Namewee Dibebaskan Sementara Tunggu Keputusan Pejabat Peguam Negara
2016.08.25
Pulau Pinang

Mahkamah Georgetown di Pulau Pinang pada Khamis membebaskan pengarah dan penyanyi rap kontroversi Namewee yang ditahan reman empat hari sebelum ini, berhubung klip video terbarunya 'Oh My God' yang didakwa menghina Islam.
Beliau yang nama sebenarnya Wee Meng Chee, 32 dibebaskan dengan jaminan polis setelah pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Ahmad Tajudin Zaini menolak permohonan Polis Daerah Timur Laut untuk menyambung tempoh tahanan reman empat hari penyanyi tersebut yang berakhir pada Khamis.
Ahmad Tajudin dilaporkan sebagai berkata, tiada sebab untuk polis menyambung tahanan reman terhadap penyanyi berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al-Atrash Wahid berkata, penyanyi terbabit dibebaskan sementara menanti arahan lanjut dari pejabat Peguam Negara.
Penyanyi rap berbangsa China itu sebelum ini telah ditahan reman selama empat hari bermula Isnin lalu, selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, sejurus tiba dari Taiwan.
Beliau dibawa ke Pulau Pinang untuk proses siasatan susulan 20 laporan polis yang difailkan terhadapnya oleh badan-badan bukan kerajaan di negeri itu termasuk Pengerusi Masjid Terapung di Tanjung Bungah pada 31 Julai lepas.
'Masuk masjid'
Agence France-Presse [AFP] melaporkan Mior Farid Al-Atrash sebagai berkata, kesemua mereka memasuki sebuah masjid untuk membuat rakaman video itu.
Katanya, "Namewee menghidap ulser perut, walaupun dibebaskan dengan jaminan, kami masih meneruskan siasatan terhadap beliau."
Klip video sepanjang 4.05 minit yang diarah dan diterbitkan oleh Namewee dengan 3 orang ahli kumpulan band dari Taiwan, Nine-One-One telah dirakam di beberapa tempat ibadat di sekitar Pulau Pinang.
Ia memaparkan rakaman empat lelaki termasuk Namewee yang menyanyikan lagu dalam bahasa Mandarin yang menggunakan beberapa terma agama seperti “Allah” dan “Hallelujah” serta “Namo Amitabha”.
Klip awal video yang dikeluarkan pada Julai yang turut melihat keempat-empat individu menyanyikan dan berjoget dihadapan kuil Buddha, kuil Tao, gereja dan masjid telah dikeluarkan dan digantikan dengan klip terkini yang dimuatkan di laman YouTube pada Jumaat lepas, tidak lagi mengandungi klip di depan masjid.
Klip versi terbaru itu sedikit berbeza dibandingkan dengan klip video asal yang mencetuskan kemarahan umat Islam, khususnya di Pulau Pinang.
Walaupun mahkamah berkenaan menolak permohonan menyambungkan perintah tahanan reman terhadap Namewee, pasukan polis tidak terus membebaskan penyanyi berkenaan, sebaliknya membawa penyanyi itu ke Ibupejabat Polis Daerah Timur Laut di Jalan Patani untuk siasatan.
Peguam, T. Tharuma yang mewakili Namewee ketika ditemui pihak media mempertikaikan mengapa anak guamnya itu di bawa ke ibupejabat polis daerah, dan selepas itu memaklumkan bahawa penyanyi berkenaan dibebaskan pada kira-kira pukul 5 petang.
Namewee telah disiasat menurut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, kerana mencemar kesucian rumah ibadat dengan niat menghina, yang memperuntukan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.
Semasa dibebaskan, Namewee terus menaiki kenderaan yang membawanya keluar dari ibu pejabat polis tersebut, tanpa memberi sebarang komen kepada pihak media yang menanti beliau.
Bukan kontroversi pertama
Namewee pernah menimbulkan kontroversi apabila menerbitkan sebuah video parodi lagu kebangsaan pada tahun 2007 sewaktu sedang belajar di Taiwan.
Dua tahun kemudian, Namewee mencetuskan satu lagi kontroversi apabila muncul di dalam sebuah video klip yang mengutuk syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas rumahnya di Muar, Johor mengalami gangguan bekalan.