PM Malaysia Pertahankan Pendirian Tegas Mengenai Keganasan
2016.01.25
Perdana Menteri Malaysia Najib Razak pada Isnin berkata, beliau tidak akan memohon maaf kerana melaksanakan langkah-langkah tegas bagi memerangi keganasan, dengan menyatakan ancaman kumpulan Negara Islam (IS) adalah ‘amat benar’ dan beliau perlu mengutamakan keselamatan negara berbanding perkara lain.
Kenyataan beliau itu dibuat tiga hari selepas polis Malaysia menahan tujuh lelaki disyaki militan yang didakwa ada kaitan dengan dalang serangan maut kumpulan itu di Jakarta, ibu negara Indonesia, pada 14 Jan lalu yang mengakibatkan empat orang awam dan empat penyerang mati.
"Saya tidak akan memohon maaf, saya ulangi, saya tidak akan memohon maaf kerana mengambil setiap langkah untuk memelihara keselamatan, dan menjadikan keselamatan semua rakyat Malaysia dan pelawat global kami sebagai keutamaan pertama saya," kata Najib dalam ucapan perasmiannya pada Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Menentang Ekstremisme Keganasan 2016 di Kuala Lumpur.
"Ancaman ini amat benar dan kerajaan saya mengambilnya dengan serius," kata beliau.
'Ancaman Video'
Semasa persidangan itu dirasmikan, polis Malaysia berkata, kumpulan IS telah menyiarkan video yang memberi amaran tentang serangan di Malaysia berikutan penangkapan ahli-ahli dan para penyokongnya.
Video itu, yang dibuat dalam Bahasa Malaysia dan dikeluarkan oleh unit Melayu IS yang dikenali sebagai Katibah Nusantara (Unit Penggempur Kepulauan Melayu), memberi amaran kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan tindakan terhadap kumpulan itu dan melepaskan mereka yang telah ditahan atau ‘berdepan dengan tindakan balas dendam’.
Katibah Nusantara dipercayai diketuai oleh Bahrun Naim, yang dikenal pasti sebagai dalang di sebalik pengeboman di Jakarta dan berpangkalan di Raqqa, pusat de facto IS di Syria.
Video itu memaparkan dua rakyat Malaysia yang berpangkalan di Syria, dikenal pasti oleh ketua polis Malaysia sebagai Abdul Halid Dari dan Mohd Nizam Arifin, yang bercakap menggunakan logo IS.
"Polis meneruskan langkah-langkah proaktif dalam hal-hal berkaitan video itu dan tidak memandang ringan mengenainya," kata Khalid Abu Bakar ketika ditemui pemberita semasa persidangan itu.
BeritaBenar tidak dapat mengesahkan video berkenaan.
‘Penahanan tanpa perbicaraan’
Malaysia, yang mempunyai majoriti penduduk Islam, telah menahan lebih 100 orang yang dikatakannya terlibat dengan IS. Seramai 55 rakyat Malaysia terlibat dengan IS di Iraq dan Syria, dengan 17 orang daripada mereka telah terbunuh, lapor media tempatan yang memetik laporan perisikan.
Najib juga membidas kumpulan-kumpulan hak asasi yang mengkritik undang-undang keselamatannya yang tegas dan menganggap mereka sebagai ancaman kepada kebebasan awam.
"Saya ingin memberitahu anda sekalian: Tiada kebebasan awam dalam Daesh [IS], dan dan tiada perisai terhadap mereka yang berhasrat melakukan perbuatan keganasan. Cara terbaik untuk menjamin kebebasan awam adalah dengan mengekang sebarang tindakan keganasan bagi memastikan keselamatan negara terjamin, "katanya pada persidangan itu.
Pada 2012, Najib menyaksikan pemansuhan undang-undang draconian, Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang digunakan kerajaan untuk menahan seseorang tanpa perbicaraan, tetapi pada tahun lepas beliau memperkenalkan semula undang-undang yang lebih tegas yang menurutnya, bertujuan untuk memerangi keganasan.
Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia mengkritik Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA kerana ia menghidupkan semula penahanan tanpa perbicaraan.
Kumpulan- kumpulan itu juga mengkritik Kuala Lumpur kerana meluluskan satu lagi undang-undang pada bulan lalu yang memberikan kuasa besar kepada majlis keselamatan negara yang diketuai oleh Najib.
Najib menganggap idea IS untuk mewujudkan sebuah negara Islam sebagai ‘tiada apa-apa pun yang Islamik’, sambil menambah kata bahawa majoriti penduduk yang aman di negaranya dengan tegas menolak keganasan IS untuk ‘mengebom, mencacatkan dan memenggal kepala."
Pemimpin Malaysia itu turut menghuraikan rancangan negaranya untuk menubuhkan Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi bagi memerangi propaganda ekstremis IS dalam talian.
"(Adalah) penting bahawa semua pihak berkuasa - kalangan mufti kita, suruhanjaya-suruhanjaya media kita, golongan muda kita yang arif tentang teknologi dengan media sosial menjadi sebahagian penting dalam kehidupan seharian mereka - memastikan mesej-mesej yang dihantar pusat itu adalah kukuh, bersifat memujuk dan nyata," katanya.
Mesej-mesej itu, katanya, perlu dinyatakan dengan jelas dan menangkis "pendekatan retorik dan menyedihkan para militant itu."
"Ia mesti menyatakan dengan jelas mengapa mereka [IS] adalah salah, dan mengapa umat Islam sebenar tidak harus mempunyai apa-apa kaitan dengan ideologi kebencian dan kemusnahan itu."
Persidangan dua hari itu bertujuan meningkatkan kerjasama kalangan agensi-agensi keselamatan seluruh dunia dalam melaksanakan program-program deradikalisasi, menurut satu kenyataan kerajaan.
Menteri-menteri dan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam memerangi ancaman ekstremis militan dari Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan rakan kongsi strategik perkumpulan 10 anggota itu - Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Britain, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, China dan Itali - menghadiri mesyuarat itu.