Namewee Direman Empat Hari Berhubung Video Klip Kontroversi
2016.08.22
Pulau Pinang
Penyanyi rap kontroversial Malaysia Namewee ditahan reman empat hari pada Isnin bagi membantu siasatan kes klip video “Oh My God” yang dirakam di sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang didakwa menghina Islam.
Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown pada pukul 10.25 pagi dan kelihatan tenang ketika perintah reman tersebut dibacakan.
Perintah reman yang dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah (Jenayah) Ahmad Tajudin Zaini membolehkan polis menyoal Namewee di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Namewee disiasat mencemarkan sebuah rumah ibadat dengan niat untuk mengaibkan sesuatu agama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Namewee, 33, yang berasal dari Johor ditahan sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 3.30 petang Ahad apabila pulang dari Taipei, Taiwan. Beliau kemudiannya dibawa ke Pulau Pinang.
Ketua Polis Georgetown Mior Faridalathrash Wahid memgesahkan penangkapan dan perintah mendapatkan tahanan reman itu adalah untuk membantu siasatan polis berhubuang muzik video kontroversial Namewee yang mula ditayangkan pada Julai lepas.
Klip video sepanjang 4.05 minit yang diarah dan diterbitkan oleh Namewee dengan 3 orang ahli kumpulan band dari Taiwan, Nine-One-One telah dirakam di beberapa tempat ibadat di sekitar Pulau Pinang.
Klip tersebut memaparkan rakaman empat lelaki termasuk Namewee yang menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin yang menggunakan beberapa terma agama seperti “Allah” dan “Hallelujah” serta “Namo Amitabha”.
Klip awal video yang dikeluarkan pada Julai itu juga melihat keempat-empat individu itu menyanyikan dan berjoget dihadapan kuil Buddha, kuil Tao, gereja dan masjid. Namun, muatan naik terkini video klip berkenaan ke laman YouTube pada Jumaat lalu, tidak lagi mengandungi klip di depan masjid itu.
Video klip itu telah menjadi viral dan menimbulkan kemarahan orang ramai kerana didakwa menghina Islam sehingga menjurus kepada laporan polis oleh kira-kira 20 NGO terhadap Namewee.
Pada 2007, pemuzik itu telah menimbulkan kekecohan apabila menghasilkan video rap dengan gubahan dari lirik Negaraku – yang menghina negara, polis, orang melayu serta azan bagi agama Islam.
Antara laporan polis yang pertama dibuat mengenai klip video “Oh My God” itu adalah daripada seorang Pengerusi Masjid Terapung di Tanjung Bungah pada 31 Julai lepas.
Pada Isnin, Namewee dalam laman media sosial Facebook memuat naik status yang menyatakan pembikinan video itu adalah untuk menggalakkan keharmonian agama.
Beliau berkata yang dirinya tidak melakukan kesalahan dan telah membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia untuk menghadapi dakwaan.
“Jika saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, mengapa saya perlu berlari dan bersembunyi? Malaysia adalah rumah saya, tanahku,” katanya dalam bahasa Mandarin.
Dalam catatan lain, Namewee berkata beliau sentiasa menghormati Islam apabila menjadi penyanyi Cina tempatan pertama dalam sejarah menyanyikan lagu nasyid.
Lagu Uncle Lim merupakan duetnya dengan bekas penyanyi kumpulan nasyid Brothers, Yasin Suleimen yang dihasilkan pada tahun 2015.
"Ini adalah lagu nasyid yang dinyanyikan bersama bahasa Mandarin dalam kategori hip-hop. Hentikan fitnah dan tuduhan anda dengan mengatakan saya menghina agama Islam," katanya dalam satu lagi coretan di laman Facebooknya pada awal bulan ini.