Malaysia mahu desak ASEAN putuskan segera Konsensus Lima Perkara Mengenai Myanmar
2022.09.19
Washington
Kuala Lumpur berhasrat mendesak ASEAN supaya membuat keputusan segera berkaitan konsensus lima perkara mengenai Myanmar sebelum blok Asia Tenggara itu bersidang pada November depan, kata Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah yang kini berada di New York untuk menghadiri mesyuarat peringkat tinggi di Perhimpunan Agung PBB pada Isnin.
Blok ASEAN perlu memutuskan selewat-lewatnya November ini sama ada konsensus tersebut, yang dipersetujui semua pemimpinnya pada April 2021, perlu diteruskan atau sebaliknya, demikian menurut diplomat tertinggi Malaysia yang lantang bersuara itu. Saifuddin sebelum ini telah menyuarakan isu Myanmar secara konsisten di peringkat Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara itu khususnya selepas berlaku rampasan kuasa di negara tersebut.
Saifuddin bercakap kepada pemberita pada Isnin sebagai antara ahli panel selepas pertemuan dengan ahli parti pembangkang Myanmar di New York. Pertemuan pada Isnin itu berlangsung ketika tentera junta Myanmar dilaporkan melepaskan tembakan ke arah sebuah sekolah di kampung dalam wilayah Sagaing dan membunuh sekurang-kurangnya tujuh pelajar dalam insiden terburuk membabitkan kanak-kanak setakat ini sejak tentera merampas kuasa tahun lepas.
Saifuddin mempertikai keabsahan konsensus itu ekoran apa yang telah berlaku setakat ini.
"Di antara hari ini dan November, ASEAN mesti mempertimbangkan semula konsensus lima perkara ini secara serius sama ada ia masih relevan dan memutuskan adakah ia masih relevan (untuk diteruskan). Bila kita bermesyuarat November depan, kita mesti membincangkan semua persoalan ini dan mempunyai jawapan untuknya," kata beliau menjawab soalan pemberita ketika misi diplomatik Malaysia ke PBB.
"Sekiranya ia tidak berhasil maka kita perlu membuat keputusan apakah langkah yang hendak diambil selepas ini. Kita tidak boleh hanya mula membincangkan perkara ini pada bulan November nanti. Kita perlu mula dari sekarang."
Junta tentera Myanmar sebelum ini telah dengan sewenang-wenangnya mengabaikan konsensus lima perkara itu yang dipersetujuinya dengan ASEAN pada tahun lepas termasuk menghentikan keganasan yang menjadi antara perkara utama dalam konsensus tersebut. Pasukan tentera telah menahan hampir 2,300 individu sejak para jeneralnya menggulingkan kerajaan yang dipilih rakyat pada 1 Feb 2021.
Pada Julai lepas, Saifuddin mengusulkan supaya ASEAN membuang konsensus untuk menyelesaikan masalah Myanmar susulan rampasan kuasa itu selepas junta Burma "mempersendakannya" dengan membunuh empat tahanan politik.
Konsensus itu menggesa supaya keganasan dihentikan, dialog yang membina antara semua pihak diadakan, melantik utusan khas ASEAN sebagai perantara rundingan itu, menyediakan bantuan kemanusiaan yang diselaraskan ASEAN serta delegasi ASEAN mengadakan lawatan ke Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak terbabit.
Para aktivis dan penganalisis telah menyelar blok Asia Tenggara itu selepas rancangan lima perkara untuk mengembalikan demokrasi ke Myanmar gagal kerana junta dan pemimpinnya Jeneral Kanan Min Aung Hlaing mengabaikan setiap perkara yang telah dipersetujui mereka pada sidang tergempar ASEAN di Jakarta kira-kira 17 bulan lepas.
Pada Isnin, Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia telah menyifatkan konsensus itu sebagai satu "kegagalan mutlak."
"Kita perlu mengadakan satu model baharu dan NUG perlu menjadi sebahagian daripada usaha masa depan ini," kata Pengerusi APHR dan Ahli Parlimen Malaysia Charles Santiago, yang turut menghadiri sidang media bersama Saifuddin.
"NUG tidak mempunyai sebarang peranan dalam model yang wujud hari ini tetapi sekarang NUG patut menjadi sebahagian daripada usaha untuk membina semula Myanmar," tambah Santiago.
NUG, atau nama penuhnya National Unity Government (Kerajaan Perpaduan Kebangsaan), adalah kerajaan bayangan Myanmar.
Pada Isnin, Saifuddin turut meluahkan rasa tidak puas hati beliau terhadap tahap pencapaian ASEAN dalam mengadakan dialog dengan pembangkang Myanmar, termasuk NUG dan NUCC, iaitu badan yang menggabungkan pemegang taruh daripada pihak pembangkang.
"Malaysia tidak berpuas hati dengan tahap penglibatan [antara ASEAN dengan NUG dan NUCC] kerana kita telah membuat gesaan ini berbulan lalu supaya ASEAN melibatkan NUG dan NUCC," kata beliau.
"Mesti ada perbincangan di antara ASEAN dengan semua pemegang taruh dengan matlamat yang jelas dan matlamatnya ialah mengembalikan demokrasi di Myanmar."
Malaysia adalah ahli ASEAN pertama menghubungi kerajaan bayangan Myanmar, yang merupakan kerajaan awam negara itu, secara rasmi.
Sejak beberapa bulan lepas, Saifuddin telah mengusahakan supaya semua komuniti etnik di Myanmar dilibatkan.
"Dalam beberapa bulan ini, NUG telah membuat usaha yang bagus dalam membina keyakinan semua pemegang taruh. Kita mungkin tidak pernah melihat kebersamaan seperti ini antara pemegang taruh sebelum ini," katanya.
"ASEAN mesti melibatkan NUG dan ini adalah sesuatu yang kami akan bawakan sekali lagi pada 22 hari bulan ini," kata beliau.
Saifuddin merujuk kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijangka diadakan secara tidak rasmi pada 22 Sept ketika Perhimpunan Agung PBB.
Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.