Menteri-menteri ASEAN Suarakan Kebimbangan Berhubung Ketegangan Korea

Staf BeritaBenar
2017.04.28
Manila, Filipina
170428-ASEAN-620.jpg Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo, kiri, bertemu Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, di Manila menjelang sidang kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, 28 April, 2017.
AFP

Menteri-menteri luar dari 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Jumaat menyuarakan "kebimbangan mendalam" mereka mengenai peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea berhubung ujian nuklear Korea Utara tahun lepas dan pelancaran peluru berpandu balistiknya baru-baru ini.

Pada mesyuarat menjelang sidang kemuncak pemimpin di Manila pada Sabtu, mereka berkata anggota persatuan itu "sedar bahawa ketidakstabilan di Semenanjung Korea memberi kesan serius" kepada keamanan dan kestabilan di rantau itu, yang sudah pun dibelenggui dengan masalah keselamatan sendiri.

"ASEAN menggesa DPRK supaya mematuhi sepenuhnya kewajipannya hasil daripada semua resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa demi kepentingan mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa," kata perkumpulan itu dalam satu kenyataan. Korea Utara juga dikenali sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).

Menteri-menteri berkenaan meminta Pyongyang untuk melaksanakan langkah mengawal diri bagi meredakan ketegangan dan menahan diri daripada mengambil tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

"ASEAN menyokong usaha-usaha menghentikan nuklear Semenanjung Korea dan dalam hal ini, menggesa supaya disambung semula dialog di Semenanjung Korea untuk meredakan ketegangan dan mewujudkan keadaan yang kondusif bagi keamanan dan kestabilan," kata menteri-menteri berkenaan.

ASEAN dianggotai oleh Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand, Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura dan Vietnam.

Tindak balas AS

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Amerika Syarikat (AS) berikrar untuk meningkatkan tindakan terhadap Korea Utara.

"Kami meminta ahli-ahli bertanggungjawab dalam masyarakat antarabangsa supaya meningkatkan tekanan terhadap DPRK bagi menyakinkan rejim itu untuk meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog," kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini oleh Setiausaha Pertahanan James Mattis, Setiausaha Negara Rex Tillerson dan Pengarah Perisikan Nasional Dan Coats.

Ia berkata Korea Utara telah menjejaskan kestabilan di Asia Timur Laut dan menimbulkan ancaman yang semakin meningkat kepada sekutu di sana dan di  AS.

"Amerika Syarikat mahukan kestabilan dan menghentikan nuklear secara baik di Semenanjung Korea. Kami tetap terbuka kepada rundingan ke arah matlamat tersebut. Bagaimanapun, kami tetap bersedia untuk mempertahankan diri kami dan sekutu kami, "katanya.

Laksamana Harry B. Harris Jr., komander Pemerintah Pasifik Amerika Syarikat, sebelum ini menyambut baik langkah China untuk membantu meredakan ketegangan di antara Pyongyang dan Washington serta mencadangkan penyelesaian bukan ketenteraan kekal menjadi objektif.

Awal bulan ini, Korea Utara melaksanakan latihan tembakan terbesar sempena ulang tahun penubuhan angkatan tenteranya. Pertunjukan kekuatannya itu juga sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-105 pengasas Korea Utara, Kim Il Sung.

Penganalisis berkata, ia bertujuan untuk menghantar mesej kepada Washington dan sekutunya, Korea Selatan dan Jepun, bahawa kerajaan kecil itu mampu melancarkan senjata nuklear.

Setakat ini, Korea Utara telah menjalankan lima ujian nuklear tetapi ujian peluru berpandu terbaharunya telah gagal. Sebagai tindak balas, AS menghantar sebuah kapal induk dan pasukan tempur ke rantau ini.

Selain itu, Jabatan Negara AS menarik perhatian kepada penggunaan agen saraf maut dalam pembunuhan abang pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, Kim Jong Nam, ketika meraikan ulang tahun ke-20 Konvensyen Senjata Kimia, perjanjian yang mengharamkan penggunaannya .

Korea Selatan dan Malaysia menuduh ejen kerajaan Korea Utara membunuh Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Feb.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.