Diplomat Korea Utara Tinggalkan Malaysia Selepas Diusir

Malaysia menegaskan bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan untuk campur tangan dalam sistem kehakiman negaranya.
Hadi Azmi
2021.03.21
Kuala Lumpur
Diplomat Korea Utara Tinggalkan Malaysia Selepas Diusir Kenderaan yang membawa diplomat Korea Utara dan keluarga mereka meninggalkan kedutaan negara itu di Kuala Lumpur dan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 21 Mac, 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Para pegawai kedutaan Korea Utara dan keluarga mereka meninggalkan Malaysia pada petang Ahad setelah Pyongyang memutuskan hubungan diplomatik selama beberapa dekad berikutan ektradisi seorang warga Korea Utara ke Amerika Syarikat untuk berdepan dengan perbicaraan jenayah.

Malaysia kemudiaan mengarahkan diplomat Korea Utara meninggalkan negaranya dalam tempoh 48 jam, dan menuduh Korea Utara cuba campur tangan dalam sistem kehakimannya apabila rakyat negara itu, Mun Chol Myong, gagal menghalang tindakan ekstradisi selepas penangkapannya pada Mei 2019.

"Tindakan kerajaan Malaysia ini merupakan satu keperluan dalam usaha melindungi kedaulatan Malaysia dan memelihara kepentingan negara kami," kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan pada Ahad mengenai pengusiran diplomat Korea Utara dari negara itu.

"Tindakan ini adalah satu peringatan bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang cubaan untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan kehakiman kami, tidak menghormati sistem tadbir urus kami dan sentiasa menimbulkan ketegangan yang tidak perlu dengan mengingkari perintah berdasarkan peraturan antarabangsa," katanya.

Tiga puluh tiga orang rakyat Korea Utara termasuk kanak-kanak meninggalkan kedutaan itu yang terletak di Jalan Batai, Kuala Lumpur pada 11 pagi Ahad. Seorang pegawai polis Malaysia mengesahkan jumlah tersebut.

Kuasa Usaha di Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song, bertemu dengan pihak media sebelum meninggalkan kedutaan itu, dengan membacakan sebahagian daripada kandungan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pyongyang dua hari lalu. Beliau juga enggan menjawab soalan media.

"Berikutan situasi buruk yang berlaku ini, Kementerian Luar Negeri DPRK dengan ini mengumumkan langkah memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, yang melakukan tindakan jenayah besar terhadap DPRK apabila ia mematuhi tekanan AS," katanya, yang menggunakan singkatan nama rasmi Korea Utara.

"Pihak berkuasa Malaysia perlu bertanggungjawab sepenuhnya bagi semua keadaan yang akan dihadapi oleh kedua-dua negara," kata Kim.

Di lapangan terbang antarabangsa itu, rombongan diplomat Korea Utara dan keluarga mereka telah mendaftar masuk di kaunter Shanghai Airlines, dan Kim mengesahkan kepada BeritaBenar bahawa mereka akan menaiki penerbangan ke Shanghai. Penerbangan itu berlepas dari Malaysia pada 4.55 petang, menurut flightradar24, yang merupakan laman pengesan penerbangan.

Kim tidak memberi butiran lanjut mengenai perjalanan rombongannya itu.

Korea Utara telah menutup sempadan dan ruang udaranya sebagai sebahagian daripada langkah rejim itu untuk mengekang penularan COVID-19. CNN dalam laporannya pada 26 Februari menyatakan bahawa sekatan itu juga meliputi syarikat penerbangan Air Koryo milik Korea Utara yang tidak melakukan sebarang penerbangan "sejak berbulan-bulan lalu."

‘Akibat yang perlu ditanggung’

Mahkamah Persekutuan Malaysia pada awal bulan ini menolak rayuan terakhir Mun berhubung ekstradisi itu, di mana dia berdepan empat pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan bersubahat melakukan pengubahan wang.

Pejabat Hishammuddin mengesahkan pada Jumaat bahawa Mun telah diekstradisi pada 17 Mac. Ekstradisi itu dilakukan semasa Korea Utara pada minggu ini menolak langkah AS untuk menyambung semula perbincangan yang bermatlamat menghentikan usaha penghasilan senjata nuklear oleh negara komunis itu.

"Kami memberi amaran awal bahawa AS – pemanipulasi balik tabir dan penyebab utama insiden ini - juga perlu menanggung akibat daripada perbuatannya," menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita Korea Utara, KCNA pada Jumaat.

Menerusi peguamnya, Mun berhujah di mahkamah bahawa dia menjadi mangsa permintaan ekstradisi "bermotifkan politik" yang bertujuan untuk menekan Korea Utara berhubung program peluru berpandunya.

Mun, yang berusia dalam lingkungan 50-an, tinggal di Malaysia sejak 2008 dan ditangkap pada Mei 2019 selepas AS menuduhnya membekalkan barangan larangan ke Korea Utara, yang melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dia didakwa melakukan pengubahan dana menerusi sejumlah syarikat, dan mengeluarkan dokumen palsu untuk menyokong penghantaran haram ke Korea Utara, ketika dia bekerja di Singapura sebelum berpindah ke Malaysia pada 2008.

Tetapi, Pyongyang mendakwa bahawa Mun terlibat dalam aktiviti perdagangan luar yang sah di Singapura selama beberapa tahun.

210321-MY-Inside-NK.jpg

Kuasa Usaha Kedutaan Korea Utara, Kim Yu Song, diiringi polis Malaysia semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 21 Mac 2021. (S.Mahfuz/BeritaBenar)

Mengulas mengenai kesan daripada tindakan memutuskan hubungan diplomatik itu, Hoo Chiew Ping, yang merupakan pakar hal ehwal politik Semenanjung Korea, memberitahu bahawa Malaysia kini adalah satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Korea Utara dan Korea Selatan.

"Semua negara ASEAN mempunyai hubungan dengan kedua-dua negara Korea itu. Kini, Malaysia adalah satu-satunya negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik yang sama dan setara antara kedua-dua negara itu kerana ia baru sahaja putus hubungan dengan Korea Utara.

"Malaysia hilang pengaruhnya sebagai pemain utama agenda Semenanjung Korea di peringkat ASEAN," kata Hoo kepada BeritaBenar, yang menggunakan singkatan bagi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara.

Ditanya mengenai tuduhan Korea Utara bahawa Malaysia tunduk kepada kehendak Amerika Syarikat, beliau berkata di bawah pentadbiran Trump, Malaysia dan negara-negara kecil lain di seluruh dunia telah ditarik menyertai kempen "tekanan maksimum" Washington ke atas Korea Utara.

"Bagi Malaysia, keadaan menjadi begitu terutamanya selepas kes pembunuhan Kim Jong Nam. Cara kita mengendalikan kes itu menerima kecaman hebat,” katanya.

Hubungan erat Kuala Lumpur dengan Pyongyang terjejas susulan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, dengan menggunakan agen saraf larangan di sebuah lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur pada Februari 2017.

Malaysia menangguhkan operasi kedutaannya di Pyongyang pada 2017 setelah berjaya memastikan sembilan rakyatnya yang ditahan di Pyongyang dapat pulang dengan selamat sebagai pertukaran bagi pelepasan mayat Kim Jong Nam.

"Malaysia sentiasa menganggap Korea Utara sebagai rakan karib sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1973," kata kenyataan Kementerian Luar pada Jumaat, dan menambah bahawa Malaysia masih mengekalkan hubungannya dengan Pyongyang walaupun selepas kes pembunuhan ‘menyedihkan’ Kim Jong Nam pada 2017.

Malaysia menganggap tindakan memutuskan hubungan itu sebagai tidak perlu, tidak wajar dan menjejaskan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di rantau tersebut.

Sabitan dan ekstradisi Mun telah dibuat mengikut prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang, kata kenyataan Malaysia itu, dan menambah bahawa kerajaan Malaysia telah mengetepikan siri nota diplomatik daripada Korea Utara yang mendesak kerajaan campur tangan dalam sistem kehakiman dan perundangan Malaysia.

Menurut kenyataan itu, ekstradisi tersebut hanya dilakukan selepas Mun menggunakan semua pilihan perundangan yang ada manakala hak dirinya turut dijamin semasa dia berada dalam tahanan termasuk dibenarkan berhubung dengan peguam bela, menerima kunjungan konsulat dan lawatan keluarganya.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.