pertubuhan berkaitan kerajaan yang dibebani hutang,   yang menyediakan perkhidmatan kewangan kepada umat Islam di Malaysia yang merancang menunaikan  ibadah haji Haji di Makkah, lapor media Malaysia.

"Walaupun pengumuman peguam negara sudah agak dijangka, namun sekurang-kurangnya, janganlah dibuat pada waktu yang buruk," kata sumber dari Kedah kepada BeritaBenar, dengan syarat namanya tidak disiarkan.

"Hari ini ada pendedahan bahawa rizab Tabung Haji adalah negatif. Seolah-olah menyapu garam pada luka negara, peguam negara Apandi  dilantik pula  sebagai ahli Lembaga Tabung Haji hari ini, "katanya semasa dihubungi.

Sambil turut mengkritik langkah peguam negara membersihkan Najib daripada potensi pertuduhan rasuah, ahli-ahli politik pembangkang juga mempersoalkan integriti Apandi.

"Peguam Negara sepatutnya tidak terlibat dalam keputusan yang memberi kesan kepada perdana menteri kerana beliau telah dilantik oleh perdana menteri," lapor Reuters yang memetik pemimpin DAP Lim Kit Siang sebagai berkata.

"Ini akan menyebabkan orang ramai menyoal sama ada peguam negara menjalankan kewajipannya secara profesional, bebas dan adil," kata Ketua Pembangkang Wan Azizah Wan Ismail, lapor Agence France-Presse.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.