Rahimi Ahmad, Rakyat Malaysia yang Cedera di Christchurch Beransur Pulih

Radzi Razak
2019.03.21
Kuala Lumpur, Malaysia
190321-MY-NZ-Rahimi620.jpg Pegawai polis New Zealand yang sedang mengawal di luar tanah perkuburan Memorial Park memberi penghormatan setiap kali jenazah memasuki perkarangan tanah perkuburan itu dengan seorang pegawai polis wanitanya memakai tudung berwarna hitam di Christchurch, New Zealand, 21 Mac, 2019.
[AP]

Seorang dari tiga warga Malaysia yang mengalami kecederaan dalam kejadian serangan pengganas di Christchurch, New Zealand minggu lalu, sudah sedarkan diri, selepas menjalani empat pembedahan mengeluarkan serpihan peluru.

Perkhabaran terkini mengenai keadaan Rahimi Ahmad, 39 dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Pulau Pinang Azrul Mahathir Aziz kepada media di Georgetown pada Khamis, yang menerima maklumat tersebut daripada abang Rahimi, Rosdi Ahmad yang kini berada di New Zealand bersama ibunya,

Azrul berkata Rahimi yang berasal daripada Kampung Binjai, Bayan Lepas sudah mampu membuka mata dan menggerakkan jari-jari beliau selepas menjalani empat pembedahan sejak Jumaat, dengan yang terbaru pada Rabu untuk mengeluarkan serpihan peluru.

“Rahimi sudah sedar. Doktor kata dia sudah membuka mata dan menggerakkan jari-jari,” kata Azrul sambil memaklumkan yang Rahimi kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di Hospital Christchurch.

Rosdi dan ibu mereka Rokiah Mohamad telah berada disisi Rahimi di negara itu, sejak Sabtu lepas.

Menurut beberapa laporan media tempatan Malaysia, Rahimi bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang susu di Christchurch manakala isteri beliau,  Norazila Wahid, 39, sedang meneruskan pengajian dalam perubatan pengkhususan saraf dan telah berada di negara itu sejak empat tahun lepas.

Pasangan yang mempunyai sepasang anak itu merancang untuk kembali ke tanah air selepas pengajian isterinya tamat tahun hadapan.

Rahimi dirawat di hospital yang sama dengan dua lagi rakyat Malaysai ialah Mohd Tarmizi Shuib, 42, dari Kedah dan Nazril Hisham Omar, 49 yang berasal dari Kelantan.

Tarmizi yang merupakan pengendali simulator penerbangan mempunyai empat orang anak di mana anak keduanya Muhammad Haziq, 17 tahun telah disahkan meninggal dunia dalam serangan pengganas itu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada awal Khamis mengesahkan berita kematian remaja berkenaan sambil berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand akan menyalurkan bantuan kepada keluarga dalam proses pengebumian jenazah.

“Kerajaan Malaysia menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi,” kata kenyataan itu.

Muhammad Haziq merupakan antara 50 yang terkorban dalam kejadian itu yang turut membunuh mangsa daripada pelbagai negara selepas seorang lelaki, rakyat Australia, Brenton Tarrant, 28 bertindak ganas dengan melepaskan tembakan rambang di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, ketika umat Islam mahu menunaikan solat Jumaat pada 15 Mac lepas.

Lelaki kulit pulit yang merupakan ekstremis berhaluan kanan, anti-imigran dan anti-Islam itu telah mengeluarkan satu manifesto 87 muka surat yang membentangkan ideologi ‘ketuanan kulit putih’ atau ‘white supremacy’ sebelum melepaskan serangan di kedua-dua masjid tersebut.

Tarmizi dan keluarganya berhijrah ke New Zealand setahun setengah yang lalu selepas anak sulungnya melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di sana. Beliau terkena tembakan di bahagian belakang badan dan telah menjalani dua pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru.

Menurut Azrul lagi, Tarmizi yang berkerusi roda diberikan pelepasan dari hospital bersama kaum keluarganya untuk menghadiri majlis pengkebumian anaknya Haziq yang di kebumikan di tanah perkuburan Memorial Park, di Christchurch pada petang Khamis.

“Saya dimaklumkan oleh keluarga Tarmizi yang jenazah Muhammad Haziq telah dikebumikan pada tengahari Khamis, waktu Malaysia,” tambah Azrul.

Media tidak dibenarkan untuk menghampiri keluarga tersebut.

Sementara itu, Nazril Hisham seorang lagi rakyat Malaysia yang turut cedera dalam kejadian itu baru sahaja berhijrah ke negara tersebut dua bulan lalu bersama tiga anak lelaki beliau. Isteri dan anak sulungnya berada di Malaysia.

Laporan media tempatan Malaysia berkata, Nazril mengalami kecederaan akibat terkena tembakan di bahagian kaki dan belakang badan dan telah menjalani tiga pembedahan setakat ini untuk mencuci luka dan membuang serpihan peluru.

Azrul dihantar ke New Zealand bersama seorang lagi rakyat Malaysia, Phee Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyanyang Negeri telah dihantar oleh kerajaan negeri Pulau Pinang  pada Jumaat lepas untuk memberikan bantuan kepada rakyat Malaysia yang cedera dan pulang ke tanahair pada Rabu.

Ujian DNA


Dalam sidang media yang sama pada Khamis, Phee memberitahu media bahawa pihak berkuasa New Zealand mengambil masa yang lama untuk mengesahkan mayat Haziq kerana mereka perlu melakukan pengecaman melalui DNA.

“Lagipun, kerajaan New Zealand sangat tegas bila ianya membabitkan Akta Rahsia. Ada banyak kematian yang memerlukan pengecaman teliti oleh keluarga,” tambah beliau.

Dalam pada itu, kerajaan Malaysia juga menghantar Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa sebagai wakil kerajaan ke Christchurch untuk memberi sokongan dan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terkesan dalam kejadian tragik itu, demikian kata kenyataan Wisma Putra pada Khamis.

Sementara itu, pakar motivasi rakyat Malaysia, Shazly Khan yang juga merupakan imam Masjid Khadija, Pusat Islam Rototuna di Hamilton, pulau utara New Zealand berkata  kejadian ngeri yang menimpa umat Islam itu merupakan suatu rahmat.

“Sebenarnya rasa terharu itu masih ada, tapi Alhamdulillah daripada tragedi ini kita dapat lihat pintu hidayah telah dibuka dengan warga New Zealand sendiri sudah membuka hatinya kepada Islam.

Di televisyen kini kita boleh dengar azan berkumandang. Alhamdulillah! Daripada satu tragedi kini kita beralih kepada satu rahmat, InsyaAllah,” kata Shazly dalam satu temubual dengan station televisyen Astro Awani pada Khamis.

Beliau turut memuji tindakan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Arden yang mengumumkan larangan penggunaan senjata api separa automatik dan rifel susulan kejadian Jumaat lepas.

Menurut Shazly itu bukan sahaja satu tindakan yang perlu dipuji tetapi juga tindakan individu di New Zealand sendiri yang menyerahkan senjata api mereka secara sukarela kepada kerajaan.

“Ia satu tindakan yang terpuji. Mereka serahkan secara sukarela kerana faktor keselamatan. Ini mengkagumkan.”

Dalam satu kenyataan di laman web rasmi kerajaan, Jacinda berkata "Kabinet bersetuju mengkaji semula undang-undang mengenai senjata api pada Isnin, 72 jam selepas serangan keganasan mengerikan di Christchurch.

"Selepas enam hari tragedi berlaku, kami mengumumkan larangan terhadap semua senjata separa automatik dan rifel di New Zealand.

"Peralatan untuk menghasilkan senjata api jenis itu juga tidak dibenarkan, selain penerbitan semua kelopak mengenai senjata api," kata Jacinda.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.