Perdana Menteri Malaysia Bidas ‘Ideologi Sesat’ IS Di PBB

Staf BeritaBenar
2015.10.02
151002-MY-NAJIB620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak semasa berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di ibu pejabat badan dunia itu di New York. 1 Okt 2015
AFP

Kumpulan ekstremis Negara Islam (IS) cuba menyelewengkan Islam dan memutarbelitkan prinsip asasnya sambil berusaha menyemai benih keganasan di kawasan yang jauh daripada wilayah genggamannya di Timur Tengah, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, yang bimbang dengan keadaan itu,  memberitahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

"Terdapat orang yang mahu membawa keganasan ke jalan raya kami,” kata Najib semasa berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB, di mana beliau menggesa negara-negara berdaulat dunia supaya memerangi ‘ideologi sesat’ IS.

“Kami tidak akan benarkannya, dan mereka tidak akan berjaya,” katanya, menurut transkrip ucapan beliau yang disiarkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama). “Bagi Malaysia, selama ini dan akan begitu selamanya, negara yang rakyatnya menganut pelbagai agama dan pelbagai kaum adalah bebas untuk makmur dan maju.”

Najib menyampaikan ucapan lantang itu di pentas dunia, di tengah-tengah tekanan di tanah air  di mana beliau digesa meletakkan jawatan susulan dakwaan rasuah membabitkan  1Malaysia Development Berhad (1MDB),  dana pembangunan negara.

Beliau turut berdepan kritikan berikutan para penyokong etnik Melayu yang didominasi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajuinya didakwa mencetuskan ketegangan kaum  dalam kalangan masyarakat Cina dan India negara itu sejak akhir-akhir ini, sebagai satu cara untuk mengalihkan perhatian daripada skandal itu, menurut satu artikel dalam  Sydney Morning Herald pada Jumaat.

Perdana Menteri turut menyangkal dakwaan bahawa wang tunai AS$700 juta daripada dana itu telah dimasukkan dalam akaun bank peribadinya.

'Penghinaan besar terhadap Islam'

Najib tidak menyentuh mengenai 1MDB dalam ucapannya selama 22 minit di PBB, yang sebahagian besarnya menumpukan kepada ancaman kumpulan militan Negara Islam ke atas negaranya, seluruh dunia Islam dan negara-negara lain.

"Kita  perlu berusaha lebih keras bersama-sama untuk memerangi ancaman ini,” katanya kepada PBB. “Tentera dan khidmat risikan perlu berkongsi maklumat, dan negara-negara perlu meningkatkan kerjasama, mesti berani melakukan penangkapan lebih awal, jika perlu.”

Beliau memberi amaran bahawa kumpulan jihad itu, pelaku tanpa negara, merupakan  ancaman kepada negara-negara yang terletak jauh daripada kawasan yang mereka isytiharkan sebagai khalifah.

"Pakar mereka menggunakan media sosial untuk merekrut pengikut di negara-negara yang jauh,  menggoda mereka dengan janji-janji palsu, memujuk ramai anak muda bahawa tindakan kejam mereka itu akan membawa mereka lebih dekat dengan Allah," katanya.

“Ia amat menjelekkan, dan ia tidak lebih daripada satu penghinaan terhadap Islam - agama yang mementingkan keamanan, kesederhanaan dan keadilan. Tetapi kumpulan ekstremis ini tidak dapat dikalahkan semata-mata menerusi kaedah ketenteraan tradisional,” tegasnya.

Pegawai-pegawai di Malaysia dan negara jiran Indonesia berkata mereka bergelut dengan ancaman IS yang menyasarkan anak muda tempatan sebagai potensi rekrut menerusi media sosial.

Dan, pada tahap ini, perdana menteri berterus terang tentang keadaan itu.

“Kita mesti mengakui yang kita tidak memenangi propaganda perang terhadap kumpulan yang dikenali sebagai Negara Islam. Naratif mereka yang diputarbelitkan itu tidak ditangani dengan secukupnya dalam mencegah lebih banyak orang yang keliru daripada menyertai atau menyokong mereka dari jauh,” katanya.

Untuk mengelakkan ancaman ini, "adalah amat penting bagi kita untuk menyebarkan kesedaran tentang ajaran Islam yang tulen, terutama sekali apabila konflik berterusan dan rakyat putus harapan,” katanya sambil menambah “kerana keadaan itu akan membuatkan ekstremis mudah bertapak.”

Usaha Malaysia

Untuk itu, kerajaan Malaysia telah berusaha tanpa penat lelah   untuk mengawal ahli-ahli IS daripada merancang serangan di tanah airnya atau menjadikan negara itu sebagai transit semasa dalam perjalanan ke Timur Tengah, ujar Najib.

Beliau memberitahu bahawa pihak berkuasa di negaranya telah menahan lebih daripada 100 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan IS.

“Usaha tanpa mengenal penat lelah dan kesiapsiagaan pasukan keselamatan kami telah berjaya menyekat banyak bakal pengikut IS daripada menggunakan Kuala Lumpur sebagai transit,” kata Najib.

“Kerana usaha kami inilah mereka tidak kecundang dalam kegelapan yang memusnahkan Syria dan Iraq.”

“Tetapi ada juga yang terpengaruh,” katanya. “ Kami telah mengenal pasti 39 rakyat Malaysia yang menyertai IS.”
Pada Khamis, akhbar The Star di Malaysia memetik seorang pegawai kanan polis di cawangan khas  bagi memerangi keganasan  sebagai berkata bahawa tiga pejuang jihad Malaysia terbunuh baru-baru ini ketika bertempur di zon perang, yang menjadikan sejumlah 14 rakyat negara itu mati semasa berjuang untuk IS.

Malaysia sertai Gabungan Anti-IS

Najib berucap di PBB, dua hari selepas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, yang semasa Sidang Kemuncak Pemimpin bagi menangani  ISIL (satu lagi singkatan IS)  di PBB New York, mengalu-alukan  Malaysia sebagai satu daripada ahli baru gabungan global menentang ancaman IS.

Ditubuhkan tahun lepas, gabungan itu yang diterajui Amerika Syarikat dianggotai lebih 60 buah negara yang ‘komited untuk menjatuhkan dan memusnahkan’ IS,  kata Rumah Putih.

Sebanyak 24 ahli  gabungan itu terlibat dalam kempen ketenteraan dan telah melancarkan lebih daripada 7,200 serangan udara terhadap kawasan IS di  Iraq dan Syria, demikian menurut kertas fakta yang dikeluarkan oleh Rumah Putih semalam.

Ahli lain gabungan itu pula memberikan pelbagai bentuk sokongan, namun tidak jelas bagaimana Malaysia boleh menyumbang kepada usaha anti-IS global itu.

Sokongan itu mungkin  dalam bentuk kepimpinan Malaysia - dengan sokongan antarabangsa - dalam mewujudkan ‘pusat serantau digital bagi memerangi  mesej’ yang berpangkalan di Asia Tenggara,  yang misinya adalah untuk membalas kenyataan IS di ruang siber, seperti yang dinyatakan Najib semasa berucap kepada rakan pemimpin lain dalam sidang kemuncak itu pada Selasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.