PM: Pertemuan pemimpin negara Islam di Riyadh bincang hentikan pembunuhan di Gaza
2023.11.06
Kuala Lumpur
KEMASKINI pada 4 petang waktu tempatan ETS - 2023-11-07
Perdana Menteri Malaysia pada Isnin menyatakan bahawa beliau akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin negara Islam lain di Arab Saudi pada 12 Nov ini, bagi membincangkan cara untuk menghentikan pembunuhan Israel ke atas orang awam di Palestin dan menghantar bantuan kemanusiaan serta perubatan kepada mereka yang masih hidup.
Negara jiran Indonesia juga mengumumkan bahawa mereka akan menghantar delegasi ke mesyuarat anjuran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) itu, yang diadakan ketika Israel terus menerus mengebom wilayah-wilayah di Palestin dan membunuh ramai mangsa.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin menganggarkan hampir 10,000 rakyatnya telah terbunuh setakat ini dalam peperangan yang terletus selepas Hamas melancarkan serangan ke atas Israel pada 7 Okt lalu, yang membunuh sekurang-kurangnya 1,400 penduduk Israel.
Anwar Ibrahim juga telah mencadangkan negara seperti China, Rusia, Ireland dan Brazil, yang berkongsi pendirian serupa berhubung konflik tersebut turut serta dalam mesyuarat OIC selama sehari di Riyadh itu.
"Dalam mesyuarat itu nanti Perdana Menteri akan menyentuh mengenai usaha bersepadu bagi menghentikan pembunuhan dan penghantaran bantuan perubatan serta makanan yang amat diperlukan oleh warga Palestin," kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri semasa dihubungi BenarNews.
Anwar dijadualkan berlepas ke California untuk menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) selepas selesai mesyuarat OIC tersebut.
Ketika bertemu wartawan selepas menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur pada Isnin, Anwar berkata tiga perkara utama akan disentuh beliau pada setiap perbincangan dengan pemimpin dunia mengenai konflik di Palestin.
"... untuk mencari jalan penyelesaian segera bagi menghentikan serangan, pembunuhan wanita, kanak-kanak dan orang awam.…menyediakan bantuan makan dan perubatan, dan menyelesaikan isu Palestin secara keseluruhannya. Ini yang kita telah dan akan lakukan pada setiap mesyuarat," kata Anwar.
Tambah beliau, topik yang sama turut dibangkitkan ketika lawatan Perdana Menteri Jepun Fumio Kashida dan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte ke Malaysia.
Malaysia merupakan penyokong kuat Palestin dan telah menunjukkan sokongan padu kepada usaha kemanusiaan bagi membantu warga Palestin, serta membantah terhadap sebarang kekerasan dilakukan oleh Israel.
Pada hujung minggu lalu, siri pertama bantuan kemanusiaan dihantar oleh Malaysia untuk rakyat Palestin telah tiba di Mesir. Bekalan perubatan, barangan bayi dan makanan seberat 20 tan itu diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir bagi dibawa ke Gaza melalui sempadan Rafah.
Perdana Menteri baru-baru ini mendedahkan bahawa Malaysia telah menerima tiga permintaan daripada Amerika Syarikat supaya melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas, namun menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan mengubah pendirian dan mengekalkan kedudukan Palestin sebagai negara bebas.
Penyertaan Indonesia
Sewaktu pertemuan dengan penjawat awam dari Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada pagi Isnin, Anwar turut mengkritik cara media antarabangsa membuat liputan berita berkaitan Palestin.
"Media antarabangsa yang dominan menyoal adakah kamu menghentam Hamas atas serangan pada 7 Okt? Tetapi mereka tidak melihat serangan yang dilakukan selama 70 tahun (oleh Israel ke atas Palestin) sebagai satu masalah," kata beliau.
Anwar turut membandingkan tindakan ketenteraan oleh Rusia ke atas Ukraine yang dikritik teruk kerana menyerang wilayah lain, dengan tindakan Israel yang terus menerus melebarkan sempadannya dengan alasan mahu menangani ancaman daripada Hamas.
"Hamas tiada di Tebing Barat tetapi 4,000 orang telah dibunuh sebelum serangan pada 7 Okt," kata Anwar.
Sementara itu, Lalu Muhammad Iqbal, jurucakap Kementerian Luar Indonesia, pada Isnin mengesahkan bahawa satu delegasi dari negara itu akan menyertai mesyuarat OIC, dan menyatakan bahawa butiran mengenainya "masih dalam perbincangan".
Pada Ahad, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi menyertai satu perhimpunan pro-Palestin di ibu kota Jakarta dan mengulangi sokongan kerajaan pimpinan Presiden Joko “Jokowi” Widodo terhadap perjuangan Palestin.
"Bagi pihak kerajaan Indonesia, kita mahu menyatakan sokongan ke atas perjuangan rakyat Palestin," kata Retno, yang memakai baju putih dengan skaf Palestin, dalam ucapannya.
"Kita di sini bersatu dalam menunjukkan solidariti untuk kemanusiaan."
Gencatan senjata
Julia Roknifard, seorang pakar Pengajian Iran dan Timur Tengah, berkata satu penyelesaian kukuh hanya akan berjaya dicapai selepas mesyuarat pada 12 Nov nanti sekiranya semua negara anggota OIC bertindak bersama-sama dalam mengenakan tekanan atau pengaruh diplomatik mereka.
"Mereka baru mengadakan satu mesyuarat sahaja pada Oktober dan telah terus menerus menyuarakan kecaman terhadap serangan Israel ke atas Gaza," kata beliau kepada BenarNews.
Tambah beliau, OIC bukan sebuah badan yang boleh mengambil tindakan kerana ia hanya merupakan sebuah platform untuk pemimpin negara-negara Islam bertemu dan berbincang.
"Akan tetapi, sekiranya mereka mengadakan mesyuarat lanjut dengan melibatkan negara-negara bukan OIC seperti Brazil, China atau Rusia, mungkin akan ada peluang lebih baik dalam mengkoordinasikan usaha diplomatik untuk mendapatkan gencatan senjata," kata pakar itu.
Lebih lagi, kata Roknifard, yang merupakan pembantu profesor di Fakulti Sains Sosial di Universiti Nottingham, kerajaan Netanyahu lebih cenderung untuk meneruskan serangan ke atas Hamas, dan ini berkemungkinan akan menyaksikan perang berlanjutan lebih lama.
"Satu-satunya penyelesaian ialah untuk menganjurkan satu gencatan senjata terlebih dahulu, baharu dapat disusuli dengan perbincangan mengenai solusi dua negara. Tetapi ia tidak boleh sekadar satu bentuk penyelesaian bersifat kosmetik," kata Roknifard.
Hoo Chiew Ping, felo kanan East Asian International Relations (EAIR) berkata pemimpin OIC perlu mempertimbangkan cadangan realistik yang boleh diterima kedua belah pihak, yang mana memerlukan mereka berkompromi.
"Ia merupakan sesuatu yang susah kerana mereka tidak mahu bersetuju terhadap sebarang penyelesaian seumpama ini dan terus membuat tuntutan balas," kata Hoo.
Noah Lee di Kuala Lumpur, Malaysia dan Pizaro Gozali Idrus di Jakarta, Indonesia turut menyumbang kepada laporan ini.