Di mana aktivis Amri Che Mat? Kes kehilangan paksanya masih belum terungkai

Menjelang lapan tahun kehilangan aktivis sosial yang disifatkan SUHAKAM sebagai mangsa kehilangan paksa, isteri tetap cari keadilan terhadap suami.
Seperti yang diberitahu kepada Ili Shazwani Ihsan
2024.11.18
Kangar, Perlis
Di mana aktivis Amri Che Mat? Kes kehilangan paksanya masih belum terungkai Norhayati Mohd Ariffin, isteri kepada aktivis social Amri Che Mat menunjukkan gambar beliau dan suaminya di dalam telefon bimbit semasa ditemubual di rumahnya di Kangar, Perlis, 9 November 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sudah lapan tahun berlalu sejak kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat tanpa dapat dikesan. Kehilangannya bukan kes yang biasa didengar sebaliknya, ia membabitkan dakwaan penculikan yang disimpulkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sebagai kehilangan paksa.

Amri merupakan pengasas Perlis Hope, sebuah organisasi kebajikan berpangkalan di negeri utara Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand yang pada masa itu berusia 46 tahun dilihat kali terakhir oleh isterinya Norhayati Mohd Ariffin kira-kira pukul 10.30 malam pada 24 November 2016.

Bapa kepada empat anak itu dikenali sebagai seorang yang penyayang, pemurah, dan tegas dalam memperjuangkan isu-isu sosial, tidak pernah dilihat, ditemui atau didengar sehingga kini.

Keretanya dijumpai tersadai dengan tingkap-tingkapnya dipecahkan di suatu tapak pembinaan terbiar di Bukit Chabang, Kangar, kira-kira 25 kilometer dari rumahnya pada malam kehilangan beliau.

SUHAKAM, pada 2019 membuat rumusan bahawa Amri telah menjadi mangsa kehilangan paksa, atas "imbangan kebarangkalian" menunjukkan penculiknya merupakan ejen kerajaan daripada Cawangan Khas Bukit Aman.

Dakwaan ini menyamakan insiden kehilangan Amri dengan kes penculikan pastor Raymond Koh yang berlaku beberapa bulan selepas itu.

Pada Februari lalu, Kerajaan Persekutuan dan pihak polis menarik balik permohonan di Mahkamah Rayuan bagi menghalang isteri Amri daripada mendapatkan akses terhad terhadap laporan sulit pasukan petugas khas yang diklasifikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung kehilangan aktivis Perlis Hope itu.

Sepanjang tempoh kehilangan Amri, isterinya Norhayati, 51, bersama empat anak perempuannya, berusia antara sembilan hingga 18 tahun ketika kejadian terpaksa bergelut dengan tekanan kewangan selain gangguan, layanan buruk dan spekulasi negatif.

Namun wanita itu berjiwa kental apabila nekad membela kehilangan suaminya dengan menfailkan saman terhadap kerajaan, Polis Diraja Malaysia dan Menteri Dalam Negeri untuk merungkaikan insiden tersebut lima tahun lepas, di mana beliau juga kini sedang melalui proses perbicaraan berhubung samannya itu, di sebuah mahkamah di Kuala Lumpur.

Norhayati ketika ditemui BenarNews baru-baru ini meluahkan detik penuh emosi dan keperitan yang terpaksa dilalui oleh mereka sekeluarga sejak bertahun lamanya ekoran kejadian itu.

NOORHAYATI_AMRI_CHE_MAT_01.jpg

Norhayati Ariffin menunjukkan gambar beliau dan suami, Amri Che Mat yang menjadi mangsa kehilangan paksa seperti yang terdapat dalam telefon bimbitnya semasa ditemui di rumahnya di Kangar, Perlis, 9 November 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Amri seorang yang tegas tetapi mesra. Dia seorang penyayang, pemurah dan memang rapat dengan anak-anaknya. Ketika peringkat awal, saya macam tidak percaya, anggap dia bukannya hilang diculik. Mungkin dia pergi mana-mana. Sampai sekarang rasa macam tak percaya.

Tapi selepas itu, bila dengar saksi-saksi cakap, kita saja tahu bagaimana rasanya, hilang tempat bergantung.

Kami anak-beranak lepas dua minggu insiden itu boleh keluar dari rumah, tapi memang rasa tak selamat. Itupun sebab ada ibu dan adik saya datang, itu yang bawa anak-anak keluar rumah.

Bagi saya, anak-anak ini kuat. Walaupun sedih sebab sangat rapat dengan ayah, tapi mereka tak ada mengadu sampai merayu-rayu selepas ayah mereka hilang.

Cuma anak ketiga saya selalu balik sekolah menangis-nangis, macam-macam tuduhan dibuat terhadap ayahnya. Ditambah pula dia masa itu hendak ambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Saya pernah sampai rasa macam tak sedar diri terutamanya pada waktu Maghrib. Saya akan masuk bilik, tutup pintu dan lampu, saya fikir sampai sakit sangat rasanya hinggalah saya tiba-tiba teringat anak-anak, baru saya boleh bangun. Selalu jadi begitu. Lama juga nak hilang.

Sekarang pun, saya masih belum pulih cuma tak nak ikut sangat perasaan. Saya tak tahu (Amri) ada ke tak ada lagi (meninggal dunia). Bila masuk tahun ketiga (kehilangan) ibu saya kata “kakak reda ya”. Tahun keempat saya baru mula boleh terima.

Lagipun saya sudah mula nak bela dia, pergi mahkamah dan Suhakam, jadi mula ada kekuatan sedikit di situ. Sekurang-kurangnya ada orang lain tahu, bukan saya seorang saja yang tahu.

Perjuang hak Amri

Sangat menakutkan (masa nak ambil tindakan failkan saman), memang takut. Kalau ikutkan memang tak nak. Saya tak berani dan masih trauma, tapi sebab nak bela hak Amri sebagai manusia dan rakyat Malaysia. Hak anak-anak. Hak keluarga kami. Yang penting hak dia, kenapa dia dihilangkan? Hak anak-anak saya yang tak dapat kasih sayang yang sepatutnya.

Kami semua tak tahu apa yang jadi, kenapa, di mana, hidup lagi, sampai sekarang tak tahu.Memang saya tak berpuas hati dengan kejadian, tapi saya berpuas hati dengan perkembangan kes, apa yang dibicarakan di mahkamah. Setakat ini, berpihak kepada kami.

Saya nak orang yang terlibat walau sebesar zarah sekalipun akan dibawa ke muka pengadilan. Itulah yang paling penting dan saya nak tahu di mana dia sekarang. Kenapa dia diambil? Orang-orang yang terlibat mesti akan terima (balasan) apa yang mereka buat.

Saya ada tanya peguam berapa lama lagi kes mahkamah akan selesai, dia kata mungkin masih lama sebab hakim nak sekalikan dengan kes satu lagi, kehilangan yang lebih kurang sama, kes Pastor Raymond Koh.

NOORHAYATI_AMRI_CHE_MAT_07.jpg

Buku catatan milik Norhayati Mohd Ariffin mengenai kronologi kehilangan suami aktivis sosial yang menjadi mangsa kehilangan paksa yang disimpannya di Kangar, Perlis, 9 November 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Tekanan kewangan dan emosi

Saya terpaksa tanggung semua kos perbelanjaan sendiri, makin tinggi tapi cuba bertahan. Kadang-kadang kasihan dengan anak. Salah seorang anak saya sambung belajar (universiti) di Puncak Alam, Selangor, saya tahu dia pun tak cukup duit di sana tapi harap pada Allah bantu kami.

Yang saya terkilan anak-anak memang tak ada apa-apa bantuan, tak ada langsung kasih sayang dari orang luar, orang kampung ke, tak ada sumbangan ehsan. Apa-apa bantuan pun tak dapat dengan alasan saya tak ada status rasmi sebagai ibu tunggal.

Anak saya dari kecil, dari darjah dua, rumah sudah kena serbu dengan polis dan pejabat agama, minta nak berhubung dengan Amri tak sampai setahun sebelum dia hilang. (Amri didakwa sebagai pengikut Syiah, ajaran mazhab yang diisytihar kerajaan sebagai bercanggah dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah).

Macam-macam kami kena tanggung, anak saya baru-baru ini bernikah pun kena guna wali hakim.

Ibu mentua lagi sedih dan terasa bila jumpa orang sekeliling ada yang bercakap (tentang Amri). Saya pun kadang-kadang ada orang datang rumah atas urusan pun difitnah macam-macam.

Kalau ikutkan saya boleh jadi gila kalau tidak kuat, tapi saya kuat dengan anak-anak berada di sisi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.