Badan Bukan Kerajaan Malaysia Lancar Aplikasi Lapor Pemerdagangan Manusia

Hadi Azmi
2018.04.19
Kuala Lumpur
180419-MY-app-620.jpg Anggota badan bukan kerajaan Malaysia, ‘Change Your World’ dan Tenaganita, menunjukkan aplikasi telefon bimbit mereka yang baru "Be My Protector," yang membolehkan orang ramai melaporkan aktiviti pemerdagangan manusia, 19 April 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pertubuhan bukan kerajaan Malaysia pada Khamis melancarkan "Be My Protector," sebuah aplikasi telefon bimbit yang bertujuan untuk membantu mereka yang mahu melaporkan kes penyeludupan manusia, termasuk pekerja asing.

Kumpulan badan bukan kerajaan itu, Tenaganita dan ‘Change Your World [CYW], berkata mereka menghabiskan masa selama dua tahun untuk membangunkan aplikasi berkenaan yang meliputi pelbagai kumpulan di Malaysia, yang mempunyai pekerja asing berjumlah 3.1 juta orang.

Aplikasi percuma yang boleh didapati dalam lapan bahasa membolehkan mangsa atau sesiapa sahaja, untuk mengenal pasti dan melaporkan lokasi mangsa pemerdagangan dengan melampirkan gambar mereka.

Aegile Fernandez, Pengarah Tenaganita, kumpulan hak asasi bagi migran dan pelarian berkata, idea itu timbul dengan kesedaran bahawa usaha perlu dipergiatkan untuk mengenalpasti lebih ramai mangsa pemerdagangan manusia di Selangor dan juga tempat-tempat lain.

"Selangor adalah pintu masuk [pemerdagangan manusia] dan mempunyai jumlah kes tertinggi," katanya semasa majlis pelancaran aplikasi berkenaan di ibupejabat Tenaganita di Puchong, Selangor.  "Bagaimana kita boleh mencari mereka, apa yang perlu kita lakukan?"

Pada tahun 2015, Tenaganita mengenal pasti kawasan perumahan awam berpendapatan rendah di Halaman Mentari di Petaling Jaya sebagai tempat pemerdagangan manusia.

Kami mula menerima kes-kes dari Halaman Mentari yang membabitkan para pelajar dan penyeludup yang menyamar sebagai pelajar di universiti, " katanya sambil menambah bahawa sekurang-kurangnya tujuh kolej swasta berada dalam jarak 5 km (3 batu) dari kawasan perumahan berkenaan.

"Ia berlaku di kolej dan universiti, tetapi tidak ada siapa yang mahu mempercayainya," katanya.

Usaha kerajaan


Kerajaan Malaysia, sementara itu, telah mempertingkatkan usaha untuk memerangi pemerdagangan dan penyeludupan manusia.

Pada Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita bahawa sebuah mahkamah khas untuk menangani kes penyeludupan manusia akan ditubuhkan pada Jun. Beliau berkata mahkamah tersebut merupakan satu komponen penting dalam usaha kerajaan untuk memerangi pemerdagangan manusia.

Sebanyak 282 kes pemerdagangan manusia telah didakwa sepanjang tahun lepas, berbanding dengan 131 kes pada 2016 dan 26 [2015], kata Zahid.

Pada Jun 2017, Jabatan Negara Amerika Syarikat, dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2016, meletakkan Malaysia sebagai negara yang sedang berusaha untuk memerangi masalah tersebut dengan menaikkan kedudukan Malaysia dari ‘Tahap 2 dalam Senarai Pemerhati’ ke ‘Tahap 2’.

Laporan TIP itu memuji usaha kerajaan Malaysia untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan, tetapi berkata Malaysia tidak memberi perlindungan baik kepada mangsa. Seorang pegawai kerajaan berharap Malaysia dapat mencapai ‘Tahap 1’ menjelang tahun 2020.

"Ini adalah satu masalah besar kerana kita mempunyai ramai pekerja asing di sini, dan Malaysia akan diukur secara global bagaimana kita melayan mangsa pemerdagangan manusia," kata Hannah Yeoh, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.

Kerajasama dalam melindungi mangsa

Tenaganita dan ‘Change Your World’ berkata mereka menyasarkan kira-kira 100,000 muat turun aplikasi tersebut sehingga akhir 2018 dan kira-kira 1 juta menjelang tahun 2023.

Pengasas bersama CYW Kelvin Lim memberitahu BeriteBenar bahawa organisasinya akan mempromosikan aplikasi berkenaan manakala Tenaganita, yang telah berurusan dengan kes-kes pemerdagangan manusia sejak tiga dekad lalu, akan menyiasat setiap aduan yang diterima.

"Jika mereka mendapati bahawa [laporan] tersebut benar, mereka akan menghubungi polis," katanya, sambil menambah bahawa Tenaganita akan memulakan siasatan terhadap laporan yang diterima dalam tempoh 24 jam.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim memuji aplikasi tersebut dengan berkata bahawa ia seharusnya dapat membantu usaha kerajaan memberkas penyeludup.

"Walaupun TIP menunjukkan bahawa negara berada dalam senarai Tahap 2, penyaluran maklumat perlu diteruskan untuk meningkatkan usaha kerajaan mengesan dan menyelamat mangsa dan mendakwa pesalah," kata Kamal, bekas pegawai polis.

Bagaimanapun, Kamal melahirkan rasa bimbangnya terhadap aplikasi tersebut yang boleh digunakan untuk menyebar maklumat palsu.

"Sekiranya data tidak disimpan dengan teliti dan tidak dijamin selamat, ia boleh membawa kesan buruk kepada mangsa," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.