Christchurch: Remaja Malaysia disahkan Meninggal Dunia
2019.03.20
Washington
Remaja Malaysia Mohd Haziq Mohd Tarmizi yang dilaporkan hilang dalam kejadian serangan bersenjata di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand lima hari lepas, disahkan telah meninggal dunia.
Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail dalam catatan di laman media sosial Twitternya memuat naik status yang berkata, “Cukup pilu mendapat berita Mohd Haziq Mohd Tarmizi yang disahkan maut dalam kejadian keganasan di Christchurch, New Zealand,”
“Saya mendoakan semoga roh Allayarham ditempatkan di kalangan orang beriman dan kekuatan buat keluarga Allahyarham,” tambah beliau.
Sementara itu, akhbar tempatan Malaysia, New Straits Times melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakata Penyayang Negeri Pulau Pinang, Phee Boon Poh sebagai berkata, berita kematian Mohd Haziq, 17, diterima beliau daripada pegawai kedutaan yang sudah menerimanya daripada pihak berkuasa New Zealand.
"Haziq disahkan meninggal dunia. Kedutaan telah menerima maklumat ini," katanya kepada wartawan dalam sembang kumpulan aplikasi Whatsapp.
"Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai masa dan lokasi penemuan mayat Haziq akan dimaklumkan selepas maklumat lanjut mengenainya diterima nanti," tambah beliau seperti dilaporkan oleh akhbar berkenaan.
Agensi berita nasional Malaysia Bernama pada lewat Rabu pula berkata Kementerian Luar Malaysia masih menunggu maklumat rasmi mengenai nasib Mohd Haziq.
Sambil memetik Menteri Luar Negara Saifuddin Abdullah sebagai berkata, Wisma Putra hanya akan mengeluarkan kenyataan selepas pihak berkuasa New Zealand membuat kenyataan rasmi berhubung perkembangan insiden itu.
“Pada masa ini saya tidak akan membuat sebarang kenyataan,” kata Menteri itu kepada Bernama seperti dilaporkan agensi media tersebut.
Mohd Haziq bersama adiknya Mohd Haris dan bapanya Mohd Tarmizi Shuib, berada di Masjid Al-Noor untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan semasa kejadian itu berlaku.
Mohd Tarmizi, 42, seorang rakyat Malaysia yang berasal dari Alor Setar, Kedah, cedera di bahagian belakang badan dalam serangan itu, manakala anaknya Mohd Haris, 12 terselamat tetapi mengalami trauma dengan Mohd Haziq, 17 dilaporkan hilang.
Mohd Haris dilaporkan sedang menjalani rawatan akibat trauma di sebuah hospital kanak-kanak di Christchurch.
Pihak berkuasa New Zealand mengesahkan yang kejadian keganasan yang berlaku pada kira-kira pukul 1.40 tengah hari [waktu tempatan] Jumaat lepas, telah mengorbankan kira-kira 50 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia.
Seorang lelaki, rakyat Australia, Brenton Tarrant, 28 bertindak ganas dengan melepaskan tembakan rambang di Masjid Al-Noor berhampiran Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, ketika umat Islam mahu menunaikan solat Jumaat.
Lelaki kulit pulit yang merupakan ekstremis berhaluan kanan, anti-imigran dan anti-Islam itu telah mengeluarkan satu manifesto 87 muka surat yang membentangkan ideologi ‘ketuanan kulit putih’ atau ‘white supremacy’ sebelum melepaskan serangan di kedua-dua masjid tersebut.
Dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera akibat serangan itu ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Binja, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor dengan kesemuanya kini sedang menerima rawatan di Hospital Christchurch.
Mangsa sudah dikenal pasti
Radio New Zealand pada Rabu melaporkan Pesuruhjaya Polis negara itu, Mike Bush sebagai berkata, sehingga lewat Selasa waktu tempatan, pihak berkuasa New Zealand telah mengenal pasti 21 identiti mangsa yang terbunuh dalam serangan berkenaan serta menyerahkan jenazah mangsa kepada keluarga.
Menjelang tengah hari Rabu, enam lagi telah dikenal pasti dan identiti majoriti mangsa akan disahkan polis pada penghujung hari (Rabu).
Pesuruhjaya Polis itu turut mengesahkan pihak yang terlibat dengan proses identifikasi mangsa cuba sedaya upaya melengkapkan proses tersebut dengan segera walaupun mengambil masa yang agak lama.
Seramai 120 orang termasuk pakar forensik dari luar negara terlibat dalam keseluruhan proses pengecaman dengan pihak berkuasa menumpukan kepada usaha mempercepatkan proses penyerahan jenazah kepada keluarga.
Menjawab kritikan mengenai proses penyerahan jenazah yang dikatakan mengambil masa yang lama, Mike menegaskan, siasatan menyeluruh dan terperinci perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kesilapan.
Beliau berkata proses agak pelahan kerana mahu memastikan tidak kesilapan kerana sebarang kesilapan akan melemahkan kes pertuduhan terhadap suspek di mahkamah nanti.
“Dan adalah menjadi satu kesilapan yang tidak boleh dimaafkan sekiranya kami menyerahkan mayat kepada keluarga yang salah.
“Kami juga perlu membuktikan sebab kematian dengan memuaskan untuk menyakinkan koroner dan hakim. Seseorang itu tidak boleh dijatuhkan hukuman tanpa bukti yang lengkap,” kata Pesuruhajaya Polis itu semasa satu sidang media pada Rabu.
Agensi berita antarabangsa Agence France-Presse [AFP] pula melaporkan dua beranak pelarian Syria adalah jenazah pertama yang dikebumikan di Christchurch, pada Rabu.
Mangsa, Khaled Mustafa 44, dan anaknya yang berusia 16, Hamza diumumkan menerusi pembesar suara sebelum jenazah mereka disemadikan di hadapan ratusan orang yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir.
Keluarga itu tiba di New Zealand tahun lalu untuk memulakan kehidupan baru dari keadaan konflik di Syria sebelum dua beranak terbabit ditembak mati di Masjid Al Noor.
Adik kepada Hamza, Zaid, 13, yang cedera dalam kejadian itu bagaimanapun terselamat dan dia turut kelihatan di tanah perkuburan sambil berkerusi roda.
Radzi Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.