Najib Sedia Beri Kenyataan Kepada SPRM


2015.11.12
151112-MY-NAJIBSPRM620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (T) memegang beg bimbit sebelum meninggalkan Kementerian Kewangan untuk ke Parlimen bagi membentangkan Bajet 2016. Berada disebelah beliau ialah Menteri Kewangan Kedua Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Kewangan Johari Abdul Ghani, di Putrajaya. 23 Oktober 2015.
AFP

Perdana Menteri Najib Razak berkata beliau sedia memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat berhubung kes sumbangan dana politik berjumlah RM2.6 bilion.

Katanya, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali telah memaklumkan, bahawa beliau diminta memberi keterangan kepada SPRM berhubung kes itu.

"Saya akan berbuat demikian dan memberi kenyataan kepada SPRM dalam masa terdekat berhubung sumbangan dana politik tersebut.

"Saya akan memberi kerjasama dan keterangan kepada SPRM agar siasatan ini dapat disiapkan secepat mungkin," katanya dalam status Facebooknya pada Khamis.

Najib berkata, sememangnya menjadi hasrat beliau untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan kes itu memandangkan ia telah menimbulkan pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Abu Kassim Mohamed berkata, beliau  sudah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan Najib telah menyatakan persetujuan untuk memberi keterangannya.

“SPRM sedang menunggu tarikh untuk menemu bual beliau (Najib) bagi memberi penjelasan berhubung isu-isu yang berkaitan siasatan," katanya seperti dilapor agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Johor Baharu pada Khamis.

Keterangan daripada Najib itu berhubung siasatan mengenai SRC International dan dana RM2.6 bilion itu.

'Maklum hasil siasatan'

Abu Kassim berkata SPRM akan melengkapkan siasatan kes SRC International sebelum akhir tahun ini dengan syarat badan itu boleh mengakses dua pengarah SRC International iaitu saksi penting yang masih berada di luar negara dan belum lagi diambil keterangan daripada mereka.

Mengenai siasatan dana RM2.6 bilion, beliau berkata SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan kerana kebanyakan transaksi berlaku di luar negara dan ini memerlukan proses Mutual Legal Assistance (MLA).

"SPRM memerlukan masa untuk mendapatkan kerjasama beberapa pihak di luar negara," kata Abu Kassim yang memberi jaminan ia tidak akan berkompromi dari segi kepentingan bukti dan saksi-saksi penting.

"SPRM akan memaklumkan status siasatan dari masa ke semasa kepada badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM," katanya.

Sebagai sebuah suruhanjaya bebas, katanya SPRM mengambil kira harapan semua pihak termasuk kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang dibuat pada awal Oktober lalu.

"SPRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009," kata Abu Kassim.

Pada Julai lepas, The Wall Street Journal melaporkan bahawa sebanyak AS$700 juta dolar dari syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dimasukkan ke dalam akaun yang didakwa dimiliki oleh Najib, sebelum pilihan raya umum Malaysia yang diadakan pada Mei 2013.

Najib kemudian menyangkal dakwaan itu dan menafikan sebarang salah laku selain menyifatkan ia sebagai cubaan sabotaj politik terhadap dirinya.

Susulan itu, SPRM menjalankan siasatan dan mendapati dana itu adalah sumbangan dari Timur Tengah, tanpa menyatakan siapa penyumbangnya, untuk apa wang itu digunakan, atau mengapa sejumlah besar wang yang memasuki Malaysia tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Media juga melaporkan bahawa dana 1MDB kini menjadi siasatan antarabangsa di Singapura, Hong Kong, Switzerland, Britain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bulan lepas, The Wall Street Journal turut melaporkan bahawa Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat telah melancarkan satu siasatan terhadap aktiviti pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana 1MDB; namun skop siasatannya tidak diketahui.

Pada 3 Oktober lalu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan kononnya FBI Amerika Syarikat telah memulakan siasatan ke atas kes 1MDB dan juga Perdana Menteri.

Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz juga berkata skandal berterusan di  1MDB telah menjerut ekonomi Malaysia dan ia perlu diselesaikan dengan telus, sekiranya negara mahu menyaksikan pemulihan nilai mata wang Ringgit. (US$1 bersamaan RM4.350)

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Azalina Othman Said berkata JPM akan menjawab semua soalan yang dibangkitkan berhubung dakwaan RM2.6 bilion yang telah didepositkan
ke dalam akaun peribadi perdana menteri di persidangan Dewan Rakyat pada 3 Disember depan.

Azalina dilaporkan media sebagai berkata bahawa adalah lebih baik untuk mengumpul semua soalan mengenai perkara itu dan menjawabnya pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat kali ini.

"Sama ada Najib atau menteri di JPM akan menjawab. Ini adalah prerogatif perdana menteri," katanya.

Satu Penerangan Perdana mengenai 1MDB, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dan Bajet 2016 akan diadakan pada Sabtu ini, yang bertujuan untuk memastikan ketiga-tiga isu itu tidak diputarbelitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.